Friday, September 4, 2009

Tuan Sham al-Johori dah berkisah tentang meriam buluh dalam blognya. Ingat dia saja ada kisah begitu. Kami pun ada. Kami tak pakai buluh dah, tapi pakai paip pvc yang ditinggalkan kontraktor paip air. Pernah juga pasukan artileri kampung saya yang diketaui oleh Din (sekarang dia dah berusia 50-an, dah pencen main meriam) menggunakan besi pancut air yang diambil dari lombong bijih timah di belakang kampung. Tapi meriam itu entah ke mana hilangnya. Paip pvc pun boleh tahan dan boleh disimpan bertahun-tahun. Bunyinya gamat sekampung dan berdegum sampai ke kampung sebelah lalu dibalas oleh pasukan artileri kampung Hulu Chemor pulak. Masalahnya ialah pada masa itu emak saya sudah jatuh sakit angin ahmar dan dia terngganggu dengan bunyi itu. Mereka bermain di simpang empat tengah kampung dekat rumah saya. Saya memang tidak mencampuri mereka kerana berakal jugalah. Tapi seronok juga tengok sesekali. Sebenarnya selalu juga teguran diberikan oleh orang tua, tetapi sukarnya mereka hendak menerima teguan itu lalu berlakukan konflik generasi.

Setelah menerima banyak teguran dan anggota pasukan pun sudah semakin berumur, mereka pun berpindah ke hutan belakang kampung,tapi bukan sebarang hutan. Sebenarnya tempat bermain meriam itu di kebun sayur Cina yang bernama Ah Yau. Ah Yau (sudah mati pun) sudah berkebun di kampung saya sejak berpuluh-puluh tahun (ramai lagi Cina berkebun di kampung saya sejak saya kecil kerana tanahnya sangat subur dan kami sudah lama hidup rukun damai, makan sayur tak payah beli kerana boleh dapat percuma kalau kita bekerja di kebun mereka atau meminta sedikit secara percuma). Disebabkan kebetulan ketika itu Ah Yau ketika itu menanam betik dan mentimun, maka pasukan artileri ini seronok sangat kerana boleh meratah mentimun dan betik sesuka hati. Saya pergi juga ke hutan itu (masa tu dah berkeluarga) tetapi saya tak makan buah curi, kecuali kalau mereka kata Ah Yau dah beri kebenaran. Pernahkah Ah Yau kata begitu? bunyinya tetap gamat sewilayah tiga empat kampung tapi tidaklah menggegarkan kerana jaraknya jauh, hampir setengah KM.

Sekarang saya tidak pasti sama ada meriam masih ada atau tidak kerana angkatan muda sekarang tidak seperti dulu yang adventures. Sekarang mereka hanya sibuk dengan motor, dan bilangan mereka sangat kecil kerana ramai yang sudah bekerja di luar.

Kampung saya sebenarnya semakin kecil, semakin sepi, semakin kosong. Orang tua sudah ramai yang pergi manakala orang muda pun tidak menjenguk ke surau macam angkatan kami dulu. Puncanya dulu AJK surau mengunci pintu surau kalau bukan waktu maghrib dan isyak kerana banyak sangat kejadian kecurian barang surau. Akibatnya surau tidak lagi menjadi tempat lepak anak muda lalu generasi itu semakin jauh dari serambi surau apatah lagi lagi mihrabnya.

Tapi saya akan balik ke kampung juga tahun ini, biarpun teman sudah semakin sedikit. Saya perlu menyokong teman-teman yang masih tinggal di kampung kerana kalau mereka juga keluar dari kampung itu apakah yang tinggal lagi? Saya akan kehilangan kampung halaman dan tentunya rumah pusaka akan mereput. Alangkah tragisnya kehidupan itu. Maka yang tinggal ialah Kampung Nurani (pinjam frasa yang dipopularkan oleh Tuan Haji Sham).

2 comments:

Sham al-Johori said...

Jom saksikan meriam buluh lawan meriam pvc. Kita tengok siapa punya paling gempak.
Kalau kat kampung saya, sesiapa yang main meriam pvc akan diketawakan aja sebab orang tua-tua kata budak tak matang, tak kreatif dan tak berinovasi.

Apa-apapun, yang pasti balik raya ni, saya nak main meriam lagi sebab anak Pak Mat Terong tu balik rumah mak mentua dia.

hehehehe

roslaini saad said...

Yang menghairankan..zaman kita anak-anak walaupun ada yang main meriam buluh...tapi tak dengar kejadian putus jari, putus tangan...berbeza anak-anak zaman sekarang. Main mercun pun sampai hancur tangan.

Dan anak-anak sekarang pun lebih leka bermain dengan komputer berbanding kita dulu bermain polis sentri..kejar mengejar di bulan ramdhan...