Monday, January 31, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 4

Jalan di Putrajaya sudah sering saya lalui tapi masih belum arif sepenuhnya. Biasanya saya masuk sahaja dan lihat tanda jalan lalu mencari-cari destinasi. Biasanya saya sesat dahulu sebelum sampai ke destinasi. Kali ini pun sama, apatah lagi dalam keadaan fikiran tidak menentu. Terasa sangat kerdil kami ketika itu, tanpa teman yang mengiringi dan dirosakkan oleh cerita terbaharu oleh Borhan Mad Zain. Tapi Amiruddin meneguhkan semangat saya. Tak mengapa, katanya, kita teruskan. Dan saya mengeyakan sahaja.

Saya mula menjadi penunjuk arah kepada Amiruddin walaupun saya tidak pasti jalan sebenar ke Kompleks E, bangunan yang menempatkan Kementerian Pelajaran. Amiruddin pula hanya mendengar arahan saya walaupun katanya dia tahu jalan ke arah itu. Akhirnya kami terpaksa berpusing jauh sebelum bertemu jalan sebenar. Sampai di bangunan itu rakan lain sudah ada. Datuk Mohd Ali Hasan dan Sdr Naseer sudah menunggu. Lega kami. Dan SM Zakir juga tidak lama kemudian menunjukkan wajah. Kami dibantu oleh Zainal Jais srta seorang temannya dan Dr Hassan Mad. Cukuplah bilangan ini.
Kami disambut Sdr Syahrin, Setiausaha Politik TS Muhyiddin dan dibawa ke tingkat atas untuk menyerahkan memorandum. Penyerahan memorandum berlaku dengan baik diikuti oleh ramai jurugambar media. Dr Khair mewakili TS Muhyiddin menerima memorandum kami. TS Muhyiddin masih berada di luar negara.
Di bawah sudah menunggu puluhan wartawan untuk mewawancarai kami. Saya memulakan penjelasan dan kemudian diikuti kawan-kawan lain. Sekali lagi pengalaman diserbu wartawan seperti yang berlaku di Balai Polis Dang Wangi berlaku.
Selepas itu kami akan bergegas ke pejabat PM. Media mengikuti kami dan merakam pergerakan kami.
Di pekarangan pejabat PM kami berlegar dahulu untuk menunggu kawan-kawan sebelum masuk ke lobi. Kami tidak dapat menyerahkan memorandum itu kepada PM tetapi hanya menyerahkannya kepada seorang pegawai muda yang tidak mahu dirinya dipublisitikan. Hatta untuk mengambil gambar beliau pun tidak boleh. Hanya di lobi penyerahan itu berlaku. Nampaknya tanpa hubungan personal dengan pegawai utama sukar juga penyerahan memorandum dilakukan dengan sempurna. Bagaimanapun saya berpuas hati kerana kami telah menyelesaikan kerja kami pada hari itu. Di luar pejabat kami berbincang lagi bersama Dr Hassan Mad. Beliau mempunyai banyak idea dan perancangan. Tetapi perbincangan tidak menghasilkan tindakan lanjut selain dapat menenangkan hati saya.
Dalam perjalanan pulang saya dihubungi oleh Abang Aziz, mengajak saya turut serta menemui seseorang yang penting pada malam itu. Saya segera menyetujuinya walaupun sedar bahawa saya tidak sempat balik ke rumah dahulu. Yang penting di dalam kereta saya ada bergantungan baju yang siap bergosok dari kedai dobi. Tidak sempat mandi tidak mengapa asalkan baju berganti. Dan pada malam itu juga kami ke Putrajaya lagi. Saya mengajak Amiruddin sekali.

Pertemuan itu sangat penting dan mengubah banyak keadaan. Bersama-sama kami ialah orang besar-besar Gapena. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada kesan kunjungan kami pada malam itu. Benar, ada kesannya. Tapi biarlah cerita ini saya tulis pada masa depan sahaja. Catatan ini tertangguh...

Sunday, January 30, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 3

Pada hari Isnin 10 Januari 2011, selepas kami selesai membuat laporan polis, kami berkumpul di gerai bucu dekat Dewan Bahasa dan Pustaka. Kawan yang masih tinggal di situ ialah Khalid Salleh dan Pyan Habib. Saya, Zakir, dan Amiruddin singgah jugalah minum dan menghabiskan bihun goreng yang sudah dibayar oleh sahabat yang sudah pulang lebih awal, Sdr Khair. Kami tidak pulang ke PENA kerana masing-masing sudah letih.Ttetapi di kepala saya sudah terbayang bentuk draf memorandum yang akan kami hantar kepada Timbalan Perdana Menteri esoknya. Maka saya hanya melakukan tugas merangka draf itu di rumah sahaja.

Di rumah, selepas Isyak saya memulakan kerja itu. Saya tidak ada pengalaman langsung dalam membuat memorandum tetapi tela kerap membaca memorandum orang lain dalam isu PPSMI. Sehingga tengah malam saya masih belum selesai dengan puas hati.

