Wednesday, July 29, 2009

Menjengah usia 45

Diam-diam saja umur memasuki ruang demi ruang, memanjat tangga waktu, pada musim semi atau musim hijau bertunas, lopak kering dan berselut, seluang dan pelaga bergilir memagut udara, sesekali lemas di kota dan terbang ke awan impian. Senyap juga tangan maut menarik aku ke pinggir hayat, melintasi padang terang dan kamar gelap, sehingga malam dan siang tidak berbeza. ah dikejutkan dentang jam 12 malam aku tersedar: usia sudah di tubir ajal dan hutang masih banyak belum kulunasi. 
Masuk hari ini sudah 10 hari aku melewati batas usia 45. 20 Julai 1964 hari kelahiranku di kampung yang baru saja dibuka oleh generasi bapa yang sama-sama diberi tanah oleh kerajaan. Mereka semuanya bekas mata-mata khas (special constable) semasa zaman British menjajah. Khabarnya aku lahir pada hari Isnin, semasa majlis maulidurrasul berlangsung di kampung. Namaku diberikan oleh Pak cik Badaruddin, atau Imam Badaruddin. Beliau guru Quranku yang terawal. Aku mengenali alif ba ta di rumahnya yang tidak jauh dari rumahku. Rumahnya tempat anak-anak kampung dan seluruh adik-beradikku mengaji. Setiap malam kami akan berdedai ke rumahnya. Tapi dia telah tiada. Usianya juga ditarik pelan-pelan oleh maut ketika tubuhnya semakin surut dan susut oleh keuzuran. Sudah banyak orang tua kampungku memasuki alam barzakh dan yang tinggal cuma seorang dua. Dulu bersama merekalah aku bergurau dan berguru, bersenda dan bersengketa. Seorang demi seorang pergi. Kampungku makin sepi, makin sunyi. Sudah tiada orang tua yang boleh kuziarahi lagi. Yang ada pun cuma bersunyi di rumah kerana dikepung kesunyian juga. Dan aku juga tidak akan berlama di fana ini. Kelak mungkin anak-anak akan menulis tentang kewujudan dan ketiadaanku. Sampai bila aku di sini, senyap-senyap terdorong memasuki ruang ketiadaan. Pucuk muda tumbuh dan ranting tua rapuh.

Secebis daripada sajak "Ke Garis Tua" (Tak boleh siar semua kerana belum terbit mana-mana)

.................

Ambilah sepotong cermin pecah di laci sejarah

beleklah kedut pada pipi dan dahi

berapa gigi yang tinggal

dan uban ibarat bendera putih

soldadu kalah di batas api.

 

Tiada lagi keindahan

menanti di dunia ini

selain kutukan dan doa

agar kita segera pergi:

doa anak-anak yang tidak lagi

sabar menunggu

gerak kita yang lambat

kerana mereka perlu segera berlari

mengejar fatamorgana

seperti kita dulu

sering bermimpi menjadi rama-rama

mengejar bayang keliru

membuang usia

mengait lengkung pelangi

...........

9 comments:

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Selamat hari lahir tuan, teman pun rasa tua juga ... dari hari ke hari!

CucuOpah said...

Orang yang baik macam tuan tentu dikelilingi oleh orang yang mengasihi tuan. Janganlah terlalu merendah diri hingga beranggapan yang tiada siapa yang peduli pada tuan, atau mendoakan supaya tuan cepat pergi. Sekurang-kurangnya, saya peduli sebagai pembaca setia blog tuan. Apapun, selamat menyambut ulangtahun, semoga dimurahkan rezeki, panjang umur, sihat wal-afiat, dan ceria selalu di samping keluarga tercinta. Semoga tuan dapat terus berkarya sehingga seribu tahun lagi (boleh ke?). Amin.

saleeh rahamad said...

sajak perlu dibaca dengan mata yang tersendiri, jangan baca dengan mata saya. semua orang patut ada perasaan gitu terutama yang dah lama duduk di kerusi kuasa hingga takut nak letak jawatan hahaha.bacalah secara semiologi.

MKriza said...

Selamat Hari Jadi Tuan Guru.

45 ya..
Emm... 45
45 ya... emm

Ahaks.

Sham al-Johori said...

Pak guru,
Apalah punya sajak ni? Cermin pecah baru nak belek diri. Dah tua ni kenalah tulis sajak-sajak cinta. Barulah berahi sikit. Kata Iqbal saat tualah yang jujur mengajar kita makna cinta dan rindu.
Sajak pecah cermin tu sesuai untuk orang macam Amiruddin aja.... sb dia banyak muka.
hehehehe.
Apa-apapun sajak tu menusuk juga pada bait-bait terakhirnya.

zainal mohd jais said...

Bila dah lama tak tulis sajak, tiba-tiba tulis sajak, bila usia cecah 45, bila semakin mahir bermain dengan falsafah dan ombak perasaan, itu tandanya isteri kena banyak berwaspada, kalau patut diet, dietlah, kalau patut joging, joginglah, kalau patut make up pun meka uplah... salah satu ciri lelaki hebat ialah sejauh mana dia mampu melawan sifat merenyamnya sendiri... kah-kah-kah!!!

saleeh rahamad said...

wah bapak jainal ni ni buat tuduhan melulu. sajak tu dah ditulis tahun 2006 masa umur 43.
kita pun perut bukannya elok sangat. jom joging. diet. kuang kuang kuang.

saleeh rahamad said...

sajak tu dulu untuk sebuah organisasi penulis sebenarnya. tapi la ni tak payahlah nak tuju kat depa. kita dahsemakin tua dan semakin faham perasaan orang tua. takut esok orang lain tendang kita pulak. jadi, iktibarnya jangan suka nak singkir orang tua.

mie3425 said...

Sdr Saleeh, selamat ulang tahun ke-45. Tuan dengan saya tidak jauh beza umur, hanya tahun telebih 1 daripada saya. Apa pun perjalanan hidup perlu ditempuh dengan pengisian yang bermakna.