Wednesday, December 28, 2011

sajak hujan

kusangka hujan di rembang petang, rupanya tak hujan.

Tuesday, December 6, 2011

Entah masih adakah seekor cengkerik dan burung hantu yang menukangi sepi malam di desa tak bertuan. Telah kutinggalkan segalanya buat sementara untuk lagi datang dengan cempaka dan pelita sebuah mengisi malam yang beku dan rumah yang kosong.

Thursday, October 27, 2011

Hari ini saya berbincang dengan seorang teman yang sangat memahami dan banyak membantu perjalanan perjuangan saya. Saya sendiri tidak mampu membalasnya tetapi saya berdoa Allah memberkati hiduonya. Kami merancang untuk melaksanakan satu projek yang besar dan saya menerima rancangannya itu walau dalam hati timbul keraguan akan kemampuan saya. Katanya, "Kalau ada masalah, bagitahu saja, jangan malu-malu." Saya tetap segan meminta banyak. Esok akan bermula Kongres Bahasa dan persuratan melayu ke-8 di DBP, anjuran Gapena. Ini sebenarnya peristiwa besar tetapi semakin susut nilainya. Mari kita pergi memberikan sokongan kerana wadah ini jika kiota dukung bersama akan memberikan dampak yang besar.

Saturday, October 22, 2011

buka kedai

alhamdulillah saya dapat kunci semula. saya akan buka kedai semula.

Monday, May 30, 2011

Catatan

Sudah lama aku tak balik kampung untuk melihat rumah pusaka yang sendirian melayan angin waktu dan siulan sepi membingit sewaktu malam. sesekali perlu kutitipkan pesan pada rumput agar jangan mati dan semut jangan pergi, hiasilah rumah itu sebagai taman yang bernyawa. kami akan datang juga dan mahu melihat semuanya hidup bersatu, menyepuh kemarau desa.

Thursday, May 19, 2011

Mei terlalu sempit

Terlalu sempit sungai Mei sedangkan arus besar dari hulu membuak menolak ratusan balak dan runtuhan tebing yang dikirimkan takdir.

aduhai bulan Mei terlalu sempit. kerja bertalu-talu datang. di mejaku terhimpun seberkas tanggungjawab yang datang bertimpa-timpa. memang ini rezeki tetapi ini juga ujian besar kerana amanah orang perlu dilangsaikan dalam tempohnya. aku sudah pun gagal menyiapkan satu tugasan daripada DBP. namun akan kusiapkan juga.
perlu kuhakimi empat sayembara dalam masa serentak ini. perlu disunting tiga manuskrip. perlu disiapkan kertas kerja dan kertas bengkel. perlu itu dan ini...ke singapura, sabah, dan telah kutolak kembara ke tanjung pinang dan batam (isteri pun gusar apabila destinasi batam ada dalam jadual walaupun aku sendiri gusar dengan kegusarannya. apa salahnya dengan batam? semuanya menuntut kewarasan). namun yang paling penting ialah aku akan diuji dalam satu pertemuan dengan tiga pemeriksa atas kerjaku. semoga Allah melapangkan jalanku dan memberi upaya kepadaku untuk melangsaikan segala tugas.

Wednesday, May 18, 2011

membersihkan sawang

Lama kutinggalkan laman ini dengan pagar bertutup dan kuncinya hilang walau harum mawar dan melur sentiasa mewangikan jalan dari tebing sungai yang tidak berarus. Kini kudatangi laman melihat kuntum mawar yang pecah dan lumut impian yang rimbun.

Monday, March 14, 2011

cerita zaman kecil 5

Di antara kampung saya dengan sekolah di Hulu Kuang ada banyak pengalaman yang mendewasakan. Sewaktu pergi ke sekolah pada waktu pagi kami tidak memikirkan jalan lencongan atau sebarang aktiviti di luar batasan. Tetapi dalam perjalanan pulang kami menempuh pelbagai godaan. Di luar kawasan sekolah Pak Judin membuka gerai ais kepalnya. Ais kepal menjadi kegemaran kami. Ais batu yang disagat dan dikepal menjadi sebiji bola ais sebesar bola baseball akan disirami air gula sirap dan dibungkus di dalam kertas surat khabar. Kami akan mengemam ais itu, menyedut kemanisannya dan menghabiskannya. Sekarang ais kepal tidak lagi dijual di mana-mana.
Kami yang tidak mampu hanya berjalan kaki ke rumah yang jauhnya kira-kira 2 batu. Bagi murid dari Kampung Ulu Chemor, mereka akan menaiki basikal atau kereta sapu Pak Enjah (Hamzah) atau Pak Pong (Pak Jaafar). Kami kadang-kadang dengki atau cemburu juga dengan mereka yang menaiki kereta dan kerap juga kami bergadu kecil. Bukan sekali kereta pak Enjah dibalingi batu kecil tetapi tidaklah sampai memecahkan cermin.
Kalau kami dahaga, kami akan singgah di rumah Kak Baie dan meminta air kosong. Dia yang sudah biasa menerima kunjungan kami akan menyediakan satu jag air kosong d tingkapnya dan kami terus menikmatinya tanpa meminta lagi. Itulah yang saya ingati sampai sekaran. Dia tidak pernah jemu menyediakan air kosong untuk kami yang dahaga ini. Rupa-ruanya kebaikan tidak semestinya memberikan kekayaan tetapi cukup menghilangkan dahaga orang yang musafir. Saya pelu memuhasabah diri sekarang: Adakah saya telah melakukan kebaikan seperti itu?
Selepas melimpasi rumah kak Baie kami akan melalui atau menyeberangi sebatang sungai kecil (tetapi pada masa itu terasa besar sn=ungai itu, dan jambatannya yang kami panggil geghotak juga terasa tinggi sekali). Sungai itu itu juga menjadi godaan kami. Dari atas jambatan kami akan terjun ke sungai yang cetek dan berpasir itu. Terasa-rasa lagi keseronokan itu sehingga sekarang sekarang seaktu saya pulang ke kampung dan berjoging sehigga ke sungai itu pada pagi berkabus. Sekarang saya dapati jambatan itu tidak setinggi mana. kenapa dulu teasa begitu tinggi sehingga memberikan keterujaan kepada kami ketika terjun ke sungai? Betullah kata teman saya, semas kita kecil apa-apa saja yang kita depani terasa begitu besar dan apabila kita dewasa barulah kita melihatnya kecil sahaja. Mungkin ini disebabkan cara kita melihatnya berbeza, yakni berdasarkan kemampuan diri?
Sungai itu tidaklah selalu jernih. Keruh mengalirkan keladak dari hulu, mungkin dari kawasan pembalakan. Di tebingnya sarat dengan rimbunan teberau. di tebingnya berbaris kayu bakau yang ditanamkan oleh Jabatan Saliran (agaknya).
Sungai Kuang tidak menjadi keutamaan kami untuk mandi berbanding dengan Sungai Hulu Chemor yang lebih jernih. Tetapi disebabkan kami melalui sungai ini pada setiap hari, kekeruhan tidaklah menjadi halangan besar untuk kami merendamkan kepanasan tubuh. Rasanya kami mandi dengan memakai seluar sekolah..atau membuang semua pakaian? Saya tidak ingat tentang itu.

Selepas sungai di kiri jalan ada sebuah bukit kecil dan di atas ada sepohon sentul. Kami akan memanjat bukit itu dengan berpaut pada pokok kecil dan banir yang berselirat. Di bawah pokok sentul itu akan berpestalah kami memungut buah sentul yang gugur. Walaupun rasanya masam manis itulah sahaja yang dapat kami nikmati tanpa pernah menerima larangan dari sesiapa walaupun kami tidak tahu pemiliknya. Pada kami semua pokok buah di dalam hutan milik awam kerana kami tidak pernah ada konsep geran tanah. Semuanya wakaf, kata kami. Dan kami makan dan makan dan membawanya pulang.Kadang-kadang kami berperang sesama sendiri dengan membalingi kawan dengan buah sentul yang kuning berkulit tebal itu.
Kami naik ikut jalan lain dan turun di sebelah sana ke kebn durian Pak Tok yang ada sebatang pokok remnia. Masam juga buah itu, tetapi sedap jua pada kami.

Thursday, March 3, 2011

cerita zaman kecil 4

Orang kampung saya tidak banyak yang ada kebun durian. Kalau ada pun kebunnya jauh di tengah hutan. Yang lain ada juga mempawah kebun durian orang. Saya termasuk dalam golongan yang tidak ada kebun durian Oleh itu, durian menjadi makanan impian saya. Saya hanya dapat mengendeng durian di kebun Pak Tok yang sering dijaga oleh Mak cik Ah di tepi jalan dalam laluan ke sekolah. Ada juga waktunya saya berkunjung ke kebun durian yang dipawah oleh MakTua di Kuang Hilir. Dapat makan durian dengan pulut memang cukup menguja saya. Mak Tua selalu menyediakan hidangan itu. Dan selepas makan kami akan berendam di sungai kecil berhampiran dangaunya. Untung-untung ada pula durian dari kebun orang lain yang hanyut di sungai.

cerita zaman kecil 3

Dari kampung saya ke sekolah, menuruni bukit Cik Mah dari madrasah sebelah kiri dan kebun getah abah saya di kanan. di lembahnya ada rumah Makcik Mah dan Pak Darus. Mak cik Mah ini sangat baik orangnya dan kebaikannya begitu jelas dengan emak saya. Dia biasanya akan masak dodol di dalam kuali kecil untuk hari raya dan sering dodol itu dapat kami rasa. Di rumahnya ada sebuah telaga yang jernih dan penuh airnya hingga melimpah ke permukaan. Kalau kampung kami dilanda kemarau telaga Makcik mah inilah tempat kami mandi. Airnya manis dan sejuk. Saya tanpa ragu boleh meminum airnya walaupun tanpa dimasak. Makcik Mah dan Pak Darus pun sudah lama meninggal dunia. dan rumah itu kini dihuni oleh bekas menantunya, Azmi. Sesekali balik kampung saya akan bertenggek di rumahnya itu pada waktu tengah malam untuk menemui kawan-kawan dan mendengar mereka menyanyi karaoke. Disebabkan jauh dari rumah orang lain bunyi bising mereka menyanyi tidaklah mengganggu sesiapa. Sesekali saya akan menyambar mikrofon dan menyanyikan lagu Broery dan P Ramlee. Lagu lain saya tak minat.
Melapasi Bukit Cik Mah kami akan melimpasi rumah Mak Cik Awi dan Pak Ajid (nama sebenarnya Abdul Aziz). Makcik Awi dulu rajin berniaga. macam-macam dijualnya. Setelah remaja saya pernah bersama rakan karib saya, Du, atau nama sebenarnya Azhar, menjual buluh lemang dan bunga kantan kepadanya. Mak Awi memerlukan buluh lemang yang banyak untuk berniaga lemang. Kami pun tidak tahu buluh siapakah yang kami ttutuh dan bunga kantan dari tanah siapakah yang kami petik. Semuanya kami anggap sebagai milik bersama kerana kami mengambilnya di dalam hutan.
Pada tanggapan kami pada masa itu tumbuhan di hutan adalah milik wakaf. Dengan tanggapan begitu, kami tidak perlu bertanya siapakah pemilik pohon mempelam atau kuini yang sering kami ranggah pada musim buahnya. Hanya kebun durian tidak kami anggap demikian kerana durian menjadi harta bernilai kepada pemiliknya. nanti sambung.. nak asar

Wednesday, March 2, 2011

tak sempat

Tak sempat saya nak menulis di sini. Tunggulah kalau saya ada masa..hah macamlah ada orang yang menanti2 tulisan baru saya .kah kah