11 Janauri 2011.

Saya tidak berdaya lagi memikirkannya lalu tidur untuk mengumpulkan tenaga demi esok yang masih banyak cabarannya. Saya tidak pernah buat kerja besar ini: menghantar memorandum kepada menteri. Setelah draf awal sdapat dimulakan barulah saya boleh tidur sekitar jam 1:00 pagi.
Esoknya saya sambung lagi selepas subuh sehinggalah pukul 10:00 pagi agaknya. Saya bergegas ke PENA untuk urusan lanjut, termasuk untuk mencetak dan memfotokopi dalam salinan yang banyak untuk edaran kepada wartawan. Di PENA hanya ada Ahmad Razali Yusof, koordinator PENA yang kami panggil ayahanda. Dengan beliau saya cuba membuat salinan dengan mesin fotokopi. Pada awal pagi saya telah menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat (namanya biar saya rahsiakan dulu) yang menyatakan bahawa memorandum elok diperpanjangkan kepada Perdana Menteri kerana TS Muhyididn tiada dalam negara dan Kabinet mungkin akan membuat keputusan dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu 12 Januari. Ada kemungkinan kertas Kabinet sudah membuat keputusan akan meminda Interlok. Saya tidak memberitahu perkara itu kepada Amiruddin kerana dia masih di Genting Highland kerana menghadiri bengkel kerja. Saya terpaksa berfikir sendirian ketika itu kerana kawan-kawan lain tiada yang datang membantu. Saya faham semuanya sibuk dengan urusan masing-masing dan mereka tidak tahu sukarnya membuat memorandum serta kerja membuat salinan.

Saya lihat ayahanda sudah keletihan dan tertekan dengan kerja yang banyak. Saya tidak dapat menenangkannya kerana saya sendiri tertekan Tetapi dia membuat keputusan bijak dengan memanggil Sinaganaga untuk membantu. Sinaganaga tidak mengambi masa yang lama untuk sampai ke Rumah PENA walaupun berjaan kaki dari pejabatnya. Mereka berdua membantu saya membuat salinan dan menyusun dokumen. Kami juga mendapat bantuan daripada Abang Aziz Al dari Gapena yang datang dan meminjamkan dua rim kertas A4 . PENA suda kehabisan kertas! Sampai sekarang belum diganti rasanya.

Kira-kira pukul 11:30 barulah Amiruddin sampai dari Genting Highland. Dia sebenarnya sudah banya berkorban untuk kerja ini kerana terpaksa meninggalkan tugasnya dan berulang alik dari tanah tinggi itu ke tanah lembah di PENA. Setelah diberitahu bahawa kami akan menghantar memo kepada PM, dia kelihatan tersentak dan berusaha menghubungi kenalannya yang dapat menguruskan sambutan memo kami di pejabat PM, Tapi dia tidak berjaya. Lalu kami mengambil keputusan untuk pergi sahaja walaupun tiada temu janji. Dengan pejabat TS Muhyidin kami sudah menguruskan temu janji dengan setiausaha politiknya, En Syahrin.

Setelah Amirudin membuat penjilidan dokumen di Brickfields dengan tergesa-gesa saya segera bersiap diri. Ayahanda kelihatan tidak berminat untuk ikut serta. Jadi siapa yang akan ke Putrajaya? Tiadakah akwan lain yang datang? Hati saya sudah walang. tamabahan pula ada berita tidak menyenangkan daripada Borhan Md Zain. Katanya, usaha kami mungkin tidak berkesan lagi dengan perkembangan baru. Saya tidak dapat menerangkan hal itu sekarang sebelum semuanya selesai nanti.

Walaupun saya sudah lemah semangat selepas mendengar berita itu, saya dan Amiruddin tidak akan berpatah balik Kami akan teruskan perjuangan yang sudah dirangka. Biarpun tiada kawan yang datang menyokong kami tetap akan ke Putrajaya. Dan kali ini kami menaiki kerta Amiruddin kerana minyak kereta saya sudah tinggal sedikit. Lagipun kereta saya yang besar tidak berbaloi digunakan untuk membawa dua batang tubuh ke Putrajaya.

Selepas solat zuhur dan berdoa agar perjalanan kami dipermudah Allah SWT kami berdua menyusuri lebuh raya Utara Selatan dan menuju ke pejabat TS Muhyiddin. Kami dimaklumkan bahawa di sana kawan lain yang akan datang ialah SM Zakir, Zainal Jais, Dr Hassan Mad, Datuk Dr Mohd Ali Hassan. Ini menguatkan semangat kami. Mujurlah ada orang lain yang akan bersama walaupun kami berdua sahaja bertolak dari PENA.

Amiruddin memandu manakala saya duduk di sebelahnya sambil merenung jalan di hadapan dengan bermacam-macam bayangan...

Tribulasi Interlok: Siri 2

Sebelum kami mengambil tindakan membuat laporan polis kami telah menghubungi Gapena untuk turut bersama membuat laporan polis. Abang Aziz Setiausaha kerja Gapena telah memainkan peranannya dengan menghubungi pegawai polis di Balai Polis Dang Wangi sebagai persiapan menerima kehadiran kami.

Pada hari Isnin kami menggerakkan kawan-kawan dan menghubungi media untuk bersama-sama ke Balai Polis Dang Wangi. Pada hari yang sama dengan menggunakan draf yang saya rangka beberapa NGO lain turut membuat laporan polis. Mereka termasuklah Majlis Permuafakatan PIBG Nasional dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor. Di Kelang Kemudi juga membuat laporan, dan begitu juga di Johor oleh Persatuan Penulis Johor (tapi mungkin hari yang lain).

Badan kerabat Gapena yan lain telah dihubungi oleh Setiausaha 2 Gapena, Dr Hashim Ismail supaya membuat laporan polis di tempat masing-masing tetapi menurutnya tiada sambutan (inilah yang mengecewakan saya). Pada hari laporan dibuat Balai Polis dikerumuni wartawan dan ramai juga kawan dalam PENA dan yang bersimpati (antaranya ialah Riduan Harun, kerana dia belum jadi ahli PENA walaupun sering didesak oleh Sinaganaga) yang datang. Antara teman yang bersama tentulah Amiruddin Ali, SM Zakir,Hanafi Ibrahim, Khalid Salleh, Malim Ghozali Pk (Timbalan pengerusi Tetap PENA), Shamsudin Othman, Rahimidn Zahari, Ali Bukhari, Nasseer, Ishak Hamzah, Rasanubari, Ibrahim Ghafar, Saifulizan Yahya, dan ramai lagi.

