Friday, September 4, 2009

Anak Chemor

(Ini gambar Lutfi Ishak dan Amirul Fakir sedang menaiki beca di Medan. Saja nak tunjukkan ketampanan teman saya dari Hulu Bakai ni. Amirul Fakir sudah lama tidak kami ziarahi di Ipoh. Apa khabar dia sekarang terutama menjelang aidilfitri ini. Mari kita sama-sama memikirkan bantuan untuk beliau yang sedang diuji Allah SWT)


Kali ini saya hendak bercerita tentang Chemor dan legasinya.

Kenapa saya sering sangat menyebut tempat asal saya di Chemor? Sebabnya Chemor memang tempat yang hebat. Di sinilah lahirnya Aminuddin Baki yang merupakan tokoh pendidikan negara. Rumahnya banglo di kampung Batu 9 pernah saya kunjungi. Keluarganya besar. Sanak saudaranya merata di kampung itu, jalan Kuala Kangsar -Ipoh. Di situ juga ada keluarga Tun Adam malek,bekas Menteri Luar Indonesia yang juga bertanggungjawab menjernihkan konfrontasi Malaysia-Indonesia tahun 1963. Ibunya memang tinggal di situ dan rumahnya juga besar. Sekarang saya tidak pasti sama ada rumah itu masih ada atau tidak.

Dalam satu lakaran kartun Lat dipaparkan orang bermain bola di tepi jalan keretapi. Penjaga gol yang terleka melihat keretapi lalu di belakangnya telah melepaskan gol daripada tendangan penalti lawannya. Jalan keretapi itu dan padang bola tersebut letaknya di pekan Chemor. Lat pun memang orang Tanjung Rambutan. Adiknya Mamat ialah senior saya semasa di Sek Men Raja Chulan, Ipoh. Pada masa itu saya tinggal di asrama manakala Mamat tinggal di luar. Dia di tingkatan enam atas dan saya baru berhijrah ke sekolah itu setelah berjaya memasuki tingkatan enam rendah. Mamat memang berwajah lucu tetapi saya jarang melihatnya di sekolah. Kawan seangkatan dengan ialah Karim, ahh tak ingat dah. Kalau dulu ada blog bolehlah saya tulis nama semua mereka.


Pada masa itu (tahun 1982) Chemor belum ada tingkatan enam. Maka terpaksalah saya meninggalkan keluarga dengan sedikit kebimbangan: bagaimana hidup di tempat tanpa wang? Kebimbangan itulah yang menjadi faktor keengganan saya menerima tawaran ke tingkatan empat aliran sains di Ipoh pada tahun 1980. Saya tidak pasti sama ada keluarga saya mampu mengadakan wang untuk keperluan saya di asrama. Jadi, kekallah saya di Sek Aminuddin Balik Chemor sehingga selesai tingkatan lima dalam aliran sastera. Memang minat saya dalam sastera dan kalau saya ke aliran sains agaknya saya akan terkandas. Alhamdulillah pilihan saya bolehlah dikira tepat, agaknya. Dapat jugalah saya memperoleh gred 2 dalam SPM. Di sekolah saya ketika itu rasanya hanya tiga atau empat orang sahaja berjaya mendapat gred 2. Gred 1 rasanya tiada. Gred 3 banyak dan diikuti gred 4 yang paling banyak.


Selain itu, kalau sesiapa pernah membaca buku siri Bercakap dengan Jin, karya Tamar Jalis pastilah dapat mengetahui selok-belok rimba belantara sekitar Chemor, Tanjung Rambutan dan sekitar. Saya tidak mengenali Tamar Jalis tetapi latar kisahnya di tempat saya. Sememangnya di tempat saya banyak kisah misteri dan luar biasa begitu. Nantilah dalam kesempatan lain saya ceritakan kisah pertempuran dua bomoh di kampung saya dengan bantuan jin masing-masing.

Di kampung Ulu Chemor dulu ada seorang pawang yang cukup disegani. Kononnya dia mengawal sekitar beberapa kampung. Sebarang masalah yang timbul dirujukkan kepada beliau. Kononnya semua jin di beberapa kampung dalam pengawasan beliau dan tunduk kepada beliau. Pernah seorang budak kecil, namanya Faridah, hilang di kampung. Apabila dirujukkan perkara itu kepada pawang tersebut dia cuma menjawab: "Ada dia tu, tak ke mana."