Tuesday, February 22, 2011

Cerita zaman kecil 2

Masuk sekolah darjah satu seperti memasuki dunia baharu kerana aku berpeluang memakai baju baru, seluar kain belacu baru dan kasut getah baru, serta stoking baru. Pada hari pertama lagi kami sudah diminta berdiri di depan papan hitam dan mengikut sebutan abc di bawah tunjuk ajar Cikgu Tahir atau lebh dikenali dengan panggilan Cikgu Tambi. Cikgu Tambi menyebut satu persatu huruf dan kami mengikutnya serentak. Aku terasa seperti hero pada hari itu kerana perasan bahawa penampilanku segak sekali. Semasa waktu rehat aku membeli kuih yang berharga 5 sen. Yang kuingat ialah aku membeli sebiji kuih kasturi dan kuberikan kepada kawan sekampungku sekali gus kawan sepermainanku (termasuk main masak-masak), Raihanah Yunus. Dia meyambut pemberianku dan aku terasa begitu gembira dan bangga. Dan lengkapkan sifat heroku pada masa itu.
Aku tidak ingat sama ada emak menungguku atau dia balik dulu. Rasanya ibu-ibu pulang dahulu dan kami pulang beramai-ramai berjalan kaki sejauh dua kilometer.
Sejak itu aku pun menimba ilmu dengan guru-guru yang garang dan baik hati. Ada guru yang begitu garang sehingga menjadikan kayu pembaris panjang dan lebar untuk memukul murid yang lembam, tetapi tidak pernah pula ada ibu bapa datang menyerang guru. Kami sangat takut pada guru. Bagi kami guru ialah manusia kelas atasan yang tidak setaraf dengan kami. Ibu bapa di kampung kami rata-rata hanya bekerja sendiri, menoreh getah, menanam padi, dan ada yang menjadi jaga lombong bijih timah seperti Pak Lang (Alang Arpi). Rasanya bapa akulah yang lebih tinggi darjatnya kerana ada gaji bulanan. Dia bekerja sebagai atendan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.
Sekolah Kebangsaan Ulu Kuang memiliki sebuah padang bola yang berumput tebal. Di tepinya ialah sawah padi, dan di belakangnya kebun getah. Kerap sangat bola terbang ke dalam sawah padi dan berhambatanlah kami mengejar bola sehingga kadang-kadang terpaksa meredah selut. Di pinggir padang yang memisahkannya dengan kantin ada sebatang tali air. Kadang-kadang air itulah yang kami minum walauun rasanya payau.
Peniaga kantin sekolah itu ialah seorang nenek yang kami panggil "Opah" sahaja. Kuihnya besar-besar dan harganya cuma lima sen sepotong. Sering saya membeli kuih apam yang berwarna merah. Ketika rehat akan berpekiklah kami di kantin: "Pah, apam, Pah, apam Pah!" Tidak menang tangan Opah melayan permintaan kami. Selepas makan (itulah sahaja belanja kami, lima sen) kami pun akan minum air yang dicedok dari telaga. Ada dua telaga di dalam kawasan sekolah. Satu daripadanya ada pam manakala satu lagi hanya menggunakan timba. Kami akan mereguk air itu untuk menghilangkan dahaga. Rasanya kantin tu tidak menjual minuman, atau memang saya tidak sedar kerana tidak ada duit untuk membelinya.
Kawan saya, Amirudin sering membawa bekal. Saya tidak pasti sama ada dia ada duit belanja atau tidak. Yang saya ingat, pernah dia memabwa bubur kacang yang diisi di dalam botol brylcream, minyak rambut yang popular pada zaman itu. Dan kami akan makan (kadang-kadang dapat juga saya merasanya) di belakang sekolah, di tepi kebun projek bumi hijau.
Pada zaman Tun Razak menjadi Perdana Menteri telah dilancarkan projek Bumi Hijau dan setiap sekolah kononnya diminta berkebun. Kamilah yang mengusahakan kebun dengan tanaman timun, tebika, kacang panjang dan sebagainya. Tetapi kami tidak pernah merasa hasilnya. Mungkin guru-guru sahaja yang menjadi tuan tanah kedawung. Kami hanya mampu merungut tetapi tidak pernah bersuara.
Guru Besar ketika itu ialah Man bin Besah. Cikgu Man Besah juga ada mengusahakan ladang kacang tanah di kawasan lain dan kamilah yang menjadi buruhnya. Rasanya ketika itu sudah berlaku penindasan dan eksploitasi tenaga, tetapi kami tidak berani melawan. Cuma kami sering bersembunyi, tidak mahu ke ladangnya. Kami akan bersembunyi di balik pokok di tepi jalan besar. Ketika Cikgu man lalu kami kecut perut. Dan kami tidak pernah terlintas hasrat untuk mengadakan demonstrasi. Kami tidak kenal erti demonstrasi.

Monday, February 21, 2011

Macam di Timur tengah

Universiti Malaya sekarang hangat bergolak dengan krisis keyakinan warganya terhadap pemimpin atasan yang dilihat begitu menekan. Sebenarnya dalam kalangan warga akademik sudah lama protes senyap berlaku lantaran ketaasuban pengetuanya (macam sekolah) membuat peraturan ketat untuk pelantikan dan kenaikan pankat, hatta kenaikan gred gaji. Jurnal dalam senarai ISI sudah menjadi tolok ukur keramat yang tidak dapat diatasi oleh sumbangan lain. Maka, kalau anda tidak ada artikel yang diterbitkan dalam jurnal ISI, janganlah bermimpi naik pangkat. Janganlah sibuk-sibuk isi borang Profesor atau Profesor Madya atau Pensyarah kanan, atau pensyarah sekalipun.
Ramai warganya telah beralih ke universiti lain.
Dan sekarang pelajarnya telah menunjukkan protes secara demokratik melalui pilihan raya. Kemenangan kumpulan Pro M merupakan bukti kukuh bahawa pelajar tidak mahu tunduk kepada oknum-oknum tersebut.
Perkembangan ini seperti akibat tempias daripada hujan protes di Timur Tengah. Sampai ke sinikah teori domino berlaku?

Sunday, February 20, 2011

Di Mana Idea

Hari ini aku terpaksa mengeraskan hati, mengeraskan semangat, dan mengeraskan segalanya untuk menulis kertas kerja yang akan dibentangkan pada Hari Puisi nasional di Membakut Sabah hujung minggu ini. Apakah yang menyekat pengaliran idea ini? aduh...
Tuhan
beriku segelas anggur
dari cangkir ilham
untuk kureguk
dan kuhazam
dengan sir makrifat.

Tajuk kertas kerja ni (kununnya lah): "Bahasa sebagai penyampai Pemikiran dan Bahasa sebagai Lambang Pemikiran: Meninjau Upaya Bahasa dalam Puisi"

Wednesday, February 16, 2011

Sampai Bila Kita Mahu Jadi Bodoh

Sampai bila kita mahu jadi bodoh. Mengikut permintaan puak-puak MIC untuk meminda Interlok sebelum diwajarkan penggunaannya di sekolah tidak akan mencapai matlamatnya kerana selepas itu akan timbuk lagi tuntutan supaya novel itu digugurkan. Tuntutan itu daripada Hindraf pula yang sudah mula berkempen untuk menolak Interlok. Mampukah MIC mendamaikan Hindraf ini? Siapakah MIC di mata Hindraf? Mereka tidak akan menghormati MIC kerana mereka ada agenda lain yang lebih besar. Mereka tidak peduli pada perdamaian asalkan mereka mendapat sokongan masyarakat mereka. Sekiranya Kerajaan berlembut hati memenuhi satu tuntutan, keadaan tidak juga akan bertambah baik. Oleh itu, janganlah kerajaan menjadi dua kali bodoh. Bertindaklah dengan cerdik, yakni menangilah hati orang Melayu yang sudah sekian banyak berkorban dan bertolak ansur di tanah air mereka sendiri.
Tuntutan mereka dalam isu Interlok bukanlah murni untuk mencari keamanan tetapi tetapi rasanya hanya satu cara menguji kerajaan: setakat manakah cerdiknya (baca secara terbalik juga) kerajaan?
Kembalilah kita kepada Melayu yang asal, yang cerdik seperti Hang Nadim, dan kenalilah falsafah perjuangan Hang Jebat yang memberontak.

Inti Puisi Sutardji

...........
aku lepaskan segala bahasa
agar kucingku bisa memanggilMu
aku biarkan penyair dengan katakata
tapi banyak yang meletakkan bertonton gula purapura
bergerobak kerak filsafat
hingga kata tercekik karenanya
bagaimana penyair bisa sampai tuhan?
kalau kata tak sampai?

Petikan daripada sajak "Amuk" oleh Sutardji Calzoum Bachri

Saturday, February 12, 2011

Kuliah Kritikan

Pendekatan Moral
Mohamad Saleeh Rahamad

Konsep pendekatan moral
Pendekatan moral dianggap sebagai kritikan sastera yang tertua iaitu sejak zaman Greek lagi apabila Xenophanes dan Heraclitus sekitar 500 tahun sebelum Masihi mengecam Homer yang gemar menceritakan kisah "tidak senonoh serta bohong" tentang dewa-dewi sebagaimana diungkapkan oleh Plato (Andre Hardjana, 1981: 1). Apabila persoalan unsur tidak senonoh dan pembohongan menjadi tumpuan perbincangan di dalam sesebuah karya, pastilah aspek isi yang diutamakan. Karya itu akan diberi nilai yang tinggi sekiranya nilai moral diutamakan atau kebenaran dipelihara yang seterusnya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat (Holman dan Harmon, 1986: 313; Atar Semi, 1993: 72).
Kritikan ini tergolong dalam kritikan judicial atau penghakiman, yakni suatu usaha menganalisis karya sastera berdasarkan ukuran yang objektif, atau disebut juga kritikan normatif. Maksudnya, satu ukuran telah tersedia secara normatif sebelum sesebuah teks dinilai. Karya itu mendapat nilaian berdasarkan ukuran moral yang ditetapkan oleh pengkritik, sama ada ukuran itu bersifat moral individu mahupun moral kemasyarakatan. Pendekatan ini sudah tidak lagi mengakui kemandirian teks sebagai sebuah karya sastera yang hidup dan berkembang, sebagaimana asas kritikan induktif. Malah boleh dikatakan pendekatan ini bukannya mengkaji kesasteraan (literariness) per se tetapi mengkaji aspek bukan sastera iaitu moraliti.
Tanggapan bahawa sastera perlu bermoral ditegaskan antara lain oleh John Gardner yang mengatakan bahawa sastera yang sebenar (true art) ialah sastera yang bermoral, yang bertujuan memperelok kehidupan manusia, bukan merosakkannya. Sastera yang remeh-temeh tidak mempunyai makna dan nilai kecuali jika karya itu dapat menyumbangkan kebaikan kepada kehidupan manusia. Malah, karya yang membawa keburukan seperti karya para nihilis dan sinikal bukanlah sastera sama sekali. Sastera baginya ialah yang serius dan bermanfaat (John Gardner, 1978, 5--6).
Horace (65 SM--8 SM) seorang Roman yang tipikal dalam pandangan tentang fungsi sastera menyatakan bahawa penyair ialah seorang dermawan dalam masyarakatnya, dan peranannya adalah untuk tujuan keagamaan dan moral. Penyair disifatkan sebagai seorang perantara tidak rasmi antara manusia dengan tuhannya. Malah kedudukannya dimuliakan sebagai pembina tamadun manusia hingga satu peringkat pernah disamakan dengan tuhan ( Ramawadh Dwivedi and Vikramaditya Rai, 1968, hal. 67).
Menurut John Gardner (1977: 19), walaupun karya sastera perlu dinilai dari segi moralnya, tidak pula bermakna setiap yang berunsur didaktik adalah bermoral. Sastera yang sebenar ialah sastera yang sesungguhnya mencari dan menganalisis aspek nilai dengan jujur dan sesuai dengan jiwa, bukannya dalam bentuk penekanan atau penguatkuasaan undang-undang. Sastera yang bermoral menguji nilai aksi manusia yang berdasarkan penerimaan perasaan, bukannya berdasarkan undang-undang.
Demikian juga Atkinson (1969:10--12); beliau menyatakan bahawa moraliti merupakan satu set kepercayaan yang dipegang dalam sebuah masyarakat tentang manusia dan perilakunya, yakni berkaitan dengan apa-apa yang patut dilakukan. Bagaimanapun, tidak semua kepercayaan yang berkaitan dengan manusia dan perilakunya dianggap termasuk dalam moraliti; moraliti sebaliknya perlu dibezakan daripada undang-undang, adat, tingkah laku, dan politik walaupun perbezaannya tidaklah terlalu tajam. Undang-undang diperkenalkan oleh parlimen dan dikuatkuasakan oleh mahkamah, tetapi parlimen dan mahkamah secara logiknya tidak boleh membuat undang-undang moral.
Dalam konteks ini, wujud pandangan yang bercanggah kerana ada pihak yang mengiktiraf moraliti masyarakat sebagai suatu bentuk moral yang harus diakuri. Ahli-ahli falsafah membahagikan moraliti kepada dua bentuk iaitu moraliti masyarakat dan moraliti individu. Moraliti masyarakat mementingkan masyarakat, bukannya individu, sebagai matlamat moraliti, manakala moraliti individu atau etika individualisme mementingkan individu lebih daripada masyarakat (Abdul Rahman Arrof, 1986: 1)
Moraliti masyarakat berkait dengan tatahukum, tatasusila, tatatertib masyarakat yang ditetapkan oleh autoriti dalam masyarakat tersebut. Dalam sesebuah masyarakat terdapat perkara yang diizinkan dan yang ditegah untuk memelihara keamanan atau ketertiban sosial (social order). Antara ahli sosiologi moral yang menyokong kewujudan moraliti sosial ialah Thomas Hobbes. Hobbes yang melihat masalah moraliti sebagai masalah keamanan sosial berpendapat, tanpa peraturan sosial, akan wujud satu bentuk keadaan konflik tidak berputusan, pertempuran dan pertelingkahan yang mengakibatkan kehidupan menjadi "jahat, bersifat binatang dan singkat". Oleh itu, individu bertanggungjawab mematuhi pemerintah sebagai autoriti moral (Ibid.)
Moraliti sosial boleh ditanggapi sebagai bersifat dogmatik, autoritarian dan doctrinaire. Oleh sifatnya yang demikian, moraliti jenis ini menerima tentangan kerana tidak membenarkan individu membuat pilihan berdasarkan pertimbangan rasional peribadi dan tidak membenarkan seseorang individu mengkritik moraliti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Masalah juga akan timbul apabila dibuat perbandingan antara masyarakat yang berlainan kebudayaan dan undang-undang. Akibatnya mungkin akan timbul pertentangan, pergeseran dan peperangan apabila setiap pihak mendakwa moraliti merekalah yang benar. Malah apabila moraliti itu ditanggapi dalam zaman yang berubah mungkin akan timbul pula percanggahan antara penguatkuasaan dengan penerimaan masyarakat. Contohnya diskriminasi ras seperti yang berlaku di Afrika Selatan semasa Rejim Aparteid dahulu pastinya tidak lagi dapat diterima oleh pencinta keadilan sosial. Ringkasnya, moraliti sosial masih tidak dapat diterima secara mutlak disebabkan sifat relativisme yang mendasari moraliti itu sendiri.
Moraliti individu atau etika individualisme pula mengabsahkan peranan individu sebagai hakim tentang moraliti tingkah lakunya; dan pertimbangan moralnya berasaskan kemahuan dan sentimen peribadi. Etika individualisme merupakan penentang utama kepada moraliti masyarakat. Dalam etika ini egoisme merupakan satu daripada pecahannya. Etika egoisme berpendapat, masyarakat bukanlah matlamat moraliti sebaliknya moraliti ialah kepentingan diri, pemeliharaan diri, mengasihi diri, dan kesedaran diri (Abdul Rahman Arrof, 1986: 10). Dengan pendirian yang sebegitu rigid dan self-centredness pastilah wujud pula penentangan terhadapnya. Misalnya Immanuel Kant dan Richard Hare menyatakan, "sesuatu peraturan atau prinsip moral mesti diambil tindakan oleh setiap orang, iaitu peraturan atau prinsip itu mestilah disejagatkan." Kelemahan egoisme dapat dikesan apabila pertimbangannya hanya menguntungkan dirinya sendiri sedangkan orang lain tidak mendapat apa-apa.

