Saya tidak dapat menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-2 anjuran PENA walaupun saya selaku Timbalan Pengerusi perhimpunan itu. Ini satu tragedi rasanya kerana sejak perhimpunan yang pertama tahun 2005 di Tanjung Piai kami dalam Pena sentiasa berusaha merancang untuk menganjurkan perhimpunan kedua. Apabila sudah berjaya saya pula gagal menyertainya. Walaupun kerja menganjurkan perhimpunan kali ini terbeban atas bahu beberapa orang muda dalam PENA, saya tetap berasa bertanggungjawab mengambil perhatian terhadap perjalanan projek itu. Saya pernah memikul tanggungjawab itu dan mujurlah keluarga saya memahaminya. teman-teman lain juga kerap mencuri masa bersama keluarga demi mengangkat dunia sastera Melayu. Begitu juga pejuang sastera generasi terdahulu. Maka itu, keluarga (isteri dan anak-anak mahupun ibu bapa) merupakan wira tak didendang. Mereka wajar dihargai dan seharusnya mereka percaya dan yakin bahawa penglibatan suami mereka dalam PENA ada manfaatnya kepada bangsa dan agama.
Sekali lagi saya terpaksa meninggalkan keluarga walaupun tidak bersama PENA di Melaka. Pada masa yang sama saya terpaksa ke UUM Sintok bersama pasukan Taekwondo UM selaku pengurus pasukan untuk menyertai MASUM (sukan antara universiti). Memang jauh sekali bidang sukan ini dengan tanggungjawab saya dalam persatuan penulis. Tetapi ada kalanya saya terpaksa membuat pilihan tanpa kerelaan penuh dalam hati. Terlibat sejak lama dalam pasukan TKDUM menyebabkan saya sukar untuk menolak tugas ini. Tapi mungkin ini tahun terakhir saya menjadi pengurus TKDUM. Banyak tugas lain yang mesti saya laksanakan.
PENA perlu dihidupkan dengan lebih agresif kerana inilah wadah yang menjadi harapan sebilangan besar penulis. Bekerja bersama tenaga muda di samping mentor yang kaya idea (Datuk Baha Zain) memang mengujakan. Paduan kerjasama antara dua generasi (atau tiga..saya yang di tengah agaknya) membolehkan kami melaksanakan beberapa idea yang abstrak dalam bentuk yang konkrit.
Kekangan PENA ialah kewangan tetapi PENA tidak menyimpan wang di dalam peti simpanan hingga "genggam tidak tiris". Kami menggunakan sumber yang ada dan di samping itu mencari sumber tambahan. SM Zakir yang banyak mengusahakan pencarian sumber kewangan, manakala kami membantu dari belakang. Mujurlah banyak pihak telah menaruh kepercayaan kepada PENA untuk menyalurkan bantuan dan menjalin kerjasama seperti DBKL, DBP, ASWARA, Kerajaan Negeri Sembilan, Melaka, Kementerian yang menjaga soal kebudayaan (namanya sentiasa bertukar).
Kerjasama dengan Prince of Songkhla University di Hatyai dan Universiti Wailalak di Thailand juga semakin erat sehingga memasuki bidang kerjasama akademik. PENA sudah menjadi perantara bagi kedua-dua universiti itu di Malaysia. Kadangkala sukar untuk kami penuhi harapan mereka terutama yang melibatkan perjalanan ke Thailand.
Sekarang saya di UUM dan pada masa yang sama tersebar pula berita tentang wanita berkebaya merah di hentian Gurun. Itu stesen perhentian perjalanan pulang saya pada 28 Mei nanti. Perlukah saya mencari teman untuk memandu pulang nanti? Setakat ini saya tiada kawan yang boleh dijadikan teman pulang. Pelajar akan menaiki bas.
Kepada peserta perhimpunan penulis muda di Melaka, selamat berseminar. Ini sejarah yang patut dikenang. Anda pencatat sejarah perkembangan sastera tanah air dan akan menjadi bahan kajian pada masa depan. Manfaatkan peluang ini untuk mempertingkatkan kepengarangan anda.
Tahniah kepada Saifulizan dan rakan-rakannya yang bekerja keras untuk menjayakan perhimpunan ini. Saudara semua telah membantu PENA dan saudara pelakar sejarah penting dunia kesusasteraan di Malaysia.
Sebagai orang tua (ish..balik-balik ngaku orang tua) saya percaya bahawa PENA akan terus hidup di tangan orang muda. Inilah tradisi PENA: sentiasa percaya pada pelapis untuk memikul tanggungjawab.