Kehadiran kawan menguatkan semangat kami.

Saya mendahului NGO lain untuk membuat laporan polis dan kemudian disusuli kumpulan lain. Kami kemudian berdepan dengan wartawan lalu gemparlah seketika dalam media dengan tindakan kami. Anehnya ini tidak sedikit pun menjentik kesedaran Pemuda UMNO atau Puteri UMNO sedangkan kami mempertahankan tindakan kerajaan (Kementerian Pelajaran Malaysia) dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran. Sampai kini (30 Januari 2011) tidak ada seorang daripada mereka menghubungi kami untuk membantu sedangkan masyarakat India digerakkan oleh MIC dengan penuh perhatian.

Dan saya perturunkan laporan polis yang kami buat di bawah ini. Laporan ini diterima oleh Konstabel Mohd Hafiz bin Ahmad (R1699350). Saya membawa pendrive untuk memudahkan draf laporan yang saya buat disalin sahaja ke dalam komputer. Ini ternyata sangat bekesan berbanding dengan cara lama: menulis draf pada masa laporan dibuat.


LAPORAN POLIS TERHADAP PERISTIWA PEMBAKARAN NOVEL INTERLOK

Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011 melaporkan berita yang bertajuk “Novel Interlok dibakar”. Dalam laporan tersebut dinyatakan bahawa novel Interlok karya Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain telah dibakar di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang oleh “kira-kira 100 penduduk berketurunan India”. Turut dibakar gambar Dato’Abdullah Hussain malahan ada seorang penunjuk perasaan yang “gagal mengawal emosinya dilihat menampar gambar Abdullah dan menggelarkan beliau sebagai `sasterawan bodoh’.”

Berdasarkan peristiwa itu, inilah laporan polis yang kami buat.

Peristiwa membakar novel itu telah membangkitkan kemarahan ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) kerana Abdullah ahli seumur hidup PENA.

Peristiwa ini juga membangkitkan kemarahan penulis di negara ini kerana Dato’Abdullah Hussain ialah Sasterawan Negara dan penulis terkenal tanah air. Oleh itu, kami berpandangan pembakaran tersebut telah menjatuhkan maruah penulis tanah air dan mengandungi unsur kebencian yang melampau.

Pembakaran novel Interlok dan penghinaan terhadap gambar Abdullah boleh disifatkan sebagai tindakan menghina orang Melayu serta boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu dan mencetuskan ketegangan kaum.

Kami juga prihatin kerana Sasterawan Negara, Dato’Abdullah Hussain ialah seorang tokoh penulis yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, kami berpendapat, penghinaan terhadap Sasterawan Negara samalah seperti penghinaan terhadap DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Kami meminta polis dan pasukan keselamatan mengambil tindakan kerana peristiwa tersebut boleh menyebabkan berlaku ketidakstabilan dan keharmonian kaum serta menggugat keamanan negara.

Kami berharap pihak polis dapat menyiasat peristiwa itu dan mengambil tindakan terhadap orang yang terlibat, termasuk ahli-ahli politik yang turut serta iaitu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan. Penglibatan ahli politik dapat dianggap sebagai pengakuan dan penerimaan mereka terhadap tindakan yang biadab itu. Pengaruh ahli politik adalah besar kerana kedudukan mereka sebagai pemimpin rakyat.

PENA juga bertegas untuk mempertahankan Interlok sebagai teks Komponen Sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia bagi Tingkatan lima kerana kandungannya tidak mengandungi unsur penghinaan terhadap mana-mana kaum.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)


Ini kali pertama saya membuat laporan polis tentang isu nasional. Sebelum ini saya hanya membuat laporan polis tentang kehilangan kad pengenalan dan kehilangan kasut di rumah.

Saturday, January 29, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 1

Saya akan cuba menulis pengalaman yang saya lalui ketika berdepan dengan isu novel Interlok sekadar menurut ingatan saya kerana selama ini saya tidak mencatatnya langsung. Memang saya tidak rajin menulis catatan atau diari. Diari saya hanya dipenuhi jadual kerja yang kadang-kadang itu pun tidak sempurna sehingga akhirnya wujud pertindihan tugas. Sering juga saya tersangkak apabila ada kerja yang saya terima tanpa menyedari bahawa tarikh itu juga sebenarnya telah terisi tetapi belum tertulis. Inilah bahana orang malas menulis.

Catatan tentang Interlok ini juga tidak mungkin sempurna kerana saya terlupa banyak perkara terutama tentang tarikh tapi masih ada waktu nanti saya mengeditnya. Semoga catatan ini dapat menjadi bahan sejarah untuk menulis sejarah kesusasteraan, politik perkauman, dan kepemimpinan malah tidak mustahil untuk autobiografi simpanan peribadi saya nanti.

Isu Interlok bermula dengan kenyataan T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam bahawa novel Interlok akan ditarik balik daripada sekolah sebagai buku teks KOMSAS Tingkatan Lima. Katanya ada 27 aduan dibuat daripada NGO India. Buku itu dikatakan mengandungi unsur sensitif kerana menggunakan perkataan paria. Sebenarnya kenyataannya adalah palsu. Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan arahan buku itu akan ditarik balik. Penipuan ini memang menunjukkan sikap putar belit seorang pemimpin India yang mahu mengembalikan popularitinya selepas tersingkir daripada parti asalnya dan kemudian gagal membuktikan kehebatannya dalam MIC.