Thursday, February 10, 2011

Cerita zaman kecil

Aku tidak tahu pun bagaimana rupa sekolah dan bagaimana belajar di sekolah sebelum menjejakkan kaki kali pertama di sekolah. Sekolah pertama tempat aku berkenalan dengan abjad dan angka ialah Sekolah kebangsaan Ulu Kuang yang kemudian ditukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Syed Idrus Nama Syed Idrus kononnya mengambil sempena seorang tokoh tempatan yang telah terbunuh oleh kekejaman Bintang Tiga dalam zaman darurat. Kawasan temat aku tinggal memang kawasan hitam. Cemor, Tanah hitam, Tangjung Rambutan, Cangkat Kinding, merebak ke kampung-kampung, Kampung Ulu Chemor, Kampung Jasa, Kampung U+Kuang tengah, Kampung Hulu Kuang, kampung Kuang Hilir, Kampung Jaya Setia, Kampung Jalong, Rimba Panjang, Sungai Siput, Kanthan, Kuala Kuang-semuanya dilitupi jaring darurat. Syed Idrus dipilih sebagai nama sekolah kerana mengenangkan dirinya yang terkorban dalam zaman darurat. Jasanya tidaklah saya ketahui. Sebelum nama itu dipilih, ada juga cadangan menamakan Sekolah Kebangsaan Gajah Mati kerana ada peristiwa seekor gajah ditembak mati oleh Perhilitan di kaki gunung dekat Chemor Estet. Tetapi akhirnya nama tokoh manusia yang terpilih.
Aku ke sekolah berjalan kaki saja bersama emak dan kawan-kawan lain yang juga ditemani emak masing-masing. Bapa-bapa memang tidak mempedulikan sangat soal persekolahan anak-anak kerana memang resam hidup separuh tradisi meletakkan tugas menjaga anak-anak kepada ibu.
Nantila aku sambung...

sajak untuk anwar ridhwan

LELAKI DARI KALI BESAR
(Prolog untuk Anwar Ridhwan)

DIASUH DENGAN SYARAK DAN PETUA LAMA
DIBENTUK OLEH ALAM DAN CUACA DESA
DIDENDANG CETERA DONGENG DAN GURINDAM PURBA
KINI DIA MENJADI PUJANGGA NEGARA.

DARI KENDONGAN IBU DAN TUNTUNAN BAPA
LELAKI ITU TAMPIL DI GELANGGANG SASTERA
MENGHUNUSKAN PENA DAN MENEBARKAN AKSARA
MEMBENIHKAN KATA DAN MENUMBUHKAN MAKNA
DIA MENOLAK AKSI TAPI MENJABAT TRADISI
BAGINYA BAHASA LEBIH BERBISA
DARI KERAS TINGKAH DAN LENGKING NADA.


BIARPUN KATA-KATANYA TIDAK SEKERAS DENDAM
DALAM PILIHAN DAN SUSUNAN, TEGASNYA MENDALAM
DISERAPINYA TRADISI DAN DITUMBUHKANNYA TAMSIL
DIA TAHU DI MANA PERLU BERKIAS, BILA WAJAR DIPERJELAS
SELAGI MELAYU SETIA DENGAN IBARAT
SELALU DIA BERHEMAH MENYAMPAIKAN AMANAT.

LELAKI DARI KALI BESAR
WALAU BERHEMAT DALAM KATA-KATA
RENUNGANNYA TAJAM DAN PANDANGANNYA LUAS
KITA DIBAWANYA KEMBARA DI BELANTARA MAJAS
MENDENGAR KELUHAN SENIMAN SENJA
PADA HARI-HARI TERAKHIR HAYATNYA
MENGAJAR KITA MENCINTAI TRADISI
KERANA DALAM SEGALA DONGENG BERGENTA LAMA
ADA HIKMAH DAN NILAI BIJAKSANA.

LELAKI DARI KALI BESAR
DIA BUKAN HELANG DI NEGERI BELALANG
TAPI BERANI MELAYAH DI KAWANAN SERIGALA
DENGAN PARUH TAJAM DAN MATA NYALANG
DIA MENCABAR ANGKUH DALANG
BAGINYA TEWAS DALAM PERJUANGAN LEBIH MULIA
DARIPADA HIDUP BISU DALAM TAWANAN

KETIKA BAHASANYA DIPASUNG DI SANGKAR SIASAH
DENGAN BERANI DIA MENGHUNUS BELATI KATA
MENIKAM, MENERJAH DAN MENAHAN DADA
BIARPUN NASIBNYA BAGAI BIDAK DI PERCATURAN KUASA.

LELAKI DARI KALI BESAR
KINI DI TANGANMU SENJATA MASIH BERBISA
API PERJUANGANMU MESTI TERUS MENYALA
GELANGGANG MASIH TERBUKA DAN MUSUH SEDANG BERGENDANG
NAMUN SUARAMU LEBIH NYARING GEMANYA
KERANA ENGKAU BERGELAR PUJANGGA TERBILANG.

LELAKI DARI KALI BESAR
DEMI KEBENARAN DAN KEDAULATAN BANGSA
JUNJUNGLAH KEBENARAN DENGAN UKURAN IMAN
DUNIA DAN SEJUTA WARNANYA HANYA SEMENTARA
SEGALANYA FANA DAN AKAN MUSNAH
KERANA SEMUA KITA “TERCIPTA DARI TANAH”.

2 November 2009
Bermula tulisan ini di Institut Kenegaraan pada 1 November 2009 semasa bengkel Puisi 1Malaysia dan diselesaikan pada 2 November 2009 di tempat kerja.
Saya membacanya ketika PENA meraikan kejayaan SN Anwar Ridhwan meraih Anugerah Sastera Negara pada tahun 2009, di Rumah PENA. Inilah permulaan tradisi kamimeraikan ahli PENA yang meraih kejayaan besar dalam dunia penulisan, dan kemudian diikuti oleh keraian untuk SM Zakir sebagai penerima anugerah penulis muda Mastera dan Zaen Kasturi sebagai penerima SEA Write Award.

Sunday, February 6, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 7 (Memo kepada Perdana Menteri)

Di pekarangan Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam (5 Februari 2011), selepas solat asar dan dan ucapan Perdana Menteri di pentas, kami menunggu saat yang sesuai untuk mencelah di tengah orang ramai bagi menyampaikan memorandum kepada PM. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar dan Dato' Seri Hilmi Ismail ditugaskan membawa memorandum Majlis Perundingan Melayu dan saya membawa memorandum PENA. Memang agak sukar mencari saat itu kerana pengawal peribadi PM begitu menjaga keselamatannya. Malah sebelum itu pun pegawai PM menyarankan supaya kami menyerahkan memo itu kepada pegawai PM sahaja. Tetapi kami tidak datang ke situ sekadar untuk menyerahkannya kepada pegawai. Lalu kami tolak permintaan itu. Dr Hassan Mad bertegas mahu memo itu diserahkan terus kepada PM. Dan kun fayakun, kami diizinkan Allah SWT menyerahkan memo itu kepada orang yang patut menerimanya walaupun orang ramai dan wartawan tidak menyedarinya. Kami tidak memaklumkan perkara itu kepada wartawan sebelumnya. Hanya selepas itu barulah kami edarkan salinan memo tersebut. Saya tidak tahu akan kesan daripada tindakan kami tetapi saya hanya tahu bahawa saya perlu melakukannya. Dan saya tahu risikonya tetap ada.

Saya hanya memaparkan memo daripada PENA di sini.


MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK



Kepada:

YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Izinkan kami menyatakan pendirian kami dengan ikhlas.

Isu novel Interlok perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan. Apatah lagi, isu ini telah dijadikan modal politik untuk mengugut kerajaan dalam pilihanraya DUN Tenang baru-baru ini. Sekiranya tuntutan politik itu dilunasi, kita bimbang akan berlaku lagi tuntutan lain yang tuidak munasabah. Implikasinya ialah rasa kecewa dalam kalangan orang Melayu apabila kerajaan dilihat terlalu tunduk kepada ugutan kaum tertentu di samping mengabaikan maruah orang Melayu.
Kami tidak melihat isu ini lagi dari sudut ilmiah semata-mata tetapi sudah memasuki ruang politik. Pihak masyarakat India kini tidak lagi diwakili oleh MIC semata-mata tetapi telah melibatkan pertubuhan-pertubuhan lain yang semuanya bebas bersuara. Akhirnya kerajaan terpaksa berdepan dengan kecelaruan tuntutan tanpa mengetahui pihak manakah yang sebenarnya harus dilayani.
Apabila hujah-hujah yang dikemukakan oleh wakil MIC dalam pertemuan dengan wakil Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengerusikan YB Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia berjaya dijawab secara ilmiah, wakil MIC tetap bertegas mahu novel itu ditarik balik daripada menjadi buku teks. Keadaan menjadi lebih rumit apabila mereka mengemukakan alasan tambahan bagi menolak novel tersebut.
Kini timbul pula isu lain seperti ketidaktepatan fakta tentang penari Kathakali, bahawa Maniam bukan daripada golongan paria berdasarkan cara kedatangannya ke Tanah Melayu yang tidak mengikut sistem Kangani, geografi India, soal lembu sebagai binatang suci, perilaku tidak bermoral watak India, dan sebagainya. Permintaan itu jelas mencabuli hak penulis, kebebasan bersuara, dan kebebasan dalam sastera. Kita faham setakat mana unsur sensitif yang mesti dielakkan dalam karya sastera tetapi permintaan mereka benar-benar melampaui batas.
Dari sudut ilmiah semua itu dapat dibahaskan, dan dari sudut sastera ketidaktepatan fakta dalam karya sastera bukanlah suatu kemestian. Namun demikian mereka mahu semua itu dibetulkan supaya kejelekan orang India ditiadakan langsung. Permintaan ini langsung tidak munasabah kerana karya sastera tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah tetapi mesti dibaca secara menyeluruh untuk mendapatkan intipatinya. Secara keseluruhan novel ini diakui bagus oleh semua pihak yang menyertai dialog yang diadakan beberapa kali.
Walau apa pun hujah yang kita berikan dan telah sekian banyak masa dan tenaga serta wang ringgit dihabiskan untuk melayan kerenah mereka secara beradab, mereka tetap bertegas meminta buku ini ditarik balik jika tidak dilakukan pemurnian mengikut senarai yang semakin bertanbah hari demi hari.
Mereka mengambil kesempatan daripada kelembutan kerajaan membuat keputusan demi kepentingan mereka sehingga sanggup mempermain-mainkan kredibiliti Kementerian Pelajaran Malaysia, dan kerajaan amnya, dan lebih teruk lagi maruah orang Melayu. Orang Melayu kini tidak lagi dipandang sebagai bangsa yang berdaulat di negara ini kerana masyarakat India menggunakan helah demokrasi dan kertas undi sebagai tiket untuk menyamatarafkan kedudukan mereka dengan bumiputera. Akhirnya, tidak mustahil suatu hari nanti kedudukan istimewa orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit dalam Perlembagaan sekiranya kita tidak menghentikan gelagat biadab mereka.
Oleh hal yang demikian, kami mendesak kerajaan agar bertegas memenuhi permintaan kami (orang Melayu yang merupakan majoriti dan tuan di negara ini. Kerajaan tidak perlu melayan sebarang tuntutan bersifat perkauman, terutama yang dikemukakan secara kasar. Oleh itu, tuntutan mereka yang berkaitan dengan novel Interlok mesti ditolak kerana ini merupakan tindakan simbolik mereka untuk menguji ketegasan kerajaan, dan kerajaan juga mesti bertindak secara simbolik untuk menegaskan pendiriannya.
Sekiranya kerajaan berlembut dengan mereka, masalah akan berlarutan kerana akan banyak lagi tuntutan yang tidak munasabah akan dikemukakan. Akhirnya berlakulah resam yang sering ditakuti dalam bidalan Melayu: kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Menghakimi sebuah buku yang sudah lama wujud dalam persuratan Melayu samalah seperti kita telah menjatuhkan hukuman kepadanya sedangkan ia tidak wajar diperlakukan demikian. Sekarang kita seolah-olah telah menyifatkan buku itu sebagai pihak yang bersalah lalu kita mencari hujah untuk menyatakan ia tidak bersalah. Kita menjadi terlalu apologetik terhadap orang lain yang tidak pun mempedulikan semangat setiakawan kita secara jujur dan ikhlas.
Seyogia diingat bahawa pematuhan kerajaan terhadap permintaan dan tuntutan bersifat perkauman yang melampau daripada masyarakat India hanya akan menghiris perasaan orang Melayu. Sekarang, orang Melayu sedang menanti tindakan sebenar kerajaan dan akan menunjukkan reaksi mereka dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang, iaitu pilihan raya. Sekiranya orang India berani membuat ugutan kepada kerajaan, orang Melayu juga yang jumlahnya lebih besar akan menuntut perkara yang sama.
Permintaan ini perlu difahami sebagai suara orang Melayu keseluruhannya, dan tidak sama sekali berniat jahat atau menggugat kerajaan. Kami hanya menjaga kepentingan dan maruah orang Melayu sebagai pemilik ketuanan di negara dan tanah air kami.
Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang sejak awal telah menangani isu ini melalui beberapa tindakan yang berhemah, termasuk mengadakan diskusi imiah, dialog antara NGO, dan penghantaran memorandum, sekali lagi meminta kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri amnya dan Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya, mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima tanpa pindaan. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu. Pembacaan secara objektif dan akal yang waras tentu sahaja tidak menemukan sebarang unsur penghinaan terhadap kaum India sebagaimana yang disuarakan oleh wakil masyarakat India.
Kami ulangi asas pendirian kami sebagaimana yang telah kami nyatakan dalam memorandum pertama kepada YAB Dato’ Sri pada 11 Januari 2011 seperti yang berikut:

1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.

2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.

3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.

4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat.

5. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?

6. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.

7. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.

8. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).

Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

Saranan

1. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.

2. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.
3. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.
4. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
5 Februari 2011

Friday, February 4, 2011

Ke Garis Tua




KE GARIS TUA

Barangkali kita akan tiba di garis tua
tenaga susut akal lemah ingatan pudar
tapi permintaan semakin tinggi
tak terpenuhi.

Apa lagi yang dapat kita lakukan
saat demi saat
kita dikejarkan ke hujung usia
cepat-cepat
untuk mengurangkan beban anak
melayan permintaan kita
ketika tiada segala
untuk diberi
selain kesempitan waktu
selain kelambatan gerak.

Ambillah sepotong cermin pecah di laci sejarah
beleklah kedut pada pipi dan dahi
berapa gigi yang tinggal
dan uban ibarat bendera putih
soldadu kalah di batas api.

Tiada lagi keindahan
menanti di dunia ini
selain kutukan dan doa
agar kita segera pergi:
doa anak-anak yang tidak lagi
sabar menunggu
gerak kita yang lambat
kerana mereka perlu segera berlari
mengejar fatamorgana
seperti kita dulu
sering bermimpi menjadi rama-rama
mengejar bayang keliru
membuang usia
mengait lengkung pelangi

Jika kita tiba di garis tua
dan dihambat ke daerah gelap
tidak perlu bertahan
di belakang gerombolan doa menerjah
oleh anak-anak
yang sering bermimpi menjadi rama-rama
ghairah mengejar bayang keliru
mengait lengkung pelangi
tanpa sedar
mereka dihambat
segerombolan doa
ke daerah gelap
cepat-cepat.

Barangkali saja
kita akan tiba di garis tua
atau tidak sempat ke sana
kerana tiba-tiba saja
kita sudah tiba di daerah gelap
tanpa isyarat dan ucap selamat tinggal.



Februari 2005-Mei 2006
Jab. Pengajian Media UM

Thursday, February 3, 2011

Sajak untuk Zaen Kasturi




Kau seperti Malam
(Himbauan terhadap Zaen Kasturi)

Seperti malam yang menebarkan rawan zulmat
dan menyembunyikan butir cahaya di lapis rahsia
begitu kau sering menebar rawan kata
yang sirna tanda maknawi
pada mata kasar pembaca yang kontang rasa.

Taburan kata dan tebaran makna
bersilang dalam tingkah nada
dan getarnya menyusup ke kalbu
memugar gersang taakul
kaugemakan dengung kematian
yang kerap dibisukan para pencinta hidup
dengan diksi seribu makna
dan cairlah keras hati
walau mereka tidak memahami erti.

Kau tidak mengutip kata di celah pasir, awan, daun, dan sisik ikan
Kau tidak menyusun bahasa demi bunyi dan nada yang beralun
Kau tidak mengukir rangkap kalimat bersusun rima
Yang kautitipkan ialah nadi yang berdenyut di perdu angin
di halus pasir, di baldu awan,di basah daun, di tajam sisik ikan
yang kaubariskan ialah dentingan kalbu berzikir beribu
yang kauarcakan dirimu peribadi yang mencari hakikat insani.

Sahabatku Zaen,
aku tidak mahu menyukarkan diri
membongkar makna dalam puisimu
kerana tidak ada tafsir yang semu dalam bahasamu
yang kauhidangkan ialah diri peribadi
terlalu sukar untuk difahami.

Setelah berendam dalam lautan kata berwarna nurani
yang kutemui hanya kehilangan diri sendiri
tapi tidak terpisah
aku dengan kebenaran maknawi.

Yang kuhirup dari cangkir puisimu
sarbat rindu seorang teman pada taulannya
madu imani insan pada penciptanya.

Sahabatku Zaen
kau seperti malam
dan aku mencari titik hitam di dalamnya.

Mohamad Saleeh Rahamad
Rumah Pena
7 Januari 2011

Apa khabar Amirul Fakir

Dalam Majlis Diskusi buku di Universiti Malaya baru-baru ini satu tabung dibuka untuk sahabat penulis yang sedang diuji Allah dengan kesakitan, iaitu Amirul Fakir dan Saleha Ahmad. Begitupun tidak banyak yang dapat dikumpulkan dan saya masih belum menyalurkan sumbangan itu ke akaun mereka.
Saya masih menunggu janji kawan saya, Sdr Naseer Mohamad untuk menuntut janji sahabatnya.

Sajak ini (sajakkah ini?) saya tulis dan baca pada satu majlis kutipan Tabung Amirul Fakir (TAF) tidak lama dahulu, di Ipoh. Saya berharap orang tidak jemu menyalurkan sumbangan kepada beliau.

Dengan Apakah Dapat Kubalas
(Ingatan untuk Amirul Fakir)

Dengan apakah dapat kubalas
pemberian tulus seorang sahabat
selaut budi tak tercatat
segurun ingatan tak tersukat.

Dia yang memberikan ketenangan
ketika gelisah di rantauan
tanpa ragu menghadirkan senyuman
ketika gundah dalam kesakitan.

Seorang sahabat
tidak meminta apa-apa
setelah memberikan percaya.

Kini aku terhidu bau kesepian
di celah perdu rusuh
di laman derita
namun di dalam matanya
kulihat serumpun pasrah
tumbuh di dada.

Di laman derita seorang sahabat
aku cuba membenihkan penawar
tapi benarkah ini harapannya
kerana dia bukan seorang peminta
selain menanti permintaan teman
untuk dia memberikan dirinya.

Yayasan Kesenian Perak, Ipoh.
14 Nov. 2009.

Wednesday, February 2, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 6

Selepas pulang dari Putrajaya dan menyerahkan memorandum kepada pegawai khas Perdana Menteri di lobi pejabatnya kami pulang ke PENA. Saya masih bersama Amiruddin yang tidak pernah berhenti bercakap, manakala saya pula bersandar sambil ketawa dan mencelah sesekali. Di PENA kami berehat dan menunggu malam kerana saya akan mengikuti rombongan Gapena ke Putrajaya sekali lagi selepas maghrib. Saya mendesak Amiruddin turut serta walaupun dia enggan mulanya kerana tidak dipelawa sama oleh Gapena. Saya bekeras juga dan akhirnya di hadapan Rumah Gapena tempat kami bertemu, Amiruddin berlembut hati apabila Datuk Zainal Abidin Borhan berbasa basi juga mengajaknya. Amiruddin telah mendapat "restu" pada fikiran saya dan dia bersetuju akhirnya. Sementara menunggu orang lain tiba (ketika itu Dr Hashim ismail sudah tiba) saya menukar baju yang bersih. Badan masih berlengas tetapi dengan sarungan baju bersih saya berasa selesa kerana kainnya jenis linen yang saya tempah di Medan tidak lama dulu.
Setelah Datuk Zainal Kling dan Borhan Mad Zin tiba timbul pula saranan agar satu memorandum atas nama Gapena dibuat untuk diserahkan kepada orang yang akan temui pada malam itu. Kami bergegas ke PENA semula dan saya membuka komputer usang kegunaan Setiausaha Agung yang tidak lagi compatible dengan perisian versi baru. Walaupun usang dan sudah beberapa kali dibaik pulih, itulah sahaja harta kami yang telah banyak berbakti. Hendak dibeli komputer baru kami terpaksa memikirkan dananya. Tidak mampu rasanya untuk membeli komputer baru buat masa ini. Kalau hendak diikutkan, PENA sangat daif dan miskin serba serbi tetapi kami tidak mempunyai sandaran untuk diharapkan buat masa ini. Hidup perlu diteruskan,

