Friday, March 27, 2009

umno dan suara rakyat melayu

Perhimpunan agung UMNO sudah memperlihatkan bayangan rupa bentuk pembentuk dan pelaksana dasar pengurusan negara. Mahu atau tidak setakat ini terpaksa kita menerima kehadiran mereka dalam pemerintahan negara. Termasuk dalam acara kerja mereka ialah menangani isu PPSMI.

Sehingga ini kegagalan Rais Yatim dan Abdul Ghani Othman dalam pertandingan mereka seolah-olah petanda kepada penolakan perwakilan UMNO terhadap perjuangan mereka selama ini iaitu memansuhkan PPSMI. Dua pemimpin ini tegas menolak PPSMI dan melambangkan pejuang Melayu. Tetapi apabila tidak terpilih sudah terbayanglah sikapperwakilan UMNO bahawa mereka tidak menyokong pemansuhan PPSMI.

Sekarang kita terimalah hakikat bahawa UMNO gagal memberikan sumbangan kepada perjuangan kebahasaan dalam politik budaya. Parti Melayu menolak bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kita perlu mengharapkan pemimpin yang terpilih akan kembali memuhasabah nilai perjuangan Melayu. Datuk Zahid, Datuk Shafie, dan tentunya Datuk Seri Najib sendiri yang pernah dikatakan tidak menyetujui penerusan dasar PPSMI hendaklah tegas membuat perubahan demi kesinambungan pembangunan orang Melayu dan juga etnik lain dengan menjadikan bahasa melayu sebagai alat untuk pembangunan,perpaduan, dan peneguh jati diri bangsa.

Jika mereka pun gagal membantu maka kita berserahlah kepada Allah di samping terus berjuang.

8 comments:

bahazain said...

Salam
Walaupun nanti PPSMI itu dihapuskan, tetapi ia telah melukai hati penulis Melayu dan pejuang bahasa Melayu.Lebih-lebih lagi apabila diteruskan, tak akan bersatu dan damai, malah pergeseran akan menjadi lebih sengit dan masyarakat Melayu akan lebih berpecah; percayalah.

D'Rimba said...

Segerakan langkahmu pejuang bahasa pejuang bangsa sekalian kita menghampiri karam lautan kebaratan menghakis nilai-nilai Islam dan Melayu itu sendiri. Kita sedang mengalami mimpi yang amat mengerikan sekarang ni.....

CucuOpah said...

Tuan,

Masih ada lagi ruang utk berjuang jika mereka masih enggan menghapuskan PPSMI. Apa jadi dengan uar-uar GAPENA untuk menyaman kerajaan? Itu benteng sopan terakhir agaknya. Jika mahkamah juga menyebelahi mereka, (maklumlah mahkamah di Malaysia ini ada lima jenis seperti kata pemilik Tanah Nurani), PRU13 sahajalah jadi medannya. Memang betul kena tunggu selepas lapan tahun perlaksanaan PPSMI la agaknya.

Wallahualam.

Salam hormat.

MARSLI N.O said...

Sdr Saleeh: Salam dan saya dengan sengaja datang membaca.

Marsli N.O

lutfi said...

Salam.

Biarpun sesetengah pemimpin UMNO ada 'perjuangan', biasanya - ketaatan mereka kepada pemimpin tertinggi melebihi segalanya. Itulah yang tercatat dalam sejarah, sekurang-kurangnya untuk alaf baru ini - setelah Mahathir mendoktrinkan UMNO hampir 20 tahun lamanya. Lebih-lebih lagi, UMNO pasca Pak Lah dilihat lebih kepada 'kembalinya kemahathiran' dalam UMNO. Saya tidak yakin, bapak PPSMI itu akan memansuhkan dasarnya, biarpun dia tahu kesalahannya jelas. Saya berharap mereka mendapat balasan yang setimpal dari Allah S.W.T.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Ada ura-ura PPSMI mahu diteruskan di peringkat menengah, tetapi menukar semula ke bahasa ibunda di peringkat sek. rendah. Apa benda tu? Cuma saya terfikir , apalah yang ada dalam fikiran mereka...

Melihat Kesunyataan said...

Begitulah nasib bahasa Melayu di tangan orang Melayu sendiri.

CucuOpah said...

Tuan2 semua,
Bila membaca komen tuan2 ini saya rasa macam tuan2 telah menyerah kalah. Tuan semua pejuang bahasa dan bangsa, jgn menyerah begitu mudah. Berjuanglah secara kolektif ibarat penyapu lidi itu..
Salam hormat semua.