Penglibatan saya bermula dengan mesej daripada kawan ketika saya berada di Sarawak. Antaranya maksudnya, "Buat sesuatu untuk mempertahankan karya Sasterawan Negara." Saya tidak faham cerita sebenar kerana belum membaca akhbar nasional yang menyiarkan berita itu. Akhbar di Sarawak tidak menyiarkannya. Kemudian beberapa hari kemudian SM Zakir menghantar mesej kepaada saya meminta pandangan untuk mendapatkan nama panel yang akan membicarakan novel itu. Segera saya teringat artikel pendek yang ditulis oleh Dr Illias Zaidi tentang Interlok, lalu saya menyarankan namanya. Pandangan kawan lain turut mengharapkan agar seorang sarjana wanita juga dijemput menghilangkan persepsi bahawa PENA mengamalkan dasar gender terpilih (male cauvinist). Lalu SM Zakir memilih Fatimah Busu, entah dasar apa. Dia lebih maklum. Dan saya menyetujuinya Kemudian kami sibuk dengan urusan menganjurkan majlis meraikan Zaen Kasturi sebagai pemenang SEA Write Award pada 7 Januari 2011, sedangkan majlis diskusi Interlok dijadualkan pada 8 Januari 2011. Ini bermakna dua hari berturut-turut kami akan kesibukan. Menguruskan majlis Zaen juga suatu pengalaman yang berat kerana kami terpaksa melakukan banyak perkara walaupun pihak DBP banyak membantu dan YADIM juga meringankan beban kewangan. Majlis itu berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil daripada bantuan teman-teman yang tidak mengharapkan balasan. Benar, saya sangat berterima kasih kepada teman-teman dalam PENA yang bekerja secara sukarela. Jika diikutkan, kos penyelenggaraan majlis itu mungkin mencecah RM20 ribu.
Majlis diskusi novel Interlok akan berlangsung pada 8 Januari 2011 sedangkan kami baru selesai meraikan Zaen hingga tengah malam 7 Januari dengan baca puisi khusus untuk beliau yang turut disertai pegawai YADIM. terima kasih Sdr Shauki Abd Majid yang menjadi perantara kami dengan YADIM.

Untuk melengkapkan diskusi Interlok saya meminta SM Zakir menjadi pendiskusi juga bagi mewakili PENA atau golongan muda. Dan Zakir tidak sukar untuk menerima permintaan saya itu. Dia memang sudah bersedia, saya yakin sangat.
Pada 8 Januari pagi-pagi lagi Rumah PENA sudah didatangi peminat sastera dan beberapa orang pegawai keselamatan dari Bukit Aman berpakaian preman. Memang kedatangan mereka kami alu-alukan kerana sebarang perkara buruk boleh berlaku. Kami juga menerima khabar angin bahawa akan datang sekumpulan orang India ke PENA untuk membakar novel Interlok. Jadi persediaan dari segi keselamatan begitu perlu. Kami hanya menjalankan tugas sebagai badan penulis. Kami bertindak secara intelektual.

Majlis diskusi berjalan rancak. Fatimah Busu membawa beberapa buku lain yang turut menyatakan soal paria dan Illias Zaidi membawa cerita sampingan yang tidak berkaitan dengan isu sehingga sedikit menjejaskan perjalanan diskusi. Meskipun begitu dia dapat juga memberikan input sejarah tentang novel tersebut. Pada akhir diskusi kami mengadakan sidang akhbar. Kami nyatakan pendirian PENA bahawa kami menolak sebaran pindaan terhadap Interlok kerana tuntutan itu tidak berasas sama sekali. Sebenarnya sidang akhbar yang kami adakan ini bukanlah yang pertama kerana sebelum itu PAKSI dan Gapena telah membuat sidang akhbar juga bagi menyatakan pendirian mereka bahawa Interlok perlu dipertahankan daripada pindaan. Sidang akhbar kami lebih panas kerana lebih ramai wartawan hadir dan soalan mereka juga begitu provokatif. Soalan yang provokatif datang daripada Sayuti Omar. Dia bertanya apakah langkah susulan yang akan dilakukan oleh PENA. Timbalan Presiden PENA, Amiruddin Ali Md Hanafiah segera memberi reaksi spontan yang tidak kami bincangkan pun sebelumnya. Katanya PENA akan membuat dan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, TS Muhyiddin Yassin pada Selasa. Hah..ini tugas berat. Tapi wartawan berpuas hati kerana soalan provokatif mereka dijawab segera. Tapi kami sedang memikul tugas berat. Bukan mudah untuk melakukan kerja itu. Bagaimanapun, ini penting kami lakukan.

Siaran Media PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (PENA) TENTANG NOVEL INTERLOK

Isu novel Interlok yang hangat diperkatakan sekarang sehingga melibatkan campur tangan politik dan badan bukan kerajaan perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan. Tanpa perlu diberikan latar belakang isu ini, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan perkauman.

Sehubungan dengan itu, PENA menentang tuntutan daripada mana-mana pihak untuk menarik balik novel itu daripada senarai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia. Bagi menangani kemelut tersebut, PENA telah mengadakan Dialog Novel Interlok pada 8 Januari 2010, bertempat di rumah PENA yang dihadiri para sarjana sastera dan penulis tanah air. Ahli Panel terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr.Ilias Zaidi ,Dr.Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), SM Zakir S.Othman.