Dan dengan komputer itu saya mengolah semula memorandum yang kami gunakan pada siang tadi untuk disesuaikan dengan kehendak Gapena. Setelah selesai, kami pun bertolak ke Putrajaya. Saya dan Amiruddin menaiki kereta Datuk Zainal Abidin Borhan, dan turut bersama kami ialah Datuk Zainal kling. Saya duduk di kerusi belakang bersama Amiruddin manakala dua datuk di depan.
Sebuah kereta lagi dipandu oleh Dr Hashim ismail yang membawa Borhan dan Aziz Ali. Di Putrajaya, Datuk Abdul Latiff Abu Bakar sudah menunggu kerana dia datang dari rumah barunya di Putrajaya juga.
Kami disambut dengan mesra oleh tuan rumah. Saya memang tidak ada hubungan dengan tuan rumah tetapi datuk-datuk dalam Gapena kawan rapat beliau. Kami berbual dan berbincang dan berunding dan tawar-menawar. Sambil menikmati mi goreng dan pisang goreng kami menegaskan kehendak kami kepada tuan rumah itu. Saya tahu sekaran Gapena sudah berada di depan dan mereka memang wajar di depan kerna mereka lebih berwibawa. Beban saya sudah berasa ringan.
Dipendekkan cerita, ada usaha dilakukan oleh tuan rumah pada malam itu. Dan ada kesannya yang berbaloi dengan pertemuan itu kerana keesokannya tiada keputusan dibuat oleh Kabinet. Mereka akan menunggu kepulangan TS Muhyiddin. Sekurang-kurangnya kami masih boleh menyusun langkah silat baru. (Cerita ini akan saya catat sepuluh lagi. agaknya..kalau umur panjang).
Kami pulang pada malam itu dengan debaran yang tidak juga hilang, dan keletihan benar-benar menguasai tubuh. Saya kelelahan dan pulang ke rumah untuk berehat. Otak letih tubuh lesu, tetapi saya yakin tindakan saya itu ada fungsinya dalam sejarah pendidikan negara. Walaupun kecil dan akan tenggelam oleh catatan lain, saya tidak kisah.
Dalam kepala teringat, kereta saya sudah lama tidak diservis. Tidak pernah saya terlewat servis kereta seperti sekarang...dan sehingga kini sudah beribu-ribu km saya telewat servis. Mungkin tidak perlu diservislah buat sebulan dua ini selagi elaun cuti sabatikal saya tidak masuk.

(Tadi saya terima sms daripada seorang yang penting dalam gerakan kami bahawa kami akan berbuat sesuatu sehari dua ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang lain juga) . Insya-Allah saya akan ketepikan jadual sendiri untuk memenuhi jadual baru ini walaupun Zakir tidak ada di Kuala Lumpur pada hari itu. Harap-harap Amiruddin dan rakan-rakan lain dalam PENA akan bersama saya, menemani saya dan menyalakan semangat kami yang tinggal sisa ini.)

tribulasi Interlok: Siri 5

Isnin lepas 31 Januari 2011 saya menerima sekeing surat layang berpos dengan sampul coklat dan mungkin dari Shah Alam. Saya yakin surat itu ditulis oleh orang India kerana muatannya menyuarakan bantahan terhadap usaha saya dan PENA mempertahankan novel Interlok. Isinya menunjukkan dia orang berhemah kerana tidak megeluarkan kata kesat sebaliknya menggunakan frasa "yang dihormati". Dia tidak senang dengan e saya membela Interlok kerana katanya masalah orang India sepatutnya diselesaikan oleh orang India sahaja. Pada akhir surat dia menulis dan berharap agar tiada sasterawan lain akan menyokong PENA. Bahasanya kemas tetapi sesetengah perkataan sengaja dieja mengikut ejaan lama. Ini taktik bagi mengelabui saya untuk mengenal pasti penulisnya. Saya rasa saya tahu penulisnya.

Saya sudah 20 tahun mengajar di universiti dan entah berapa kali saya sudah dapat memerangkap pelajar yang melakukan plagiarisme. Janganlah cuba menipu saya dengan tulisan anda. Tapi biasanya saya bersikap pemaaf. Tanyalah berapa ramai pelajar daripada keturunan India telah melakukan penipuan dan berjaya saya kesani. Saya tidak pernah menghukum mereka dengan berat. Saya sekadar memmberi pengajaran kerana saya percaya kebaikan saya itu tidak akan menyebabkan mereka semakin jahat dalam kerjaya nanti. Tetapi sekarang saya mungkin sudah memasuki fasa baharu apabila berhadapan dengan pelajar yang melakukan plagiarisme. Memang pelajar golongan inilah yang banyak melakukan plagiarisme. Kemampuan mereka tidak setanding dengan kerja yang dihantar sebagai tugasan kepada saya.

Dan saya telah banyak menyampaikan ilmu dengan ikhlas dan jujur kepada pelajar India. Perkara ini boleh ditanyakan kepada semua bekas pelajar saya kalau mereka jenis yang jujur menjawab. Tapi mungkin juga saya tersilap menilai diri saya sendiri. Saya pun sudah berminat menjadi orang baik tidak bertempat.

Surat layang tadi juga rasanya tidak sukar untuk saya kesani penulisnya atau orang yang di belakang penulisnya. Tapi saya tidak peduli apa pun. Semua orang bebas bersuara, walaupun ada yang lebih bebas dan berkuasa bersuara.

Monday, January 31, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 4

Jalan di Putrajaya sudah sering saya lalui tapi masih belum arif sepenuhnya. Biasanya saya masuk sahaja dan lihat tanda jalan lalu mencari-cari destinasi. Biasanya saya sesat dahulu sebelum sampai ke destinasi. Kali ini pun sama, apatah lagi dalam keadaan fikiran tidak menentu. Terasa sangat kerdil kami ketika itu, tanpa teman yang mengiringi dan dirosakkan oleh cerita terbaharu oleh Borhan Mad Zain. Tapi Amiruddin meneguhkan semangat saya. Tak mengapa, katanya, kita teruskan. Dan saya mengeyakan sahaja.

Saya mula menjadi penunjuk arah kepada Amiruddin walaupun saya tidak pasti jalan sebenar ke Kompleks E, bangunan yang menempatkan Kementerian Pelajaran. Amiruddin pula hanya mendengar arahan saya walaupun katanya dia tahu jalan ke arah itu. Akhirnya kami terpaksa berpusing jauh sebelum bertemu jalan sebenar. Sampai di bangunan itu rakan lain sudah ada. Datuk Mohd Ali Hasan dan Sdr Naseer sudah menunggu. Lega kami. Dan SM Zakir juga tidak lama kemudian menunjukkan wajah. Kami dibantu oleh Zainal Jais srta seorang temannya dan Dr Hassan Mad. Cukuplah bilangan ini.
Kami disambut Sdr Syahrin, Setiausaha Politik TS Muhyiddin dan dibawa ke tingkat atas untuk menyerahkan memorandum. Penyerahan memorandum berlaku dengan baik diikuti oleh ramai jurugambar media. Dr Khair mewakili TS Muhyiddin menerima memorandum kami. TS Muhyiddin masih berada di luar negara.
Di bawah sudah menunggu puluhan wartawan untuk mewawancarai kami. Saya memulakan penjelasan dan kemudian diikuti kawan-kawan lain. Sekali lagi pengalaman diserbu wartawan seperti yang berlaku di Balai Polis Dang Wangi berlaku.
Selepas itu kami akan bergegas ke pejabat PM. Media mengikuti kami dan merakam pergerakan kami.
Di pekarangan pejabat PM kami berlegar dahulu untuk menunggu kawan-kawan sebelum masuk ke lobi. Kami tidak dapat menyerahkan memorandum itu kepada PM tetapi hanya menyerahkannya kepada seorang pegawai muda yang tidak mahu dirinya dipublisitikan. Hatta untuk mengambil gambar beliau pun tidak boleh. Hanya di lobi penyerahan itu berlaku. Nampaknya tanpa hubungan personal dengan pegawai utama sukar juga penyerahan memorandum dilakukan dengan sempurna. Bagaimanapun saya berpuas hati kerana kami telah menyelesaikan kerja kami pada hari itu. Di luar pejabat kami berbincang lagi bersama Dr Hassan Mad. Beliau mempunyai banyak idea dan perancangan. Tetapi perbincangan tidak menghasilkan tindakan lanjut selain dapat menenangkan hati saya.
Dalam perjalanan pulang saya dihubungi oleh Abang Aziz, mengajak saya turut serta menemui seseorang yang penting pada malam itu. Saya segera menyetujuinya walaupun sedar bahawa saya tidak sempat balik ke rumah dahulu. Yang penting di dalam kereta saya ada bergantungan baju yang siap bergosok dari kedai dobi. Tidak sempat mandi tidak mengapa asalkan baju berganti. Dan pada malam itu juga kami ke Putrajaya lagi. Saya mengajak Amiruddin sekali.

Pertemuan itu sangat penting dan mengubah banyak keadaan. Bersama-sama kami ialah orang besar-besar Gapena. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada kesan kunjungan kami pada malam itu. Benar, ada kesannya. Tapi biarlah cerita ini saya tulis pada masa depan sahaja. Catatan ini tertangguh...

Sunday, January 30, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 3

Pada hari Isnin 10 Januari 2011, selepas kami selesai membuat laporan polis, kami berkumpul di gerai bucu dekat Dewan Bahasa dan Pustaka. Kawan yang masih tinggal di situ ialah Khalid Salleh dan Pyan Habib. Saya, Zakir, dan Amiruddin singgah jugalah minum dan menghabiskan bihun goreng yang sudah dibayar oleh sahabat yang sudah pulang lebih awal, Sdr Khair. Kami tidak pulang ke PENA kerana masing-masing sudah letih.Ttetapi di kepala saya sudah terbayang bentuk draf memorandum yang akan kami hantar kepada Timbalan Perdana Menteri esoknya. Maka saya hanya melakukan tugas merangka draf itu di rumah sahaja.

Di rumah, selepas Isyak saya memulakan kerja itu. Saya tidak ada pengalaman langsung dalam membuat memorandum tetapi tela kerap membaca memorandum orang lain dalam isu PPSMI. Sehingga tengah malam saya masih belum selesai dengan puas hati.

11 Janauri 2011.

Saya tidak berdaya lagi memikirkannya lalu tidur untuk mengumpulkan tenaga demi esok yang masih banyak cabarannya. Saya tidak pernah buat kerja besar ini: menghantar memorandum kepada menteri. Setelah draf awal sdapat dimulakan barulah saya boleh tidur sekitar jam 1:00 pagi.
Esoknya saya sambung lagi selepas subuh sehinggalah pukul 10:00 pagi agaknya. Saya bergegas ke PENA untuk urusan lanjut, termasuk untuk mencetak dan memfotokopi dalam salinan yang banyak untuk edaran kepada wartawan. Di PENA hanya ada Ahmad Razali Yusof, koordinator PENA yang kami panggil ayahanda. Dengan beliau saya cuba membuat salinan dengan mesin fotokopi. Pada awal pagi saya telah menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat (namanya biar saya rahsiakan dulu) yang menyatakan bahawa memorandum elok diperpanjangkan kepada Perdana Menteri kerana TS Muhyididn tiada dalam negara dan Kabinet mungkin akan membuat keputusan dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu 12 Januari. Ada kemungkinan kertas Kabinet sudah membuat keputusan akan meminda Interlok. Saya tidak memberitahu perkara itu kepada Amiruddin kerana dia masih di Genting Highland kerana menghadiri bengkel kerja. Saya terpaksa berfikir sendirian ketika itu kerana kawan-kawan lain tiada yang datang membantu. Saya faham semuanya sibuk dengan urusan masing-masing dan mereka tidak tahu sukarnya membuat memorandum serta kerja membuat salinan.

Saya lihat ayahanda sudah keletihan dan tertekan dengan kerja yang banyak. Saya tidak dapat menenangkannya kerana saya sendiri tertekan Tetapi dia membuat keputusan bijak dengan memanggil Sinaganaga untuk membantu. Sinaganaga tidak mengambi masa yang lama untuk sampai ke Rumah PENA walaupun berjaan kaki dari pejabatnya. Mereka berdua membantu saya membuat salinan dan menyusun dokumen. Kami juga mendapat bantuan daripada Abang Aziz Al dari Gapena yang datang dan meminjamkan dua rim kertas A4 . PENA suda kehabisan kertas! Sampai sekarang belum diganti rasanya.

