Thursday, February 3, 2011

Sajak untuk Zaen Kasturi




Kau seperti Malam
(Himbauan terhadap Zaen Kasturi)

Seperti malam yang menebarkan rawan zulmat
dan menyembunyikan butir cahaya di lapis rahsia
begitu kau sering menebar rawan kata
yang sirna tanda maknawi
pada mata kasar pembaca yang kontang rasa.

Taburan kata dan tebaran makna
bersilang dalam tingkah nada
dan getarnya menyusup ke kalbu
memugar gersang taakul
kaugemakan dengung kematian
yang kerap dibisukan para pencinta hidup
dengan diksi seribu makna
dan cairlah keras hati
walau mereka tidak memahami erti.

Kau tidak mengutip kata di celah pasir, awan, daun, dan sisik ikan
Kau tidak menyusun bahasa demi bunyi dan nada yang beralun
Kau tidak mengukir rangkap kalimat bersusun rima
Yang kautitipkan ialah nadi yang berdenyut di perdu angin
di halus pasir, di baldu awan,di basah daun, di tajam sisik ikan
yang kaubariskan ialah dentingan kalbu berzikir beribu
yang kauarcakan dirimu peribadi yang mencari hakikat insani.

Sahabatku Zaen,
aku tidak mahu menyukarkan diri
membongkar makna dalam puisimu
kerana tidak ada tafsir yang semu dalam bahasamu
yang kauhidangkan ialah diri peribadi
terlalu sukar untuk difahami.

Setelah berendam dalam lautan kata berwarna nurani
yang kutemui hanya kehilangan diri sendiri
tapi tidak terpisah
aku dengan kebenaran maknawi.

Yang kuhirup dari cangkir puisimu
sarbat rindu seorang teman pada taulannya
madu imani insan pada penciptanya.

Sahabatku Zaen
kau seperti malam
dan aku mencari titik hitam di dalamnya.

Mohamad Saleeh Rahamad
Rumah Pena
7 Januari 2011

No comments: