Tuesday, May 19, 2009

pertemuan dengan muhyidin

Semalam 19 mei 2009 ada peristiwa menarik yang berlaku di Putra Jaya. Institut terjemahan negara (ITNM) di bawah teraju orang muda yang dedikasi, Sdr Khair Ngadiron berjaya mempertemukan sebahagian besar sasterawan besar-besar dalam majlis santai. Peristiwa sebegini tidak pernah berlaku di DBP sekalipun. Hadir sama ialah A Samad Said, Muhammad haji Salleh, Zaharah Nawawi, Anwar Rihdwan, Malim Ghozali PK, Baharudin kahar, Shaari Isa, Siti Zainon Ismail, Datuk Hassan Ahmad, Firdaus Abdullah, dan termasuk penulis generasi kedua dan ketiga yang lainnya. Saya ke sana bersama Bahazain, SM Zakir dan Shamsudin Othman dengan satu kereta.

Saya tidak melihat kejayaan lain tetapi elok juga saya sebutkan di sini.
Pertama, ITNM berjaya menterjemahkan 28 judul buku dalam masa setahun dalam beberapa bahasa. Karya sasterawan malaysia telah diterjemahkan untuk tujuan promosi ke peringkat dunia. DBP tidak mungkin dapat menyamai rekod ini.

Kedua, para sasterawan terasa dihargai apabila mereka diberi gambar yang ditempah khas, manakala pengunjung pula mendapat satu buku bergambar wajah sasterawan sebagai autograf. menarik sekali idea itu.

Bagi saya, pertemuan semula dengan Shaari Isa sangat menguja kerana sudah berpuluh tahun rasanya saya tidak bertemua dengan beliau padahal tesis sarjana saya menggunakan korpus daripada karya beliau. Semalam saya tidak mengenalinya, dan apabila diberitahu olehAnwar Ridhwan bahawa itu Shaari isa barulah saya sedar. Segera saya menemuinya dan memperkenalkan diri kerana saya yakin beliau juga sudah melupai wajah saya. Tidak susah untuk mencungkil ingatannya kerana dia segera mengenali saya.

Selepas Muhyidin berucap melancarkan buku ITNM beliau mengadakan sidang akhbar dan selepas itu dibawa ke tingkat atas untuk bergaul dengan sasterawan dan jemputan khas yang memiliki kad undangan terhad. Kami bertuah juga kerana mendapat undangan khas dan turut bersama majlis di tingkat atas. Ketika itulah para pejuang bahasa menghimpit beliau dan menyuarakan hasrat hati tentang PPSMI. Datuk Hassan Ahmad, pengerusi GMP bertmu hidung menyuarakan pandangannya.

Baha Zain mengajak saya mencelah untuk menyampaikan memo daripada PENA tentang PPSMI, dan kami berjaya juga berbuat demikian. Baha Zain duduk di sebelah Muhyiddin dan menyerahkan memo yang tergesa-gesa saya sempurnakan penjilidan pada pagi itu.

"Sama ke dengan yang dia cakap tadi?" kata Muhyidin lebih kurang, dengan maksud adakah memo kami itu sama kandungannya denga percakapan Datuk Hassan. Tak sempat dijawab dengan sempurna, ada pula suara orang lain menyampuk.

"Ini penyokong kuat," kata Datuk Hassan. Pena memang menyokong kuat GMP kerana lazimnya Rumah Penalah tempat pertemuan dan sidang akhbar GMP tentang PPSMI.

"Saya nak ajak datang rumah," katanya lagi, dengan maksud satu pertemuan tertutup akan diadakan dengan kumpulan GMP.

Tidaklah dapat dipastikan sejauh mana pertemuan dengan Muhyiddin akan membuahkan hasil. yang pasti beberapa orang Sasterawan berjaya bersalam dan bercakap secara terus dengannya tentang PPSMI. Ini termasuklah Anwar Rihdwan, Samad Said, Prof Muhammad Haji Salleh.

Di-celah-celah kesesakan ketika Muhyiddin bangun untuk balik, A Samad Said berbisik dengan saya, "Saya jangka tadi ada pengumuman untuk memansuhkan PPSMI." Saya hanya gelak kecil dan terasa kecewa juga walaupun tidak berharap apa-apa. Tidak nampak kesediaan Muhyiddin hendak menghapuskan PPSMI. Yang kelihatan ialah kesediaannya mendengar pandangan sasterawan dan budayawan dan bahasawan dan nasionalis, tetapi mendengar belum tentu menerima.

Kelihatan juga riak-riak kesediaan kerajaan memujuk para sasterawan dengan projek pertamanya mewujudkan Kota Buku di Kuala Lumpur.
Adakah ini hanya gula-gula supaya sasterawan dan budayawan dan bahasawan menutup mulut untuk meminta PPSMI dimansuhkan?

Kalau benar sekalipun, saya yakin para pejuang tidak akan surut ke belakang daripada perjuangan memansuhkan PPSMI. Baha Zain sendiri menegaskan hal ini semasa kami meredah Putrajaya untuk pulang ke rumah PENA. Orang lain pun begitu juga pastinya, kecuali orang UMNO yang buta hati. Yang celik hati, kita menghormati mereka.

4 comments:

Unknown said...

Semoga pertemuan semalam membawa berkat dan rahmat untuk semua pihak. Lain hari kita bersua lagi ya tuan:)

Unknown said...

Tuan,
Ingat ada berita gembira tentang pemansuhan PPSMI. Harap pertemuan demi pertemuan itu benar-benar membuahkan hasil bukan hanya untuk melengah-lengahkan masa.

Hapuskan PPSMI!

saleeh rahamad said...

ya, kita jangan berhenti daripada perjuangan kerana kemenangan bukan hanya dalam bentuk pencapaian matlamat tetapi kemenangan juga namanya apabila kita istiqamah dalam perjuangan. semoga Allah merestui perjuangan yang ikhlas ini.

sahrunizam abdul talib said...

Salam,

Insyallah kebenaran akan tiba! Yang menjadi teka-teki hanyalah masa.