Kira-kira pukul 11:30 barulah Amiruddin sampai dari Genting Highland. Dia sebenarnya sudah banya berkorban untuk kerja ini kerana terpaksa meninggalkan tugasnya dan berulang alik dari tanah tinggi itu ke tanah lembah di PENA. Setelah diberitahu bahawa kami akan menghantar memo kepada PM, dia kelihatan tersentak dan berusaha menghubungi kenalannya yang dapat menguruskan sambutan memo kami di pejabat PM, Tapi dia tidak berjaya. Lalu kami mengambil keputusan untuk pergi sahaja walaupun tiada temu janji. Dengan pejabat TS Muhyidin kami sudah menguruskan temu janji dengan setiausaha politiknya, En Syahrin.

Setelah Amirudin membuat penjilidan dokumen di Brickfields dengan tergesa-gesa saya segera bersiap diri. Ayahanda kelihatan tidak berminat untuk ikut serta. Jadi siapa yang akan ke Putrajaya? Tiadakah akwan lain yang datang? Hati saya sudah walang. tamabahan pula ada berita tidak menyenangkan daripada Borhan Md Zain. Katanya, usaha kami mungkin tidak berkesan lagi dengan perkembangan baru. Saya tidak dapat menerangkan hal itu sekarang sebelum semuanya selesai nanti.

Walaupun saya sudah lemah semangat selepas mendengar berita itu, saya dan Amiruddin tidak akan berpatah balik Kami akan teruskan perjuangan yang sudah dirangka. Biarpun tiada kawan yang datang menyokong kami tetap akan ke Putrajaya. Dan kali ini kami menaiki kerta Amiruddin kerana minyak kereta saya sudah tinggal sedikit. Lagipun kereta saya yang besar tidak berbaloi digunakan untuk membawa dua batang tubuh ke Putrajaya.

Selepas solat zuhur dan berdoa agar perjalanan kami dipermudah Allah SWT kami berdua menyusuri lebuh raya Utara Selatan dan menuju ke pejabat TS Muhyiddin. Kami dimaklumkan bahawa di sana kawan lain yang akan datang ialah SM Zakir, Zainal Jais, Dr Hassan Mad, Datuk Dr Mohd Ali Hassan. Ini menguatkan semangat kami. Mujurlah ada orang lain yang akan bersama walaupun kami berdua sahaja bertolak dari PENA.

Amiruddin memandu manakala saya duduk di sebelahnya sambil merenung jalan di hadapan dengan bermacam-macam bayangan...

Tribulasi Interlok: Siri 2

Sebelum kami mengambil tindakan membuat laporan polis kami telah menghubungi Gapena untuk turut bersama membuat laporan polis. Abang Aziz Setiausaha kerja Gapena telah memainkan peranannya dengan menghubungi pegawai polis di Balai Polis Dang Wangi sebagai persiapan menerima kehadiran kami.

Pada hari Isnin kami menggerakkan kawan-kawan dan menghubungi media untuk bersama-sama ke Balai Polis Dang Wangi. Pada hari yang sama dengan menggunakan draf yang saya rangka beberapa NGO lain turut membuat laporan polis. Mereka termasuklah Majlis Permuafakatan PIBG Nasional dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor. Di Kelang Kemudi juga membuat laporan, dan begitu juga di Johor oleh Persatuan Penulis Johor (tapi mungkin hari yang lain).

Badan kerabat Gapena yan lain telah dihubungi oleh Setiausaha 2 Gapena, Dr Hashim Ismail supaya membuat laporan polis di tempat masing-masing tetapi menurutnya tiada sambutan (inilah yang mengecewakan saya). Pada hari laporan dibuat Balai Polis dikerumuni wartawan dan ramai juga kawan dalam PENA dan yang bersimpati (antaranya ialah Riduan Harun, kerana dia belum jadi ahli PENA walaupun sering didesak oleh Sinaganaga) yang datang. Antara teman yang bersama tentulah Amiruddin Ali, SM Zakir,Hanafi Ibrahim, Khalid Salleh, Malim Ghozali Pk (Timbalan pengerusi Tetap PENA), Shamsudin Othman, Rahimidn Zahari, Ali Bukhari, Nasseer, Ishak Hamzah, Rasanubari, Ibrahim Ghafar, Saifulizan Yahya, dan ramai lagi.

Kehadiran kawan menguatkan semangat kami.

Saya mendahului NGO lain untuk membuat laporan polis dan kemudian disusuli kumpulan lain. Kami kemudian berdepan dengan wartawan lalu gemparlah seketika dalam media dengan tindakan kami. Anehnya ini tidak sedikit pun menjentik kesedaran Pemuda UMNO atau Puteri UMNO sedangkan kami mempertahankan tindakan kerajaan (Kementerian Pelajaran Malaysia) dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran. Sampai kini (30 Januari 2011) tidak ada seorang daripada mereka menghubungi kami untuk membantu sedangkan masyarakat India digerakkan oleh MIC dengan penuh perhatian.

Dan saya perturunkan laporan polis yang kami buat di bawah ini. Laporan ini diterima oleh Konstabel Mohd Hafiz bin Ahmad (R1699350). Saya membawa pendrive untuk memudahkan draf laporan yang saya buat disalin sahaja ke dalam komputer. Ini ternyata sangat bekesan berbanding dengan cara lama: menulis draf pada masa laporan dibuat.


LAPORAN POLIS TERHADAP PERISTIWA PEMBAKARAN NOVEL INTERLOK

Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011 melaporkan berita yang bertajuk “Novel Interlok dibakar”. Dalam laporan tersebut dinyatakan bahawa novel Interlok karya Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain telah dibakar di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang oleh “kira-kira 100 penduduk berketurunan India”. Turut dibakar gambar Dato’Abdullah Hussain malahan ada seorang penunjuk perasaan yang “gagal mengawal emosinya dilihat menampar gambar Abdullah dan menggelarkan beliau sebagai `sasterawan bodoh’.”

Berdasarkan peristiwa itu, inilah laporan polis yang kami buat.

Peristiwa membakar novel itu telah membangkitkan kemarahan ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) kerana Abdullah ahli seumur hidup PENA.

Peristiwa ini juga membangkitkan kemarahan penulis di negara ini kerana Dato’Abdullah Hussain ialah Sasterawan Negara dan penulis terkenal tanah air. Oleh itu, kami berpandangan pembakaran tersebut telah menjatuhkan maruah penulis tanah air dan mengandungi unsur kebencian yang melampau.

Pembakaran novel Interlok dan penghinaan terhadap gambar Abdullah boleh disifatkan sebagai tindakan menghina orang Melayu serta boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu dan mencetuskan ketegangan kaum.

Kami juga prihatin kerana Sasterawan Negara, Dato’Abdullah Hussain ialah seorang tokoh penulis yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, kami berpendapat, penghinaan terhadap Sasterawan Negara samalah seperti penghinaan terhadap DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Kami meminta polis dan pasukan keselamatan mengambil tindakan kerana peristiwa tersebut boleh menyebabkan berlaku ketidakstabilan dan keharmonian kaum serta menggugat keamanan negara.

Kami berharap pihak polis dapat menyiasat peristiwa itu dan mengambil tindakan terhadap orang yang terlibat, termasuk ahli-ahli politik yang turut serta iaitu Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan. Penglibatan ahli politik dapat dianggap sebagai pengakuan dan penerimaan mereka terhadap tindakan yang biadab itu. Pengaruh ahli politik adalah besar kerana kedudukan mereka sebagai pemimpin rakyat.

PENA juga bertegas untuk mempertahankan Interlok sebagai teks Komponen Sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia bagi Tingkatan lima kerana kandungannya tidak mengandungi unsur penghinaan terhadap mana-mana kaum.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)


Ini kali pertama saya membuat laporan polis tentang isu nasional. Sebelum ini saya hanya membuat laporan polis tentang kehilangan kad pengenalan dan kehilangan kasut di rumah.

Saturday, January 29, 2011

Tribulasi Interlok: Siri 1

Saya akan cuba menulis pengalaman yang saya lalui ketika berdepan dengan isu novel Interlok sekadar menurut ingatan saya kerana selama ini saya tidak mencatatnya langsung. Memang saya tidak rajin menulis catatan atau diari. Diari saya hanya dipenuhi jadual kerja yang kadang-kadang itu pun tidak sempurna sehingga akhirnya wujud pertindihan tugas. Sering juga saya tersangkak apabila ada kerja yang saya terima tanpa menyedari bahawa tarikh itu juga sebenarnya telah terisi tetapi belum tertulis. Inilah bahana orang malas menulis.

Catatan tentang Interlok ini juga tidak mungkin sempurna kerana saya terlupa banyak perkara terutama tentang tarikh tapi masih ada waktu nanti saya mengeditnya. Semoga catatan ini dapat menjadi bahan sejarah untuk menulis sejarah kesusasteraan, politik perkauman, dan kepemimpinan malah tidak mustahil untuk autobiografi simpanan peribadi saya nanti.

Isu Interlok bermula dengan kenyataan T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam bahawa novel Interlok akan ditarik balik daripada sekolah sebagai buku teks KOMSAS Tingkatan Lima. Katanya ada 27 aduan dibuat daripada NGO India. Buku itu dikatakan mengandungi unsur sensitif kerana menggunakan perkataan paria. Sebenarnya kenyataannya adalah palsu. Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan arahan buku itu akan ditarik balik. Penipuan ini memang menunjukkan sikap putar belit seorang pemimpin India yang mahu mengembalikan popularitinya selepas tersingkir daripada parti asalnya dan kemudian gagal membuktikan kehebatannya dalam MIC.

Penglibatan saya bermula dengan mesej daripada kawan ketika saya berada di Sarawak. Antaranya maksudnya, "Buat sesuatu untuk mempertahankan karya Sasterawan Negara." Saya tidak faham cerita sebenar kerana belum membaca akhbar nasional yang menyiarkan berita itu. Akhbar di Sarawak tidak menyiarkannya. Kemudian beberapa hari kemudian SM Zakir menghantar mesej kepaada saya meminta pandangan untuk mendapatkan nama panel yang akan membicarakan novel itu. Segera saya teringat artikel pendek yang ditulis oleh Dr Illias Zaidi tentang Interlok, lalu saya menyarankan namanya. Pandangan kawan lain turut mengharapkan agar seorang sarjana wanita juga dijemput menghilangkan persepsi bahawa PENA mengamalkan dasar gender terpilih (male cauvinist). Lalu SM Zakir memilih Fatimah Busu, entah dasar apa. Dia lebih maklum. Dan saya menyetujuinya Kemudian kami sibuk dengan urusan menganjurkan majlis meraikan Zaen Kasturi sebagai pemenang SEA Write Award pada 7 Januari 2011, sedangkan majlis diskusi Interlok dijadualkan pada 8 Januari 2011. Ini bermakna dua hari berturut-turut kami akan kesibukan. Menguruskan majlis Zaen juga suatu pengalaman yang berat kerana kami terpaksa melakukan banyak perkara walaupun pihak DBP banyak membantu dan YADIM juga meringankan beban kewangan. Majlis itu berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil daripada bantuan teman-teman yang tidak mengharapkan balasan. Benar, saya sangat berterima kasih kepada teman-teman dalam PENA yang bekerja secara sukarela. Jika diikutkan, kos penyelenggaraan majlis itu mungkin mencecah RM20 ribu.
Majlis diskusi novel Interlok akan berlangsung pada 8 Januari 2011 sedangkan kami baru selesai meraikan Zaen hingga tengah malam 7 Januari dengan baca puisi khusus untuk beliau yang turut disertai pegawai YADIM. terima kasih Sdr Shauki Abd Majid yang menjadi perantara kami dengan YADIM.

