Thursday, August 27, 2009

nganto-nganto: permainan yang sudah lenyap

Permainan nganto-nganto tidak saya temui di tempat lain. Di Kampung Jasa, Chemor sekitar tahun 60-an dan 70-an sebelum masukera elektrik, permainan itu sangat popular dalam bulan puasa. Nganto-nganto berasal daripada kata "menghantar" dan diperakkan dengan sebutan unik kami. Caranya agak pelik kerana yang berbudi akan menerima akibat buruk tetapi sememangnya direlai. Satu kumpulan dalam tiga atau empat orang (bergantung pada perbincangan) akan menyediakan juadah makanan sama ada kuih, buah atau pun apa-apa sahaja asalkan boleh dimakan. Senarai nama akan ditulis pada sehelai kertas. Juadah dan kertas itu kemudian akan dihantar ke mana-mana rumah secara senyap pada awalnya, tetapi setelah selesai meletakkannya di pintu rumah kumpulan itu akan membakar mercun atau menjerit "Nganto-nganto!" Kumpulan itu akan lari menyelamatkan diri kerana selepas itu tuan rumah akan menyediakan kumpulannya pula yang terdiri daripada rakan-rakan untuk mengejar mereka. Lebih menyeronokkan, kumpulan pengejar akan menyapu telapak tangan pada arang kuali untuk disapukan pada muka orang yang menghantar juadah. Berdasarkan senarai nama itu, mereka akan mengejar kumpulan penghantar di segenap kampung. Biasanya permainan itu sudah bermula selepas maghrib lagi. Maka akan berkeliaranlah dua kumpulan itu di serata kampung hatta memasuki hutan atau semak belukar di tengah kampung. Walaupun perdu nanas menghunuskan ketajaman daunnya sedikit pun tidak timbul ketakutan pada kumpulan penghantar untuk menyelamatkan diri. Sekiranya sesiapa yang lari berjaya ditangkap maka arang yang bersalut pada tangan pengejar akan menghitamkan muka mereka. Tidak boleh sesiapa pun memarahi hukuman itu, malahan semuanya akan berasa seronok dengan adegan kejar-mengejar. Lazimnya permainan akan berlarutan sehingga larut malam atau setelah semuanya berjaya disapu arang. Semasa saya kecil, orang yang sudah berkeluarga pun turut serta dalam permainan ini, baik lelaki mahupun wanita. Sekarang mereka sudah tua-tua.
Saya sendiri berpengalaman sebagai penganto mahupun pengejar. Dan kami pernah bersembunyi di belukar paya apabila pengejar sudah hampir. Sedikit pun tidak kami takut ketika itu. Ada kawan yang hanya berlari dengan berkaki ayam. Dan kawan ini jarang mengaku bahawa dia sudah berjaya ditangkap.
Setelah penat dan selesai kami akan pulang ke rumah dan mandi sebelum masuk tidur.
Setelah kampung menerima bekalan elektrik permainan itu semakin surut dan hilang juga akhirnya. Malahan panjut pun tidak lagi menerangi kampung kecuali di sebuah dua rumah. Tidak ada lagi kanak-kanak (saya sendiri) yang berjalan dari rumah ke rumah dengan membawa tanglung lilin. Tanglung itu dibuat berbentuk bintang yang disaluti kertas lutsinar. Di dalamnya, pada rangka buluh akan dipasangkan lilin. Ramai kanak-kanak dan anak dara tentunya berjalan di sekitar kampung. Ketika itu saya masih kank-kanak dan tidak merasa debaran bermain dengan anak dara di kampung. Semua kami anggap biasa saja. Malah mandi di sungai pun tidak dibatasi apa-apa.
Kawan-kawan saya masa itu ialah Wa, Lan, Usop, Hamid, Pot, Johari, Mat Pak Buyong, Du, Li Ketot. Amir. Kami tidak mencampuri generasi yang lebih dewasa kerana pada masa itu kanak-kanak tidak boleh mencampuri "orang tua". Tapi rasanya kenakalan kami tidaklah sampai mengatasi kenakalan "orang tua" masa itu.

