Saya penuh yakin bahawa Jafri Tajol Aripin yang kehilangan isteri akibat dibunuh oleh perompak di Ipoh kelmarin ialah sahabat saya semasa di tingkatan enam Sekolah Raja Chulan pada tahun 1982-83. Kalau benarlah ini sahabat saya tentunya saya memperoleh dua kesan, iaitu pertama sedih sekali atas musibah yang menimpa dirinya. Takziah saya kepada beliau sekeluarga. Kedua, gembira kerana saya dapat bertemu kembali dengan beliau walaupun melalui akhbar.
Jafri yang kami panggil Jef memang kacak orangnya. Dia kaki lipat takraw dan saya sering menjadikan dia model apabila belajar menjadi killer takraw. Bersama-sama di Sekolah Raja Chulan, Ipoh, semasa di tingkatan enam ialah Jafri yang kami panggil Jeff Besar kerana ada seorang lagi Jefri yang bertubuh kecil, yang kami kami Jef Kecil. Yang lain ialah Yahya Sulaiman (Yot) dari Kuching Sarawak, yang pandai bermain bola semasa di asrama dan setelah pulang ke Kuching menjadi penyanyi lagu P Ramlee terkenal; Hanafi Abdul Rahim (dari Gopeng) yang menjadi sahabat bertempur saya kerana kami sering berkungfu baik siang mahupun malam di tengah padang, depan asrama; Zulkifli Hussin jaguh pecut yang cepat sangat kahwinnya; A. Aziz Abu yang hensem dan kemudian bekerja di Felda, Jalan Semarak, rasanya; Ismail (Ma'a) dari Parit yang kemudian bekerja dengan pejabat peguam di KL tetapi tidak pernah saya temui; Fauzi budak Gopeng yang bertunang cepat tetapi tak tahu bila berkahwinnya; Ramu (kalau tak silap) budak India bertubuh besar yang pernah berkata "kalau kita jumpa di akhirat nanti, tentu kecoh akhirat,";Shahrul Azila juga budak kasanova (jangan marah bro) dari Gopeng yang dengar cerita sudah jadi tauke kolej di JB, juga kahwin cepat; Mohd Nor rashid budak Pulau Pangkor,imam asrama yang kalau dengar lagu Mama Mia daripada kumpulan Abba akan berlari dari tingkat tiga ke bilik tv kerana minatnya; Yahya Abdul Hamid berwajah Cina yang kemudian jadi guru, dan tubuhnya semakin besar walaupun dulu kurus. Itu yang saya ingat. Ramai lagi rasanya tapi tak duduk asrama.
Kami akan bersarapan di restoran Mahsuri di belakang Politeknik Ungku Omar pada setiap minggu. Nasi lemaknya sedap dan ada pula mesin lagu (apa namanya...radiogram rupannya masih ada mesin itu di sebuah gerai makan di pekan Chemor dekat stesen keretapi yang tidak beroperasi lagi. Saya singgah di gerai itu baru-baru ini bersama teman-teman PENA selepas menziarahi Amirul Fakir di Taman Meru). Dengan mesin lagu itu kami akan mendengar lagu kegemaran setelah memasukkan syiling 20 sen. Lagu "Hari persandinganmu" jadi kegemaran saya masa itu.
Warden asrama kami ialah Cikgu Rosli, guru muda yang hensem dan sangat baik dengan kami. Rumah bujangnya jadi tempat kami berhimpun menonton tv dan video. Dia memanggil saya "Salleh Kungfu" kerana sering saya berlatih menendang dan melipat di depan biliknya, membelasah pucuk bunga raya terutama setelah menonton filem Jackie Chan.
Kami sering bermain takraw di depan asrama. Saya tidak pernah pandai menjadi pemain killer walaupun latihan menggulung tidak henti-henti saya lakukan. Namun begitu, gaya lipatan Jeff Besar sangat mengagumkan saya. Dia boleh bergulung di sisi jaring dan bola rejamannya juga laju sekali.
Saya tidak pasti adakah arwah isterinya pelajar Sek Raja Chulan juga kerana perkahwinannya tidak saya hadiri. Kami terputus hubungan selepas habis STPM. Hanya Hanafi Abdul Rahim pernah datang ke kolej penginapan saya di UM semasa saya belajar. Selepas itu terputus lagi. Dan sekali pernah Aziz datang ke UM. Terputus lagi.
Teman-teman lain hilang tanpa khabar berita. Oh ya, Shahrul Azila pernah menghubungi saya setelah dia melihat gambar saya di akhbar. Terputus lagi kami kerana kesibukan masing-masing.
Rindu juga hendak bertemu semula dengan mereka. Tetapi entah bila ada kesempatan.
Setelah mendapat berita tentang salah seorang daripada mereka, kesedihan pula yang menyelubungi.
Apa pun, saya doakan arwah isteri Jeff ditempatkan bersama orang yang beriman. Kepada Jeff, bersabarlah.Ini ujian daripada Allah.
Kalau ada sesiapa kawan yang membaca blog ini marilah kita berjumpa semula. Tentulah tidak sekecoh yang dibayangkan Ramu "di akhirat" kerana masing-masing sudah berusia dan cara berfikir mungkin berlainan. Alangkah indahnya zaman muda di sekolah....
Ke mana kawan-kawan perempuan, Hamsiah, Roslina, Liza, dll. yang dah jadi emak-emak dan nak dapat menantu agaknya. Cepatnya masa berlalu mengheret pergi kenangan muda kita.
Dan di depan kematian sedang menyerbu ke arah kita. Pertembungan akan berlaku satu persatu.
4 comments:
Saleeh,
Takziah kepada Jeff Besar. Dahsyat sungguh jenayah sekarang. Dadah membuat manusia hilang pertimbangan dan hilang perikemanusiaan. Menitis airmata saya membaca berita itu semalam. Kita doakan arwah isteri, anak dan pembantu rumah beliau dicucuri rahmat. Amin.
Tuan guru,
Al-fatihah kepada yang telah tiada dan meninggalkan kita.
Cuma kalau nak jumpa Ramu tu, jangan jumpa di neraka. Biar jumpa di syurga aja.
Tgk gmbar.. Teringat kenangan di Dom Megat Terawih..
Tgk gmbar.. Teringat kenangan di Dom Megat Terawih..
Post a Comment