Untuk melengkapkan diskusi Interlok saya meminta SM Zakir menjadi pendiskusi juga bagi mewakili PENA atau golongan muda. Dan Zakir tidak sukar untuk menerima permintaan saya itu. Dia memang sudah bersedia, saya yakin sangat.
Pada 8 Januari pagi-pagi lagi Rumah PENA sudah didatangi peminat sastera dan beberapa orang pegawai keselamatan dari Bukit Aman berpakaian preman. Memang kedatangan mereka kami alu-alukan kerana sebarang perkara buruk boleh berlaku. Kami juga menerima khabar angin bahawa akan datang sekumpulan orang India ke PENA untuk membakar novel Interlok. Jadi persediaan dari segi keselamatan begitu perlu. Kami hanya menjalankan tugas sebagai badan penulis. Kami bertindak secara intelektual.

Majlis diskusi berjalan rancak. Fatimah Busu membawa beberapa buku lain yang turut menyatakan soal paria dan Illias Zaidi membawa cerita sampingan yang tidak berkaitan dengan isu sehingga sedikit menjejaskan perjalanan diskusi. Meskipun begitu dia dapat juga memberikan input sejarah tentang novel tersebut. Pada akhir diskusi kami mengadakan sidang akhbar. Kami nyatakan pendirian PENA bahawa kami menolak sebaran pindaan terhadap Interlok kerana tuntutan itu tidak berasas sama sekali. Sebenarnya sidang akhbar yang kami adakan ini bukanlah yang pertama kerana sebelum itu PAKSI dan Gapena telah membuat sidang akhbar juga bagi menyatakan pendirian mereka bahawa Interlok perlu dipertahankan daripada pindaan. Sidang akhbar kami lebih panas kerana lebih ramai wartawan hadir dan soalan mereka juga begitu provokatif. Soalan yang provokatif datang daripada Sayuti Omar. Dia bertanya apakah langkah susulan yang akan dilakukan oleh PENA. Timbalan Presiden PENA, Amiruddin Ali Md Hanafiah segera memberi reaksi spontan yang tidak kami bincangkan pun sebelumnya. Katanya PENA akan membuat dan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, TS Muhyiddin Yassin pada Selasa. Hah..ini tugas berat. Tapi wartawan berpuas hati kerana soalan provokatif mereka dijawab segera. Tapi kami sedang memikul tugas berat. Bukan mudah untuk melakukan kerja itu. Bagaimanapun, ini penting kami lakukan.

Siaran Media PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (PENA) TENTANG NOVEL INTERLOK

Isu novel Interlok yang hangat diperkatakan sekarang sehingga melibatkan campur tangan politik dan badan bukan kerajaan perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan. Tanpa perlu diberikan latar belakang isu ini, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan perkauman.

Sehubungan dengan itu, PENA menentang tuntutan daripada mana-mana pihak untuk menarik balik novel itu daripada senarai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia. Bagi menangani kemelut tersebut, PENA telah mengadakan Dialog Novel Interlok pada 8 Januari 2010, bertempat di rumah PENA yang dihadiri para sarjana sastera dan penulis tanah air. Ahli Panel terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr.Ilias Zaidi ,Dr.Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), SM Zakir S.Othman.


Sehubungan itu, PENA meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengekalkan novel Interlok sebagai Teks KOMSAS Dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima berdasarkan alasan berikut:

1. Sebarang campur tangan politik yang dibuat berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran yang tidak berkesudahan.
2. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya hanya memberikan gambaran realiti sosial yang berlaku, disamping menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk.
3. Interlok untuk menyahut seruan pemimpin negara supaya menghasilkan karya yang bertendensi atau karya yang bertujuan menyempurnakan aspirasi dan pengisian kemerdekaan negara.
4. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu sebelum dipaparkan secara representasi, yakni tidak menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.
5. Setelah lebih 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat. Jika benar novel itu mengandungi unsur penghinaan, sudah tentu pada masa awal novel itu diterbitkan telah timbul kekecohan. tetapi ini tidak berlaku.
6. PENA meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empad dekad diterbitkan. Mungkinkah perkara ini ditimbulkan untuk memperoleh manfaat politik pihak tertentu? Kita bimbang jika tanggapan ini benar dan lebih bimbang jika pihak yang bertanggungjawab dalam hal membuat keputusan mengikut sahaja telunjuk mereka. Seandainya ini berlaku, kita bimbang akan lebih banyak pihak membuat tuntutan yang tidak munasabah sehingga akhirnya kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa.
7. Kesan penarikan balik novel ini atau pemindaan di tempat tertentu akan merosakkan kredibiliti karya bertaraf antarabangsa dan sistem pendidikan negara yang telah dipersetujui secara bersama semasa pembentukan kemerdekaan negara.
8. Sebenarnya paparan realiti yang kononnya mengandungi unsur penghinaan itu mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada pemisahan kasta berbanding dengan negara asal kaum tersebut. Dalam novel itu jelas ditunjukkan bahawa tujuannya untuk menimbulkan rasa kecintaan setiap kaum terhadp negara ini. Tujuan ini amat murni kerana setelah menjadi warganegara Malaysia, mereka semua perlu mengakui kedaulatan negara ini dan menjunjung Perlembagaan serta budayanya. Tidaklah wajar bagi mereka untuk melihat negara asal lagi setelah diterima menjadi warganegara Malaysia.
9. Sekiranya benar unsur ini mungkin menimbulkan kekeliruan, tidak perlu dibuat penarikan balik atau pindaan isi tetapi perlu diselesaikan oleh guru yang menangani teks tersebut. Guru-guru perlu diberi latihan atau panduan untuk menjelaskan perkara sebenar dalam masa pengajaran. Pernyataan bahawa soal kasta atau sebarang unsur yang mengelirukan itu sebenarnya cuma paparan realiti di negara lain sedangkan di negara ini tidak wujud kecenderungan sedemikian. Cara ini lebih berhemah dan guru juga akan dilihat lebih cerdik sebagai seorang pendidikan.
10. Isu ini tidak perlu dibiarkan berlarutan dengan emosi yang tidak terkawal kerana kita perlu menjaga keharmonian masyarakat di negara ini.
11. Bagi menangani perkara ini PENA berpendapat diadakan perbincangan atau dialog intelektual antara pihak yang mula-mula menimbulkan perkara ini dengan pakar persuratan dan kebudayaan dalam sesi yang terkawal.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden Pena
8 Januari 2011

(Siaran media ini turut dibantu oleh Sdr Hanafi Ibrahim, Lutfi Ishak, Amiruddin Ali dan sudah tentu SM Zakir. Mereka berhempas pulas menyediakan sementara saya sudah besiap untuk mengadakan sidang media selepas majlis diskusi Interlok.)

Kenyataan Kedua

Kenyataan tambahan khas untuk peristiwa pembakaran novel Interlok pada hari Sabtu 8 Januari 2011 yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011.


1. PENA mengutuk tindakan segelintir yang telah mengambil tindakan agresif dengan membakar novel Interlok d Kelang serta menghina gambar Sasterawan Negara.
2. Tindakan itu jelas cuba mengkucar-kacirkan kestabilan masyarakat di negara ini kerana selama ini telah terbukti tindakan agresif seperti itu hanya mendatangkan pergeseran kaum.


3. Perbuatan itu telah menimbulkan perasaan tidak enak dalam kalangan masyarakat berbilang kaum amnya dan masyarakat Melayu khususnya. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlanjutan kerana banyak maslaah akan timbul.
4. Sasterawan Negara ialah tokoh yang menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, dan sebarang penghinaan terhadapnya seperti menghina Yang di-Pertuan Agong.
5. Pihak berkuasa perlu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam insiden itu, termasuk ahli politik yang turut berada di situ tetapi tidak bertindak menghalangnya. Penglibatan ahli politik seperti memberi restu kepada tindakan yang tidak bertamadun dan kesannya sangat besar.

Mohamad Saleeh Rahamad
PRESIDEN PENA
9 Januari 2011

(Kenyataan kedua ini kami sebarkan pada hari laporan polis dibuat pada 10 Januari 2011 di Balai Polis Dang Wangi)



Esoknya pagi-pagi lagi saya terasa bahang apabila membaca berita sekumpulan penunjuk perasaan membakar novel Interlok dan mencaci Abdullah Hussain di Kelang. Kami segera berkomunikasi dengan rakan-rakan untuk bertindak. Pada petang itu juga kami berhimpun di Rumah PENA untuk membincangkan langkah susulan. Kami tidak bersendirian kerana beberapa NGO Melayu yang lain datang, termasuk Dr. Hassan Mad, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu dan Bumiputera, sebuah badan buan kerajaanyang menggabungkan 134 NGO, Datuk Dr Mohd. Ali Hassan, Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Razali Endun, Ikatan Persuratan Melayu, Zainal Jais, Abu Hassan Ashaari daripada Kemudi serta Perkasa Kelang, dan Megat Salleh daripada kesatuan guru. Kawan-kawan lain juga hadir (Amiruddin Ali, SM Zakir, Hanafi Ibrahim, Shamsudin Othman, Rahmidin Zahari, Ali Bukhari, Azlan Hussein (Sinaganaga).

Kami membuat keputusan untuk membuat laporan polis pada Isnin, 10 Januari pukul 3 petang dan akan menghantar memorandum kepada TS Muhyiddin pada hari Selasa 11 Januari 2011. Tugas membuat memorandum dan draf laporan polis terbeban di pundak saya.


Dan akan bersambung....

Interlok 29 Januari 2011

Hari ini 29 Januari 2011 saya bersama Amiruddin Ali Md Hanafiah (Timb presiden PENA), SM Zakir (SU Agung PENA) dan Shamsudin Othman (Tim SU Agung PENA) menyrtai mesyuarat pemanduan Majlis Perundingan Melayu di Bangunan ROHAS Jalan Abdullah apabila dipelajwa oleh Dr Hassan Mad (SU MPM) bagi membincangkan langkah susulan untuk menangani isu Interlok. Selepas mendengar perbincangan mereka dala agenda memperkasakan ekonomi Melayu barulah isu Interlok dibincangkan. Saya memulakan penjelasan tentang perkembangan terkini yang saya ketahui.
Saya katakan bahawa pendirian PENA tetap tidak berubah bahawa pindaan terhadap novel Interlok tidak wajar dilakukan demi memenuhi kehendak masyarakat India. Saya nyatakan alasan kami yang tekah berulang kali saya nyatakan dalam media. Saya juga menyatakan bahawa tuntutan masyarakat India sudah berubah-ubah, daripada isu Paria dan Brahmin kepada hal lain yang remeh temeh dalam sebuah karya fiksyen.Kami yakin bahawa tuntutan ini adalah untuk menguji kerajaan setakat mana masyarakat India akan diberi perhatian. Lebih membahayakan tuntutan mereka yang beriringan ugutan akan menggugat keutuhan kerajaan sendiri. Sokongan orang Melayu akan berubah sekiranya kerajaan melayan tuntutan minoriti itu. Keadaan akan lebih buruk kerana masyarakat Melayu yang majoriti tidak diberi perhatian berbanding masyarakat India.
Akhirnya kami mengambil ketetapan (selepas dicadangkan oleh Presiden GMP, Datuk Hilmi supaya MPM bertemu dengan Perdana Menteri dan menyatakan bantahan kami. Memorandum itu akan menyatakan bahawa MPM akan berkempen supaya orang Melayu tidak mengundi calon MIC dan memboikot semua majlis yang disertai MIC. Ini bagi mengajar masyarakat India atau MIC yang sudah berani mengugut kerajaan supaya menyebelahi mereka.
Saya ditugaskan membuat draf memorndum itu. Sebagai persatuan Penulis PENA tidak boleh menyatakan itu kerana kapasitinya tidak sesuai. Oleh itu MPM akan mengambil peranan.
Kami selesai bermesyuarat kira-kira pukul 7.15 malam. Maghrib kami di Masjid Kampung Baru bersama Zainal Jais.Selepas itu kami makan di sebuah kedai makan di luar masjid. Pulang ke Rumah PENA kami menyinggahi acara anjuran Sindiket Soljah. Nyata generasi muda lebih akrab dengan acara anjuran mereka sendiri dan ini terbukti dengan kehadiran luar biasa mereka di Rmah PENA. Saya tidak berlama-lama di situ kerana badan tidak sihat. Kepala pening dan oerut tidak selesa akibat cirit-birit seharian.
Pulang ke rumah saya menunaikan solat isyak dan berdoa agar perjuangan kami berjaya atau setidak-tidaknya keputusan nanti tidak memalukan orang Melayu dan umat Islam.

Wednesday, January 26, 2011

Sajak untuk SM Zakir




Sang Petualang
(dedikasi buat SM Zakir)


Lelaki bukanlah lelaki
Jika tidak berani bertualang, katanya.

