Sunday, March 7, 2010

Orang Muda yang hebat

Orang muda sekarang hebat-hebat belaka. Inilah gambaran yang dapat ditafsirkan daripada Dialog Orang Muda di Pena Sabtu lalu. Setiap panel memang terkenal dengan keras kepala dan keras hati. Masing-masing ada idealisme sendiri. Baik Arif yang sentimental, Ali yang tegar, Jimadie yang anarkis dan pengerusinya Lutfi yang filosof in progress-- seronok saya mendengar dialog mereka kerana tampak bahawa mereka banyak membaca dan bahan bacaan mereka tinggi-tinggi. Saya datang untuk mendengar saja asalnya tetapi apabila digugah oleh Lutfi kepada khalayak tiada sambutan maka saya terpaksa melanggar sumpah: bercakap entah apa-apa. Saja-saja untuk membuka ruang agar ditembak oleh para anarkis. Saya bercakap selaku orang tua yang sopan-sopan, bahawa karya kita perlu ikut adab. Kalau kita berkarya untuk melepaskan tekanan dalam diri dan berucap sesuka hati silakan, tiada sesiapa yang melarang. Tetapi apabila kita hendak memasuki rumah orang perlulah kita mengikut syarat tuan rumah. Itu saja. tidak munasabah kita memaksa tuan rumah menerima cara kita dan pemikiran kita. Lainlah halnya kalau kita buat rumah sendiri. Tapi nampaknya tiada reaksi yang kontra. Penulis dan peminat sastera yang hadir nampaknya pendiam dan pemikir dalam relung masing-masing kecuali orang tua-tua yang banyak bercakap: Razali Endun, Haji Shamsudin Othman, Raja Yusof, dan mujrulah ada Fadli al-Kitti (betul ke ejaannya). Ada juga pelajar UPSI yang bercakap dan Lan Naga memberi respon tapi tidak menggoncang. Maka panasnya majlis itu bukan disebabkan isi dialognya tetapi memang cuaca panas. Saya pun bercakap-cakap dengan kawan-kawan selepas majlis tentang kepanasan Rumah Pena dan membangkitkan kemungkinan dipasang kipas siling. Haji Shamsudin segera berjanji mahu menghadiahkan dua unit. Wah sudah bagus. Kalau benar janjinya saya pun akan cuba mencari duit sikit untuk menambah satu unit. Kalau kawan-kawan lain boleh bantu alangkah baiknya. Kelak nanti majlis panas memang kerana dialognya yang panas. Bukan cuacanya.

3 comments:

S.M. Zakir said...

dah tua-tua kena banyak berjalan cari udara segar, ok dah PENA tu kita bagi orang2 muda giatkan he he. Kipas siling kena taruk cepat2 bang sebelum DOM kedua ni.

saleeh rahamad said...

tu la nak cari orang boleh buat kipas tu dulu. tanya bajet.

Anonymous said...

Kipas siling KDK tak sampai RM100/no. Pendawaian beserta suis dan hook kipas RM85/point. Pasang kipas RM10/no.

Nak tolong tapi jauh sangat.

-Pembaca Setia Dari Utara.