Sehubungan itu, PENA meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengekalkan novel Interlok sebagai Teks KOMSAS Dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima berdasarkan alasan berikut:

1. Sebarang campur tangan politik yang dibuat berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran yang tidak berkesudahan.
2. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya hanya memberikan gambaran realiti sosial yang berlaku, disamping menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk.
3. Interlok untuk menyahut seruan pemimpin negara supaya menghasilkan karya yang bertendensi atau karya yang bertujuan menyempurnakan aspirasi dan pengisian kemerdekaan negara.
4. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu sebelum dipaparkan secara representasi, yakni tidak menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.
5. Setelah lebih 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat. Jika benar novel itu mengandungi unsur penghinaan, sudah tentu pada masa awal novel itu diterbitkan telah timbul kekecohan. tetapi ini tidak berlaku.
6. PENA meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empad dekad diterbitkan. Mungkinkah perkara ini ditimbulkan untuk memperoleh manfaat politik pihak tertentu? Kita bimbang jika tanggapan ini benar dan lebih bimbang jika pihak yang bertanggungjawab dalam hal membuat keputusan mengikut sahaja telunjuk mereka. Seandainya ini berlaku, kita bimbang akan lebih banyak pihak membuat tuntutan yang tidak munasabah sehingga akhirnya kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa.
7. Kesan penarikan balik novel ini atau pemindaan di tempat tertentu akan merosakkan kredibiliti karya bertaraf antarabangsa dan sistem pendidikan negara yang telah dipersetujui secara bersama semasa pembentukan kemerdekaan negara.
8. Sebenarnya paparan realiti yang kononnya mengandungi unsur penghinaan itu mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada pemisahan kasta berbanding dengan negara asal kaum tersebut. Dalam novel itu jelas ditunjukkan bahawa tujuannya untuk menimbulkan rasa kecintaan setiap kaum terhadp negara ini. Tujuan ini amat murni kerana setelah menjadi warganegara Malaysia, mereka semua perlu mengakui kedaulatan negara ini dan menjunjung Perlembagaan serta budayanya. Tidaklah wajar bagi mereka untuk melihat negara asal lagi setelah diterima menjadi warganegara Malaysia.
9. Sekiranya benar unsur ini mungkin menimbulkan kekeliruan, tidak perlu dibuat penarikan balik atau pindaan isi tetapi perlu diselesaikan oleh guru yang menangani teks tersebut. Guru-guru perlu diberi latihan atau panduan untuk menjelaskan perkara sebenar dalam masa pengajaran. Pernyataan bahawa soal kasta atau sebarang unsur yang mengelirukan itu sebenarnya cuma paparan realiti di negara lain sedangkan di negara ini tidak wujud kecenderungan sedemikian. Cara ini lebih berhemah dan guru juga akan dilihat lebih cerdik sebagai seorang pendidikan.
10. Isu ini tidak perlu dibiarkan berlarutan dengan emosi yang tidak terkawal kerana kita perlu menjaga keharmonian masyarakat di negara ini.
11. Bagi menangani perkara ini PENA berpendapat diadakan perbincangan atau dialog intelektual antara pihak yang mula-mula menimbulkan perkara ini dengan pakar persuratan dan kebudayaan dalam sesi yang terkawal.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden Pena
8 Januari 2011

(Siaran media ini turut dibantu oleh Sdr Hanafi Ibrahim, Lutfi Ishak, Amiruddin Ali dan sudah tentu SM Zakir. Mereka berhempas pulas menyediakan sementara saya sudah besiap untuk mengadakan sidang media selepas majlis diskusi Interlok.)

Kenyataan Kedua

Kenyataan tambahan khas untuk peristiwa pembakaran novel Interlok pada hari Sabtu 8 Januari 2011 yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011.


1. PENA mengutuk tindakan segelintir yang telah mengambil tindakan agresif dengan membakar novel Interlok d Kelang serta menghina gambar Sasterawan Negara.
2. Tindakan itu jelas cuba mengkucar-kacirkan kestabilan masyarakat di negara ini kerana selama ini telah terbukti tindakan agresif seperti itu hanya mendatangkan pergeseran kaum.


3. Perbuatan itu telah menimbulkan perasaan tidak enak dalam kalangan masyarakat berbilang kaum amnya dan masyarakat Melayu khususnya. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlanjutan kerana banyak maslaah akan timbul.
4. Sasterawan Negara ialah tokoh yang menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, dan sebarang penghinaan terhadapnya seperti menghina Yang di-Pertuan Agong.
5. Pihak berkuasa perlu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam insiden itu, termasuk ahli politik yang turut berada di situ tetapi tidak bertindak menghalangnya. Penglibatan ahli politik seperti memberi restu kepada tindakan yang tidak bertamadun dan kesannya sangat besar.

Mohamad Saleeh Rahamad
PRESIDEN PENA
9 Januari 2011

(Kenyataan kedua ini kami sebarkan pada hari laporan polis dibuat pada 10 Januari 2011 di Balai Polis Dang Wangi)



Esoknya pagi-pagi lagi saya terasa bahang apabila membaca berita sekumpulan penunjuk perasaan membakar novel Interlok dan mencaci Abdullah Hussain di Kelang. Kami segera berkomunikasi dengan rakan-rakan untuk bertindak. Pada petang itu juga kami berhimpun di Rumah PENA untuk membincangkan langkah susulan. Kami tidak bersendirian kerana beberapa NGO Melayu yang lain datang, termasuk Dr. Hassan Mad, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu dan Bumiputera, sebuah badan buan kerajaanyang menggabungkan 134 NGO, Datuk Dr Mohd. Ali Hassan, Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Razali Endun, Ikatan Persuratan Melayu, Zainal Jais, Abu Hassan Ashaari daripada Kemudi serta Perkasa Kelang, dan Megat Salleh daripada kesatuan guru. Kawan-kawan lain juga hadir (Amiruddin Ali, SM Zakir, Hanafi Ibrahim, Shamsudin Othman, Rahmidin Zahari, Ali Bukhari, Azlan Hussein (Sinaganaga).