Lalu dia mengorak langkah
sambil membuka dada
dari satu penjuru ke satu penjuru
dia mengatur derap keberanian
walau tidak mencari apa-apa
dia pasti menemukan banyak rahsia.

Dia sering bertualang dari benua ke benua
tapi tidak pernah bertanya
apakah jalannya ada peta
atau kesesatan menanti di hujungnya.
Di laut, di gurun, di belantara
dia kembara sendirian
walau di sisinya ada teman.

Aku sering menemaninya
menyusuri lorong gelap, laut saujana,
riuh manusia, dan denai misteri
tapi kami diam sejuta kata
bermonolog dan mencari wujud diri
tapi aku hanya menemukan diriku
dan tak juga kutemukan dirinya.

Segala yang dilihatnya
ditanggapi dengan akal dan rasa
dia menduga dan mentafsir
gerak mega atau desah pasir.

Dia membuka cakerawala fikir
ditatangnya fenomena
dilapahnya noumena
dibongkarnya laut falsafah
mencari mujarad mutiara hikmah
lalu digubah dengan bahasa
dalam kelarai yang bernyawa.

Sesekali dia membenahi dada
gadis sepi di pinggir Chao Phraya
mengutip sendu sejarah yang bergulir
menggubahnya jadi nilam kehidupan.

Di tengah kabus West Lake Hangzhou
Dia menangkap seekor rama-rama
membilang warna pada sayapnya
dan berkongsi lara sepasang kekasih
dalam legenda cinta yang disejarahkan.
Di balik luka perang Kemboja
ditemukannya sepotong cinta
berlegar di dunia angin
dan luka sejarah sembuh di bait puisinya.

Namun lelaki petualang ini
tidak selamanya di rantau yang jauh
setelah kembara dan berfikir jenuh
dia akan kembali ke desanya yang hilang
mencari asal diri
di celah rumpun rembia
lumut telaga, pucuk kelapa, mihrab sepi,
rimbun api-api, jerit bocah bermain guli,
jeling gadis di balik jendela, dan ratib zikir
meranum di dinihari.

Lelaki ini
biarpun sering bertualang
dia tak pernah lupa jalan pulang.

Mohamad Saleeh Rahamad
Kuala Lumpur
5November2010
Baca puisi PENA dan acara Sumbangsih untuk Penulis Muda Mastera SM Zakir

Tuesday, January 25, 2011

Perjalanan di Denai Interlok

Perjalanan di Denai
(Tribulasi Interlok)


Perjalanan di denai ini
tidak menawarkan tenteram
paginya penuh api
malamnya ada duri
kami tetap berjalan
meniti batas dan titi reput
mengharung rimbun nibung
dan jelir tedung
dari banir istirahat.

Orang berlarian di sisi
mengejar sesuatu di depan
bintang mungkin
atau bulan kristal
melepaskan diri dari kami
yang memikul beban
sendirian.

Setelah hampir di hujung
kami biarkan saja
sesiapa pun
yang mahu menjulang bendera
kami tidak perlu
dinyanyikan di hujung denai
kerana kami lebih suka
terus memikul beban
seberat gunung
di denai walau sendirian
kerana inilah
kehidupan.

Tuesday, January 18, 2011

Isu Interlok:Memorandum PENA Kepada TS Muhyidin




Kami datang menemui Datuk Abdullah Hussain pada 8 Januari 2011

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK

Kepada:
YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Isu novel Interlok yang hangat diperkatakan sekarang sehingga melibatkan campur tangan politik dan badan bukan kerajaan perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan.
Bagi menangani kemelut tersebut, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah menganjurkan Dialog Novel Interlok pada 8 Januari 2010, bertempat di rumah PENA yang dihadiri para sarjana sastera dan penulis tanah air. Ahli Panel terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr.Ilias Zaidi, Dr.Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Syed Mohd. Zakir S. Othman dan dipengerusikan oleh Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad. Antara sarjana yang turut serta ialah Profesor Dato’ Dr. Md Salleh Yaapar, Dr. Mohd.Hanafi Ibrahim, Dr. Fatimah Busu, Dr. Norhayati Abd. Rahman, Profesor Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas, dan Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan.
PENA juga telah menemui Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain pada 18 Disember 2010, di rumah anaknya di Puchong yang diwakili oleh Timbalan Presiden PENA, Amiruddin bin Md. Ali Hanafiah bersama dengan wartawan Berita Harian, Sdr. Nazmi Yaakub. PENA bersama-sama beberapa orang sarjana sekali lagi telah menemui SN Datuk Abdullah Hussain, di rumahnya di Petaling Jaya pada 8 Januari 2011. Pertemuan tersebut diketuai Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad berserta Timbalannya Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Ahli Jawatankuasa PENA, Rahimidin Zahari dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim. Antara sarjana lain yang turut hadir ialah Dr. Fatimah Busu dan Dr. Norhayati Abd.Rahman serta editor Dewan Sastera, Puan Rozninah Abd. Azib. Pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang penghasilan novel Interlok di samping menziarahinya yang sedang uzur.

Seterusnya, PENA juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil badan bukan kerajaan bagi membincangkan isu tersebut pada 9 Januari 2011 di Rumah PENA. Antara wakil yang hadir ialah Dr. Hassan Mad (Majlis Permuafakatan Melayu), Profesor Madya Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Presiden Mimbar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Sdr. Zainal Mohd. Jais, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Sdr. Abu Hassan Ashari Hj. Abas, Naib Ketua PERKASA Daerah Klang, Hj. Megat Md. Saleh Md. Arshad, Timbalan Setiausaha Agung KONGRES, dan Haji Razali Endon, Ketua 1 Ikatan Persuratan Melayu (IPM).

Daripada perbincangan dan persetujuan yang disepakati, PENA serta beberapa badan bukan kerajaan yang namanya disenaraikan meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima. Kami juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Kami juga menolak tuntutan supaya novel itu dipinda jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum tertentu. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu.
Bagi menegaskan pendirian kami, satu laporan polis telah dibuat pada 10 Januari 2011 di Balai Polis Dang Wangi (no repot:000943/11) ekoran tindakan segelintir orang India membakar novel Interlok dan menghina gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain di Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Kelang pada 8 Januari dan dilaporkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011. Kami menyifatkan perbuatan itu melampau dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sebagai badan penulis, kami berasa bahawa penghinaan itu sangat biadab apatah lagi dilakukan terhadap Sasterawan Negara yang menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, penghinaan terhadap Sasterawan Negara bukan sahaja dapat dianggap sebagai penghinaan terhadap orang Melayu dan penulis, malahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dengan ini, PENA menyerahkan memorandum ini kepada YAB Tan Sri dengan maksud meminta YAB Tan Sri mengekalkan novel Interlok tanpa tunduk kepada sebarang tuntutan daripada pihak yang menentangnya. Pendirian ini berdasarkan alasan yang berikut:

1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.

2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.

3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.

4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat. Perkara ini dapat dijelaskan melalui diskusi ilmiah yang diadakan di Rumah PENA pada 8 Januari yang kemudian dilaporkan atau diulas oleh wartawan dalam Berita Harian bertarikh 9 Januari 2011 dan sebuah tulisan dalam akhbar The Star. Antara tulisan yang dapat dirujuk adalah daripada penulis yang berikut dan karya mereka kami lampirkan:
5. Fatimah Busu (kertas kerja diskusi di Rumah PENA)
6. Datuk Meor Kamarul Shahid Kamarul Baid (Berita Minggu, 9 Januari 2011)
7. Baradan Kuppusamy (Sunday Star, 9 Januari 2011)
Dengan penjelasan itu, telah terbuktilah bahawa premis yang digunakan oleh para sarjana dan penulis itu mampu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh pihak penentang novel Interlok. Pandangan mereka itu adalah informatif, signifikan, lebih relevan dan tidak bersifat bias etnik sama sekali.

8. Interlok ditulis untuk menyahut seruan pemimpin negara supaya menghasilkan karya yang mengisi kemerdekaan negara dan menghayati semangat perpaduan kaum. Melalui Sayembara Menulis Novel 10 Tahun Merdeka, novel tersebut dihasilkan dengan niat yang murni. Malahan menurut pengarangnya, Abdullah Hussain, dalam pertemuan PENA dengan beliau pada 8 Januari di rumahnya, novel itu ditulis dengan bantuan daripada seorang pensyarah India di jabatan Pengajian India Universiti Malaya. Ini bermakna, maklumat tersebut datangnya daripada etnik India dan sekali gus menunjukkan bahawa tiada unsur penghinaan mendasari penulisannya. Pandangan beliau ini juga dapat dilihat dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2011.

9. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?

10. Tidak ada unsur penghinaan dalam karya tersebut, sebaliknya isu yang didakwa sesetengah pihak itu bersifat menghina dan menggugat kefahaman generasi masa kini tidak wujud sama sekali jika dibaca dengan akal yang waras dan objektif. Mesej dan matlamat novel ini jelas untuk mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada pemisahan kasta. Novel ini bertujuan menimbulkan rasa kecintaan setiap kaum terhadap negara ini dan menjadi warganegara Malaysia yang mengakui kedaulatan negara ini dan menjunjung Perlembagaan serta budayanya.

11. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.

12. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.

13. Kesan penarikan balik novel ini akan merosakkan imej karya sastera yang bertaraf tinggi dan dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Apabila karya Sasteraan Negara dianggap sebagai berunsur negatif dan menimbulkan kekeliruan, di manakah kayu ukur penilaian beliau sebagai Sasterawan Negara sebelum ini? Bukankah beliau telah dinilai secara telus dan terperinci sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kemudian mendapat pengiktirafan daripada Yang di-Pertun Agong?

14. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).

Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

15. Mempertikaikan kewibawaan panel juri yang dipilih untuk menilai penyertaan Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka, termasuk menilai novel Interlok juga dianggap mempersoalkan kredibiliti Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri (kemudian menjadi Perdana Menteri) yang telah bersetuju dengan barisan panel juri penilai peraduan. Kami juga menganggap perbuatan mempersoalkan isi kandungan ataupun perkataan yang telah ditulis oleh Datuk Abdullah Hussain ibarat menderhakai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan penganugerahan status Sasterawan Negara kepada Datuk Abdullah Hussain pada tahun 1996 atas kejerihan beliau memartabatkan kesusasteraan dan persuratan Malaysia, termasuklah menghasilkan novel Interlok.


Saranan
1. Kami menyokong penuh tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang berkepentingan untuk mencemari ketulenan novel Interlok yang telah berusia 44 tahun kerana ia jelas merakam realiti semasa mengenai masyarakat negara ini pada zaman pramerdeka. Sebenarnya sebelum diterbitkan dalam edisi pelajar memang telah dibuat beberapa pindaan bahasa yang dianggap tidak sesuai bagi pelajar. Namun begitu, pindaan seterusnya atas faktor kepentingan politik (yang tidak berasas) tidak wajar dilayan sama sekali. Desakan politik itu lebih bersifat provoksi dan ugutan kepada kerajaan sekali gus untuk menggugat keutuhan kerajaan sebagai pemerintah yang berwibawa.

2. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.

3. Isu ini hendaklah diselesaikan secara berhemah dan ilmiah serta ditangani dengan akal yang bijaksana agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

4. Oleh itu, dialog intelektual perlu diadakan segera antara pihak yang bertentangan pendapat bagi menjelaskan pandangan secara lebih ilmiah tanpa campur tangan kuasa politik. Dialog ini boleh dibuat dalam satu pertemuan meja bulat dan diwakili oleh pakar sejarah, pakar sastera dan badan bukan kerajaan yang prihatin, bukannya oleh sebuah jawatankuasa baharu yang mungkin akan tertakluk kepada kehendak politik pragmatik.

5. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.

6. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.

7. Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Sasterawan Negara kerana kedudukannya sudah dimartabatkan melalui anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong. Penghinaan kepada beliau samalah seperti menghina Yang di-Pertuan Agong, yakni institusi yang tinggi di negara berdaulat ini.

8. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.

9. Kerajaan juga wajar menurutsertakan wakil-wakil persatuan penulis atau sarjana sastera yang berkaliber dan jujur dalam sebaran bentuk perbincangan bagi memutuskan satu-satu perkara yang melibatkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah termasuk dalam soal pemilihan buku teks.


Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
11 Januari 2011