Setelah bersekolah saya jarang sekali tidur di rumah semasa bulan puasa. Kami akan memenuhi madrasah tidur berhimpit-himpit. Tetapi ramai juga yang merayau sebelum tidur atau mengintai rumah orang yang ada anak dara atau pasangan yang baru berkahwin. Saya sendiri tidak berani berbuat demikian kerana bimbang diketahui oleh ibu bapa saya. Cerita mengintai pun sentiasa bermain dalam kenagan saya. Kita sambung kemudian...apa lagi aktiviti dalam bulan puasa?

9 comments:

NASSURY IBRAHIM said...

Laporan Berita Harian hari ini, 27 Ogos 2009, tentang sikap KPM mengesahkan lagi akan Bebalisme KPM, sebagaimana saya tulis dalam blog.

Helen said...

Kami, masa kecik dedulu yg paling top masa bulan puasa main polis sentri, tuju kasut dan rounders. Kalau nganto kui, setakat nganto je la. Tak de pulak kena lumur dengan arang.

Bebudak sekarang, lepas berbuka, pergi terawih (anak2 teman le). Lepas terawih, main bunga api sikit2 je. mercun pun susah nak dapat sekarang. Zaman kita dulu, mercun mewah. Boleh main combat2 lagi hehe. Terbakar kain batik teman dibuatnya...hehe. Iskh seronoknya berpuasa di kampung masa bebudak dulu.

S.M. Zakir said...

seorang penulis di mana pun akan bercerita dengan tulisan 'murni'. maka kita pun bacalah, kawan-kawan saya ngintai tetapi saya tidak. lain perengan pula, berkejaran kami ada lelaki ada perempuan. noktah.

Cerita sebenar (bukan cerita penulis blog ini); aku selalunya mengetuai kumpulan pengintai ini, dan aku yang dapat melihat dulu sebelum yang lain dapat lihat. Keduanya ketika masa kejar aku tak pilih nak kejar Man, lebih suka aku kejar Nab, dan bila aku dapat Nab... ha ha. Ini bukan ditujukan kepada sesapa tapi pengalaman diri sendiri jugak ha ha ha. mungkin ada teori subliminasi atau anjakan makna untuk proses kreatif sebegini, amacam bang. Bulan posa kita fikir teori per se je, tak da libido pun

Helen said...

Hehe, kena sebijik btg hidung orang itu....

saleeh rahamad said...

itulah kuasa pengarang. menurut teori michel foucault, kebenaran yang disampaikan oleh pengarang bersifat relatif. Dia akan membina discourse. kebenarannya bukan yang hakikat tetapi yang dikonstruksikan. begitulah yang dilakukan oleh orientalis apabila menulis wacana tentang ketimuran. mereka menulis mengikut persepsi mereka tentang the other.
tapi bukan nak kate la..memang seronok masa kekecik dulu di kampung. nak citer juga ke? tak payah le kan. main polis sentri ngejor yam je kerojenya. main nyorok memalam pun sengaja ngimpit ..isy dah tua pun deme tu ...tak macam kita nampak muda lagi. maklum pempuan bila dah beranakpinak tak kenal dah ...macamm mak cik macikje. itulah pentingnya jaga badan dan paras rupa.

Helen said...

Aikh? Balas dendam nampak. Saya masih maintain lagi kot.. hahaha.

Kakcik said...

Selalu tuan mengaku dah tua.. kali ini mengaku muda pulak... hehe

S.M. Zakir said...

boleh lagi main nganto-nganto tu... setakat nak tangkap nazmi tak da hal la.

Nassury masuk tajuk yang mana satu ni? nak kena nganto betul mamat ni.. tak masuk tajuk langsung

saleeh rahamad said...

nassury dah jadi sang idealis. cuti lah sekejap jadi pemikir. letih kepala