Kami membuat keputusan untuk membuat laporan polis pada Isnin, 10 Januari pukul 3 petang dan akan menghantar memorandum kepada TS Muhyiddin pada hari Selasa 11 Januari 2011. Tugas membuat memorandum dan draf laporan polis terbeban di pundak saya.


Dan akan bersambung....

Interlok 29 Januari 2011

Hari ini 29 Januari 2011 saya bersama Amiruddin Ali Md Hanafiah (Timb presiden PENA), SM Zakir (SU Agung PENA) dan Shamsudin Othman (Tim SU Agung PENA) menyrtai mesyuarat pemanduan Majlis Perundingan Melayu di Bangunan ROHAS Jalan Abdullah apabila dipelajwa oleh Dr Hassan Mad (SU MPM) bagi membincangkan langkah susulan untuk menangani isu Interlok. Selepas mendengar perbincangan mereka dala agenda memperkasakan ekonomi Melayu barulah isu Interlok dibincangkan. Saya memulakan penjelasan tentang perkembangan terkini yang saya ketahui.
Saya katakan bahawa pendirian PENA tetap tidak berubah bahawa pindaan terhadap novel Interlok tidak wajar dilakukan demi memenuhi kehendak masyarakat India. Saya nyatakan alasan kami yang tekah berulang kali saya nyatakan dalam media. Saya juga menyatakan bahawa tuntutan masyarakat India sudah berubah-ubah, daripada isu Paria dan Brahmin kepada hal lain yang remeh temeh dalam sebuah karya fiksyen.Kami yakin bahawa tuntutan ini adalah untuk menguji kerajaan setakat mana masyarakat India akan diberi perhatian. Lebih membahayakan tuntutan mereka yang beriringan ugutan akan menggugat keutuhan kerajaan sendiri. Sokongan orang Melayu akan berubah sekiranya kerajaan melayan tuntutan minoriti itu. Keadaan akan lebih buruk kerana masyarakat Melayu yang majoriti tidak diberi perhatian berbanding masyarakat India.
Akhirnya kami mengambil ketetapan (selepas dicadangkan oleh Presiden GMP, Datuk Hilmi supaya MPM bertemu dengan Perdana Menteri dan menyatakan bantahan kami. Memorandum itu akan menyatakan bahawa MPM akan berkempen supaya orang Melayu tidak mengundi calon MIC dan memboikot semua majlis yang disertai MIC. Ini bagi mengajar masyarakat India atau MIC yang sudah berani mengugut kerajaan supaya menyebelahi mereka.
Saya ditugaskan membuat draf memorndum itu. Sebagai persatuan Penulis PENA tidak boleh menyatakan itu kerana kapasitinya tidak sesuai. Oleh itu MPM akan mengambil peranan.
Kami selesai bermesyuarat kira-kira pukul 7.15 malam. Maghrib kami di Masjid Kampung Baru bersama Zainal Jais.Selepas itu kami makan di sebuah kedai makan di luar masjid. Pulang ke Rumah PENA kami menyinggahi acara anjuran Sindiket Soljah. Nyata generasi muda lebih akrab dengan acara anjuran mereka sendiri dan ini terbukti dengan kehadiran luar biasa mereka di Rmah PENA. Saya tidak berlama-lama di situ kerana badan tidak sihat. Kepala pening dan oerut tidak selesa akibat cirit-birit seharian.
Pulang ke rumah saya menunaikan solat isyak dan berdoa agar perjuangan kami berjaya atau setidak-tidaknya keputusan nanti tidak memalukan orang Melayu dan umat Islam.

Wednesday, January 26, 2011

Sajak untuk SM Zakir




Sang Petualang
(dedikasi buat SM Zakir)


Lelaki bukanlah lelaki
Jika tidak berani bertualang, katanya.

Lalu dia mengorak langkah
sambil membuka dada
dari satu penjuru ke satu penjuru
dia mengatur derap keberanian
walau tidak mencari apa-apa
dia pasti menemukan banyak rahsia.

Dia sering bertualang dari benua ke benua
tapi tidak pernah bertanya
apakah jalannya ada peta
atau kesesatan menanti di hujungnya.
Di laut, di gurun, di belantara
dia kembara sendirian
walau di sisinya ada teman.

Aku sering menemaninya
menyusuri lorong gelap, laut saujana,
riuh manusia, dan denai misteri
tapi kami diam sejuta kata
bermonolog dan mencari wujud diri
tapi aku hanya menemukan diriku
dan tak juga kutemukan dirinya.

Segala yang dilihatnya
ditanggapi dengan akal dan rasa
dia menduga dan mentafsir
gerak mega atau desah pasir.

Dia membuka cakerawala fikir
ditatangnya fenomena
dilapahnya noumena
dibongkarnya laut falsafah
mencari mujarad mutiara hikmah
lalu digubah dengan bahasa
dalam kelarai yang bernyawa.

Sesekali dia membenahi dada
gadis sepi di pinggir Chao Phraya
mengutip sendu sejarah yang bergulir
menggubahnya jadi nilam kehidupan.

