Sunday, March 21, 2010

Kelas Bahasa 4

Penggunaan "di mana", "yang mana" dan "ianya" perlu dielakkan kerana salah dari segi tatabahasa. "Yang mana" dan "di mana" adalah untuk kata tanya sahaja. "Ianya" tidak boleh wujud kerana kedua-duanya kata ganti nama yang setara. Cuba juga elakkan penggunaan "ia" bagi objek bukan manusia.

Cuba betulkan ayat di bawah ini:

1. Pesta Buku Kuala Lumpur telah menarik sejuta pengunjung di mana sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu.

2. Pengunjung Pesta Buku pada tahun ini lebih besar daripada tahun lalu yang mana ianya menunjukkan perubahan sikap dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

7 comments:

Rositah Ibrahim said...

Nak daftar kelas ni, sebab tatabahasa cikgu seni dah berkarat.

Pesta Buku Kuala Lumpur telah menarik sejuta pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu.

Pengunjung Pesta Buku tahun ini lebih banyak daripada tahun lalu dan hal ini menunjukkan perubahan sikap dalam kalangan mesyarakat Malaysia.

Rositah Ibrahim said...

Alamak, pesta buku dalam ayat kedua bukan nama khas kan?

saleeh rahamad said...

Ayat Rositah betul, cuma lebih molek kalau dibubuh koma (dalam ayat kedua) selepas "tahun lalu..." atau sebelum "dan" kerana "dan" itu menjadi penyambung kepada klausa bebas, bukan sebagai kata hubung yang menyenaraikan objek.
Pesta Buku boleh menjadi kata nama khas walaupun tak disebut seluruh namanya.

Rositah Ibrahim said...

Ooo, ok. Terima kasih banyak.
Tahun lepas saya kena mengajar BM. Dalam sukatan BM saya seronok ajar KOMSAS sahaja. Tatabahasa memang tak pandai...

Nur Fatiha Fadila said...

Tambahan maklumat,

'ia' dan 'nya' merupakan kata ganti diri ketiga untuk manusia dan memang tidak boleh digunakan bagi merujuk objek atau subjek bukan manusia. Kebiasaan 'ianya' pula memang satu kesalahan yang nyata.

S.M. Zakir said...

pengunjung boleh pakai 'banyak' ka tuan, bukan 'ramai'?

saleeh rahamad said...

"Banyak" boleh. "Ramai" pun boleh. "Ramai" maknanya meriah. "Banyak" maknaya bilangan.