Orang kampung pun kembali mencarinya dan Faridah ditemui di dalam kebun ubi belakang rumahnya pada waktu malam. Sebelum itu sehari suntuk tempat itu sudah digeledah tapi tak ditemui sesiapa. Faridah memang selalu disembunyikan. Kami percaya ada makhluk halus yang suka pada Faridah.

Di kampung saya juga, semasa saya kecil, sekitar tahun 60-an dan awal 70-an agaknya, sering diadakan kenduri simpang. Sebulan sekali orang kampung akan membawa bekalan makanan (potluck) ke simpang empat, dekat rumah saya, untuk dikendurikan bersama. Konsep bawa makanan sehidang sekeluarga memang sudah lama diamalkan di kampung saya. Waktunya bermula senja hingga pangkal maghrib. Pawang itu akan mengetuai doa. Saya tidak pasti sama ada orang kampung bersembahyang maghrib atau tidak. Yang pastinya kami seronok menyertai kenduri yang bertujuan menolak bala itu. Di situlah kami menikmati kuih sagu, bubur kacang, kuih lompang, kuih gelang keria), seri muka, kundas (cakui), dan macam-macam.

Sesiapa yang pernah hidup dikampung tentunya akan dapat menghayati kisah yang ditulis oleh Shahnon dalam banyak novelnya seperti Detik-detik Diri di Daerah Daif, Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis, dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Anak-anak sekarang yang lahir dan membesar di bandar langsung tidak tahu akan kehidupan sebegitu. Mampukah mereka memahami kecintaan dan kerinduan ibu bapa mereka terhadap kampung halaman?

(n.b. Seceruk-ceruk kampung saya tidaklah seceruk kampung Lutfi Ishak di Hulu Bakai... Tapi durian dan manggis di kampung dia sedap...ambil hati balik. Nanti boleh ke sana lagi.)

8 comments:

lutfi said...

Bukan HUlu bakai, tapi Ulu Bakai.
Hehe.
Tapi, sama ja ulunya dengan Chemor, hehe

airikamalek said...

Mengenang zaman muda sama pentingnya dengan perjalanan usia...
Siri bercakap dengan jin pernah saya baca ketika saya masih di sekolah rendah. Ini kerana buku-buku Tamar Jalis menghuni rak buku abang saya yang gemarkan cerita misteri, kalau tak silap hingga ke siri yang ketujuh sempat saya baca....

edolah said...

teringatkan satu cerita daripada "Bercakap Dengan Jin"...kisah menunggang harimau ! tuan saleeh ada ilmu tu ka?!

ogy said...

seronoknya jadi anak kampung sejati. sempat rasa indahnya kampung. zaman sekarang kampung pun dah tak macam kampung...semua nak jadi orang bandar...sampaikan tak ada yang indah untuk dikenang.

S.M. Zakir said...

macamana lepaih jadi orang noo... pinjam kata-kata semasa di ulu bakai dan chemor.

Hidup Chemor!

Anonymous said...

Dulu kalau sebut Chemor org akan kata eh, bukan itu kws hitam, tempat chin peng bertendang.
Tapi itu tanda signifikannya Chemor dalam sejarah negara.
Kenal hj Talib - org kaya Kuang yg diampunkan Sultan Perak atas kesalahan bersubahat dgn komunis?
Kartika Dewi Sari tu cucu dia ler ! eh sorry.. termelalut ke kg jawang pulak!

Org Kampung Mike

Anonymous said...

ohhh...tak tau pulak teman hj taib tu bersubahat dgn kominis....skg ni sebelah sekolah aminuddin baki dibina sekolah menengah hj taib....kg jasa ada lagi ke...dah lama tak dengo...yg ada kg cik zainal,kg ulu chemor....teman pun dah lupa kat area mana kg jasa tu..mungkin saleh boleh terangkan sikit...

Anonymous said...

Kg jasa terletak diantara kg ulu chemor dgn kg ulu kuang... x ramai pn penduduknya... pd yg dh bethun x kunjung kg ulu kuang... nk ke kuang xder dh jambatan bailey... dh tukar jambatan batu.. haha dlu kecik2.. dr kg che zainal ke kuang naik basikal.. asal lalu jmbatan je.. tayar basikal asyik tersepit celah papan... panik plak bila bas kuang nk lalu.. kelam kabut tarik basikal yg tersepit tayarnyer....