Di tengah kabus West Lake Hangzhou
Dia menangkap seekor rama-rama
membilang warna pada sayapnya
dan berkongsi lara sepasang kekasih
dalam legenda cinta yang disejarahkan.
Di balik luka perang Kemboja
ditemukannya sepotong cinta
berlegar di dunia angin
dan luka sejarah sembuh di bait puisinya.

Namun lelaki petualang ini
tidak selamanya di rantau yang jauh
setelah kembara dan berfikir jenuh
dia akan kembali ke desanya yang hilang
mencari asal diri
di celah rumpun rembia
lumut telaga, pucuk kelapa, mihrab sepi,
rimbun api-api, jerit bocah bermain guli,
jeling gadis di balik jendela, dan ratib zikir
meranum di dinihari.

Lelaki ini
biarpun sering bertualang
dia tak pernah lupa jalan pulang.

Mohamad Saleeh Rahamad
Kuala Lumpur
5November2010
Baca puisi PENA dan acara Sumbangsih untuk Penulis Muda Mastera SM Zakir

Tuesday, January 25, 2011

Perjalanan di Denai Interlok

Perjalanan di Denai
(Tribulasi Interlok)


Perjalanan di denai ini
tidak menawarkan tenteram
paginya penuh api
malamnya ada duri
kami tetap berjalan
meniti batas dan titi reput
mengharung rimbun nibung
dan jelir tedung
dari banir istirahat.

Orang berlarian di sisi
mengejar sesuatu di depan
bintang mungkin
atau bulan kristal
melepaskan diri dari kami
yang memikul beban
sendirian.

Setelah hampir di hujung
kami biarkan saja
sesiapa pun
yang mahu menjulang bendera
kami tidak perlu
dinyanyikan di hujung denai
kerana kami lebih suka
terus memikul beban
seberat gunung
di denai walau sendirian
kerana inilah
kehidupan.

Tuesday, January 18, 2011

Isu Interlok:Memorandum PENA Kepada TS Muhyidin




Kami datang menemui Datuk Abdullah Hussain pada 8 Januari 2011

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK

Kepada:
YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Isu novel Interlok yang hangat diperkatakan sekarang sehingga melibatkan campur tangan politik dan badan bukan kerajaan perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan.
Bagi menangani kemelut tersebut, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah menganjurkan Dialog Novel Interlok pada 8 Januari 2010, bertempat di rumah PENA yang dihadiri para sarjana sastera dan penulis tanah air. Ahli Panel terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr.Ilias Zaidi, Dr.Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Syed Mohd. Zakir S. Othman dan dipengerusikan oleh Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad. Antara sarjana yang turut serta ialah Profesor Dato’ Dr. Md Salleh Yaapar, Dr. Mohd.Hanafi Ibrahim, Dr. Fatimah Busu, Dr. Norhayati Abd. Rahman, Profesor Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas, dan Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan.
PENA juga telah menemui Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain pada 18 Disember 2010, di rumah anaknya di Puchong yang diwakili oleh Timbalan Presiden PENA, Amiruddin bin Md. Ali Hanafiah bersama dengan wartawan Berita Harian, Sdr. Nazmi Yaakub. PENA bersama-sama beberapa orang sarjana sekali lagi telah menemui SN Datuk Abdullah Hussain, di rumahnya di Petaling Jaya pada 8 Januari 2011. Pertemuan tersebut diketuai Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad berserta Timbalannya Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Ahli Jawatankuasa PENA, Rahimidin Zahari dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim. Antara sarjana lain yang turut hadir ialah Dr. Fatimah Busu dan Dr. Norhayati Abd.Rahman serta editor Dewan Sastera, Puan Rozninah Abd. Azib. Pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang penghasilan novel Interlok di samping menziarahinya yang sedang uzur.

Seterusnya, PENA juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil badan bukan kerajaan bagi membincangkan isu tersebut pada 9 Januari 2011 di Rumah PENA. Antara wakil yang hadir ialah Dr. Hassan Mad (Majlis Permuafakatan Melayu), Profesor Madya Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Presiden Mimbar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Sdr. Zainal Mohd. Jais, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Sdr. Abu Hassan Ashari Hj. Abas, Naib Ketua PERKASA Daerah Klang, Hj. Megat Md. Saleh Md. Arshad, Timbalan Setiausaha Agung KONGRES, dan Haji Razali Endon, Ketua 1 Ikatan Persuratan Melayu (IPM).

Daripada perbincangan dan persetujuan yang disepakati, PENA serta beberapa badan bukan kerajaan yang namanya disenaraikan meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima. Kami juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Kami juga menolak tuntutan supaya novel itu dipinda jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum tertentu. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu.
Bagi menegaskan pendirian kami, satu laporan polis telah dibuat pada 10 Januari 2011 di Balai Polis Dang Wangi (no repot:000943/11) ekoran tindakan segelintir orang India membakar novel Interlok dan menghina gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain di Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Kelang pada 8 Januari dan dilaporkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011. Kami menyifatkan perbuatan itu melampau dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sebagai badan penulis, kami berasa bahawa penghinaan itu sangat biadab apatah lagi dilakukan terhadap Sasterawan Negara yang menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, penghinaan terhadap Sasterawan Negara bukan sahaja dapat dianggap sebagai penghinaan terhadap orang Melayu dan penulis, malahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dengan ini, PENA menyerahkan memorandum ini kepada YAB Tan Sri dengan maksud meminta YAB Tan Sri mengekalkan novel Interlok tanpa tunduk kepada sebarang tuntutan daripada pihak yang menentangnya. Pendirian ini berdasarkan alasan yang berikut:

1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.

