Saya salin gambar ini daripada blog Anwar Ridhwan. Ini hak cipta beliau. Saya tak bawa kamera pula. Ampun maaf, kerana ambil tanpa izin.
Saya hanya memandang dari jauh. Biarlah orang besar-besar bercakap dan kita sokong dari sebelah. Zakir kata, kami datang berpakaian macam despatch. Kalau tau, baik kami pakai blazer baru nampak smart. Tulah..nak marhaen sangat. Tapi "peduli apa aku" saya pinjam kata-kata Amir. Jangan berasa rendah diri hanya kerana kita tak serupa dengan orang lain. Berani berbeza daripada orang ramai ialah sifat seorang pemikir sejati. haha. "Ayam muka pintu mari tabur padi. Kalau tak gitu, nak kata apa lagi." Teringat gemulah Abdullah Tahir yang mengungkapkan pepatah ini semasa mengajar saya dulu dalam tahun 80-an.) Beliau meninggal pada tahun 1997. Semoga guru saya dilindungi Allah di alam barzakh.al-Fatihah.
2. Seperkara lagi, saya seronok bekerja dengan orang muda tapi tidak pula meminggirkan bimbingan orang lama yang bijaksana. Kami beruntung kerana dalam PENA kami diterajui orang yang berpengalaman tetapi sangat memahami orang muda malah memberikan ruang seluas-luasnya kepada orang muda untuk bergerak. Saya fikir eloklah Gapena juga memikirkan hal yang serupa. Tidak mengapa Gapena dipimpin orang lama tetapi berikan ruang kepada orang muda untuk terlibat sama menggerakkan aktiviti dengan menyediakan dana yang munasabah. Duit Gapena perlu dibelanjakan untuk pembangunan sastera dan persuratan dan budaya. Saya syorkan agar Gapena salurkan duit kepada badan kerabat dengan jumlah yang munasabah dan minta mereka anjurkan program peringkat negeri, atas nama GAPENA.
PENA pun rasanya dah hampir kekeringan tabungannya tapi masih berani membelanjakan simpanan untuk pembangunan sastera. Kalaulah PENA ada banyak dana, insya-Allah, dengan izin Allah, dengan bimbingan orang lama dan dengan kerjasama semua pihak terutama anak muda yang berjulung keris (keris apa ya?) maka lebih banyak program dapat dilaksanakan. Kami menanti peluang untuk menganjurkan pesta penyair Nusantara yang kami jadualkan pada 17-19 Julai. Tahun ini giliran PENA atau Malaysia menjadi tuan rumah setelah dicapai persetujuan dalam mesyuarat di Kediri tahun lepas. Saya puas juga mengusulkan cadangan kepada Zakir semasa mesyuarat itu supaya tuan rumahnya tetap Indonesia dan Malaysia (PENA) akan membantu dari segi dana, tetapi nampaknya orang Indonesia teruja hendak datang ke Malaysia dan bertemu dengan orang di sini, maka terpaksalah diakuri permintaan itu. Kalau ada rezeki semua penyair dan penulis bidang apa pun sebenarnya dipelawa datang menghadiri program ini, kalau jadi nanti. Kami tidak dapat berjanji menyediakan tempat secara percuma. Sekarang kita kena berbelanja sendiri. Kenyataan ini hanya kenyataan awal, sedangkan saya tidak tahu apa perkembangannya daripada SM Zakir. Dia yang bersusah payah mencari penaja. Tunggu apa kata Zakir.
3. Pada 5 Jun ini, mlam Jumaat ada baca Puisi PENA di Rumah Pena. Sila datang dengan puisi masing-masing kalau teringin nak baca puisi. Tanpa bayaran. Kita bersantai dan berfikir dengan puisi. Semoga ikatan persaudaraan sasterawan tetap erat dan bertambah erat. Kalau dalam tahun 80-an ada saja majlis baca puisi santai di Bangunan Daya Bumi dan Pasar Seni di bawah tiang lampu. Saya masih mahasiswa dan sering ke sana walaupun tidak membaca puisi. Namun begitu, kesannya pada diri saya sangat kuat. Acara santai sahaja sudah dapat menyuburkan minat saya kepada sastera. Bertemu muka dengan Sani Sudin, Ladin Nuawi, Pyan Habib dll sangat mengujakan. Anuar Nor Arai pernah menulis tentang penyair di bawah tiang lampu ini dalam Dewan Sastera dengan menggelar mereka "penyair kolong". Saya hanya bergiat di dalam kampus, bersama rakan-rakan Asmui Mustapha, Lee Cheong Beng (Mohd Azli Lee), Hamedi Adnan (Prof madya dah sekarang), Zainal Jais, Jackson Sawatan (sekarang dah jadi wakil Bernama di Singapura). Kumpulan kami ialah Grup Pemuisi ISUM (Ikatan sastera Universiti Malaya). Pada masa itu Zaen Kasturi dan Md Said Muharram sudah hebat bersajak dengan gaya mantera dan setangginya dalam Grup Pemuisi Setanggi. Hebat acara puisi pada masa itu. Imlan Adabi juga hebat dengan gaya yang tersendiri. Grup Imlan dan Hanafiah Samad juga berjaya menganjurkan perhimpunan penyair muda dalam tahun 80-an. Mungkin kerana itu agaknya, Imlan menghantar mesej kepada saya semasa perhimpunan penulis muda nasional baru-baru ini mengingatkan saya supaya jangan melupakan beliau dan rakan-rakan yang merintis pertemuan penulsi muda itu. Saya jawab bahawa saya pun tidak dapat hadir ke PPMN. Bagaimanapun, ada benarnya kata Imlan, mereka juga patut terlibat sama. Dan mereka pun sebenarnya dipelawa datang. Tapi tak taulah sama ada mereka datang atau tidak.