Monday, May 25, 2009

serah memo kepada muhyidin

Gambar ini dirakam semasa majlis Pelancaran buku Institut Terjemahan Negara pada 19 Mei2009 di Hotel Shangri la, Putrajaya yang turut menyediakan ruang masa untuk para sasterawan bertemu dengan TS Muhyidin Yassin, Menteri Pelajaran. Baha Zain (Dato Baharudin Zainal) sedang menyerahkan memo daripada PENA manakala saya hanya memerhatikannya di sisi Baha Zain.


1. Saya mengambil gambar ini daripada blog Azizi Haji Abdullah. Walaupun tanpa meminta izin daripadanya saya harap beliau tidak membantahnya. Saya (di kiri) dan Dato Baha sempat meloloskan diri mengambil tempat Datuk Firdaus dan Datuk Wan Hashim an Teh untuk menghimpit TS Muhyidin. Dato Baha bersungguh-sungguh mengajak saya menghimpit Muhyidin dan teerpaksalah saya membunuh rasa enggan berbuat demikian. Kalau Dato Baha seorang yang berbuat demikian pun sudah memadai kerana beliau Presiden PENA, sedangkan saya di bawahnya. Tapi begitulah Dato Baha memimpin kami dalam PENA. Beliau mahu menolak kami ke atas,dengan segera, mengambil alih tanggungjawabnya. Saya sering membandingkan beliau dengan pemimpin organisasi lain.

Kandungan memo itu telah disediakan oleh Dato Baha dan beliau kemudian menyerahkannya kepada saya untuk disemak atau ditambah apa-apa yang patut. Saya tidak menambah apa-apa rasanya selain membetulkan sedikit format dan mengemaskan sedikit bahasa. Jadi, biarlah Dato Baha sendiri yang menyiarkannya jika beliau mahu berbuat demikian. memang telah saya sarankan supaya salinan memo itu diedarkan kepada wartawan tetapi beliau mahu bertangguh dulu. "Kita tengok seminggu dulu," katanya. Dan sekarang sudah seminggu. Memonya tentang PPSMI tetapi butirannya apa.
Yang pasti, memo itu ditandatangani oleh Baha Zain. Beliau tidak menggunakan gelaran dan nama penuhnya, dan saya kekalkan begitu untuk menghormati prinsipnya sebagai seniman. Ini juga politik, saya fikir. Saya terhimbau kata-kata usman Awang yang lebih kurang bermaksud, "tidak terlibat dengan mana-mana parti politik juga merupakan tindakan politik".

Seniman memang patut kekal dengan kesenimanannya, dan tidak terjebak dalam permainan kuasa atau relung feudalisme.
Eloklah begitu, kerana bak kata A. Samad Said, "kuasawan ada tarikh luputnya, tetapi sasterawan tidak ada tarikh luput" semasamengadakan sidang akhbar di Rumah Pena baru-baru ini.
Oleh itu, saya senang bersama teman dalam dunia seniman dan sasterawan, bukan kuasawan.

2. Sebenarnya saya dipenjarai kebosanan melampau di bilik asrama pelajar UU, Sintok, Kedah. Maka, saya pun bertandanglah ke blog kawan-kawan.
Bagaimanapun, tinggal di asrama pelajar ini mengingatkan saya pada pengalaman menjadi pelajar di UM. Saya tinggal di Kolej Kedua pada tahun 1985-1986. Ketika itu Dr Irwan Abu Bakar menjadi pengetua Kolej. Beliau belum terserlah sebagai penulis tetapi sudah ternampak riaknya. Dalam satu majlis di dewan makan asrama beliau bercerita tentang pengalamannya menjadi editor majalah kampusnya semasa di luar negara. Beliau memang petah bercakap dan bahasanya juga baik. maka tidak hairanlah beliau boleh menjadi sasterawan walaupun kelulusannya dalam bidang kejuruteraan (bidang sebenarnya saya lupa).
Pada masa itu saya hanya menggunakan mesin taip untuk menulis dan membuat tugasan. Hampir setiap malam mesin taip saya berketik dan di bawah meja bersepah renyukan kertas akibat tersalah taip. Mungkin teman sekamar saya terganggu dengan kerja saya. Saya pernah sebilik dengan Barhan (dari Cendering, Terengganu), Wan Yusof (dari terengganu juga), dan Rafaie (dari Ipoh, sekarang jadi pegawai besar di Ipoh).
Entah di mana kawan-kawan lain.

3. Susah nak tidur sekarang kerana panas. Tapi dulu boleh pula? Kalau boleh mahu juga kembali ke sekolah lama, Sek raja Chulan, Ipoh, Sek Men Aminuddin Baki, Chemor, dan Sek Keb Hulu Kuang. Semua ada kenangan manis walaupun banyak juga sengsaranya.

4. Kalau saya menulis apa-apa saja dalam blog ini yang tidak disukai oleh pembaca yang singgah, anggaplah ini hanya catatan diari saya untuk saya baca sendiri bila-bila nanti.

3 comments:

ridzuan said...

Ayah Leh dah pekena nira kedah?

Pencinta Pantai Bersih said...

Tuan,
Apa tindakan selanjutnya setelah seminggu berlalu? Sampai bila kita harus menunggu? Ada pelan B ke? Atau dah sampai ke pelan Z? Besar harapan saya agar Dato', tuan dan sasterawan lain berjaya dalam usaha memartabatkan bahasa kita ini. Saya juga ingin turut serta jika diperlukan nanti. Sekarang saya hanya menyokong dari jauh.

Salam perjuangan.

saleeh rahamad said...

ridzuan,
nira kedah ya..lupa la pulak. entah sempat ke tidak esok. tidur di canglun apa yang ada, kedai pun tak cukup barang. nak siam tapi tak sempat minta izin dari kementerian dalam negeri. haha.