2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.

3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.

4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat. Perkara ini dapat dijelaskan melalui diskusi ilmiah yang diadakan di Rumah PENA pada 8 Januari yang kemudian dilaporkan atau diulas oleh wartawan dalam Berita Harian bertarikh 9 Januari 2011 dan sebuah tulisan dalam akhbar The Star. Antara tulisan yang dapat dirujuk adalah daripada penulis yang berikut dan karya mereka kami lampirkan:
5. Fatimah Busu (kertas kerja diskusi di Rumah PENA)
6. Datuk Meor Kamarul Shahid Kamarul Baid (Berita Minggu, 9 Januari 2011)
7. Baradan Kuppusamy (Sunday Star, 9 Januari 2011)
Dengan penjelasan itu, telah terbuktilah bahawa premis yang digunakan oleh para sarjana dan penulis itu mampu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh pihak penentang novel Interlok. Pandangan mereka itu adalah informatif, signifikan, lebih relevan dan tidak bersifat bias etnik sama sekali.

8. Interlok ditulis untuk menyahut seruan pemimpin negara supaya menghasilkan karya yang mengisi kemerdekaan negara dan menghayati semangat perpaduan kaum. Melalui Sayembara Menulis Novel 10 Tahun Merdeka, novel tersebut dihasilkan dengan niat yang murni. Malahan menurut pengarangnya, Abdullah Hussain, dalam pertemuan PENA dengan beliau pada 8 Januari di rumahnya, novel itu ditulis dengan bantuan daripada seorang pensyarah India di jabatan Pengajian India Universiti Malaya. Ini bermakna, maklumat tersebut datangnya daripada etnik India dan sekali gus menunjukkan bahawa tiada unsur penghinaan mendasari penulisannya. Pandangan beliau ini juga dapat dilihat dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2011.

9. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?

10. Tidak ada unsur penghinaan dalam karya tersebut, sebaliknya isu yang didakwa sesetengah pihak itu bersifat menghina dan menggugat kefahaman generasi masa kini tidak wujud sama sekali jika dibaca dengan akal yang waras dan objektif. Mesej dan matlamat novel ini jelas untuk mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada pemisahan kasta. Novel ini bertujuan menimbulkan rasa kecintaan setiap kaum terhadap negara ini dan menjadi warganegara Malaysia yang mengakui kedaulatan negara ini dan menjunjung Perlembagaan serta budayanya.

11. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.

12. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.

13. Kesan penarikan balik novel ini akan merosakkan imej karya sastera yang bertaraf tinggi dan dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Apabila karya Sasteraan Negara dianggap sebagai berunsur negatif dan menimbulkan kekeliruan, di manakah kayu ukur penilaian beliau sebagai Sasterawan Negara sebelum ini? Bukankah beliau telah dinilai secara telus dan terperinci sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kemudian mendapat pengiktirafan daripada Yang di-Pertun Agong?

14. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).

Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

15. Mempertikaikan kewibawaan panel juri yang dipilih untuk menilai penyertaan Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka, termasuk menilai novel Interlok juga dianggap mempersoalkan kredibiliti Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri (kemudian menjadi Perdana Menteri) yang telah bersetuju dengan barisan panel juri penilai peraduan. Kami juga menganggap perbuatan mempersoalkan isi kandungan ataupun perkataan yang telah ditulis oleh Datuk Abdullah Hussain ibarat menderhakai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan penganugerahan status Sasterawan Negara kepada Datuk Abdullah Hussain pada tahun 1996 atas kejerihan beliau memartabatkan kesusasteraan dan persuratan Malaysia, termasuklah menghasilkan novel Interlok.


Saranan
1. Kami menyokong penuh tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang berkepentingan untuk mencemari ketulenan novel Interlok yang telah berusia 44 tahun kerana ia jelas merakam realiti semasa mengenai masyarakat negara ini pada zaman pramerdeka. Sebenarnya sebelum diterbitkan dalam edisi pelajar memang telah dibuat beberapa pindaan bahasa yang dianggap tidak sesuai bagi pelajar. Namun begitu, pindaan seterusnya atas faktor kepentingan politik (yang tidak berasas) tidak wajar dilayan sama sekali. Desakan politik itu lebih bersifat provoksi dan ugutan kepada kerajaan sekali gus untuk menggugat keutuhan kerajaan sebagai pemerintah yang berwibawa.

2. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.

3. Isu ini hendaklah diselesaikan secara berhemah dan ilmiah serta ditangani dengan akal yang bijaksana agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

4. Oleh itu, dialog intelektual perlu diadakan segera antara pihak yang bertentangan pendapat bagi menjelaskan pandangan secara lebih ilmiah tanpa campur tangan kuasa politik. Dialog ini boleh dibuat dalam satu pertemuan meja bulat dan diwakili oleh pakar sejarah, pakar sastera dan badan bukan kerajaan yang prihatin, bukannya oleh sebuah jawatankuasa baharu yang mungkin akan tertakluk kepada kehendak politik pragmatik.

5. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.

6. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.

7. Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Sasterawan Negara kerana kedudukannya sudah dimartabatkan melalui anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong. Penghinaan kepada beliau samalah seperti menghina Yang di-Pertuan Agong, yakni institusi yang tinggi di negara berdaulat ini.

8. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.

9. Kerajaan juga wajar menurutsertakan wakil-wakil persatuan penulis atau sarjana sastera yang berkaliber dan jujur dalam sebaran bentuk perbincangan bagi memutuskan satu-satu perkara yang melibatkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah termasuk dalam soal pemilihan buku teks.


Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
11 Januari 2011