11 comments:
Tuan,
Maghrib tadi saya singgah solat di R&R Gurun, sorang2. Alhamdullillah, ok je. Masih ramai yang berhenti rehat dan rawat di situ, walaupun tak seramai dulu. Entahlah, media di Malaysia ni suka memperbesarkan cerita2 yg tak sepatutnya. Tak terfikirkah mereka, mereka boleh menyebabkan peniaga di situ hilang pelanggan. Dan kita menjadi gementar sedikit sebanyak bila melalui Gurun bila teringatkan cerita itu.
Hee seram kan? Bila menghampiri Gurun, tetiba, tayar kereta berbunyi kuat. Groooo.. Kereta terasa berat, kena tekan minyak lebih. Teringat wanita berkebaya merah... Hai, dia dah tumpang ke...hingga kereta jadi berat?... Mulalah rasa gelebah, baca ayat Kursi tak henti2...mata menjeling cermin sisi dan cermin tengah... tiba-tiba...jeng jeng jeng...
Haha, tak de mendanya. Tayar kereta berbunyi kuat, dan terasa berat sebab permukaan jalan itu diperbuat dari konkrit. Ianya lebih kasar dari tar. Jika lalu selalu, tayar kereta kita cepat haus. Tapi jalan konkrit ni tidak perlu diselenggara selalu seperti tarmac. Sama seperti di Sungai Buluh.
Heheee.
Kih Kih Kih.
Kenapakah dirimu tidak hadir wahai pejuang bahasaku meniup angin semangat ke setiap deria anak bangsa? Sungguh kumerindui untuk mengucapkan terima kasih secara bersemuka kerana menghadiahkan kami anak dengan sajak bermakna Mencari Wira....
Tuan juga sedang berjuang di utara sana. Di selatan juga anak-anak muda menggalas harapan dunia sastera. Tepi teman yang dok tengah2 nih... tak ke mana yop! Bnyak lagi agenda yang belum selesai. Harap dapat sama2 menghulur tangan di lain acara. InsyaAllah.
Tuan guru,
Bukankah tuan guru seorang pemburu. Apa barang takut dengan 'si kebaya merah'? Ngap ajalahhhhh
Hehehe. Apa-apapun kejayaan PPMN ke-2 berjaya melangsungkan perjuangan PENA. Cuma, ucapan perasmian oleh Osman Muhammed aja yang mengharu-birukan suasana. Dia tu mencemar dan merosakkan majlis betullah...
Yang lain-lain ok. Tahniah untuk PENA.
Alhamdulillah saya selamat sampai ke rumah 6.30 ptg slps hadiri PPM PENA. Tahniah buat tuan juga semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakannya! Saya gemar bila tuan Saleh martabatkan pengorbanan ahli2 keluarga. Kadang2 manusia itu rasa hebat seorang diri tanpa pengorbanan sesiapa.
lain kali kita panggil ketua satu PPJ je rasmi program kita. ingat tak beso ke dia. boleh lawan ketua satu gapena woh dan semua menteri dalam tangan dia. haha amacam. lagipun senang nak layann dia ni. merakyat orangnya. baik hati, sopan santun berbudi bahasa. rajin serba serbi.
oklah amir jangan marah
apalah yang kebaya merah nak takut. selama ni yang pakai cheongsam, kain batik, kebarung,sutera thai, baju menado tak pernah takut pun...
Itula, nak buat camna perhimpunan penulis muda yang meriah ni tak boleh ikut. Tak palah kita buat perhimpunan penulis tua pulak. Yang tu boleh panggil amir rasmi. tapi tulis dalam blog berjela-jela pasal dia tak guna, bukan dia tahu buka blog pun. Pakai batik dan blazer saja sampai ke lutut, tapi buta IT.
tulah dianya...si amir ni kalau kita ngata dia pun dia bukannya tau.dan kalau dia tau pun "aku peduli apa" meminjam kata-kata dia juga. "Tapi aku cerdik" cerdik macam....orang masuk dalam dia tinggae luo.
Encik Salleh (bakal Dr)
terima kasih walau tidak dapat hadir tetapi pesanan telah disampaikan.
Jika kebaya merah menumpang, benarkan sahaja dan tinggalkan dia di rumah PENA.
Biar bersemangat rumah tua itu.
Salam.
Saiful, janga tinggal dekat rumah PENA. Nanti takut aku nak bertuala di sana. keh keh
Di mana-mana pun perjuangan itu perlu ada. Lantas selamat berjuang...
Post a Comment